Baru-baru ini saya menerima surat daripada pelajar Pekak dari FSD yang mendakwa mereka di aniaya guru serta di 'sex abuse' oleh kakitangan sekolah FSD.
Menurut surat tersebut, terdapatnya seorang Penolong Pengurusan Murid (PPM) yang amanahkan untuk membantu pelajar Pekak menguruskan diri telah mengambil kesempatan terhadap pelajar Pekak dengan melakukan perbuatan luar tabii terhadapnya.
Pelajar tersebut melaporkan kepada Ketua Warden tetapi tidak di ambil berat dengan aduan tersebut dan pelajar tersebut kemudian memanjangkannya kepada PK HEM. Namun kedua-dua pegawai sekolah tersebut tidak mengambil tindakan dan disebaliknya menuduh pelajar tersebut berbohong.
Pelajar tersebut menulis lagi, pada tengah malam Ahad 20 Mei 2012 dan pagi Isnin sekali lagi PPM yang sama telah mencabul kehormatan pelajar lelaki dan di saksikan oleh pelajar lain.
Pelajar yang menjadi saksi tersebut telah melapor kepada hal tersebut kepada pengetua. Hal tersebut telah sampai kepada pengetahuan Ketua Warden dan PK HEM, di maklumkan Ketua Warden telah mengugut saksi itu dan
memberi amaran hendak menumbuk mereka dan di gantung sekolah.
Murid yang mengadu dalam surat tersebut menulis, Pengetua FSD tidak mempunyai kemahiran berBMKT mahupun BIM (bukan guru yang berlatarbelakang pendidikan khas jika tidak tahu berkomunikasi dengan pelajarnya sendiri), perjumpaan murid dan mangsa dibantu terjemahkan oleh guru yang lain dan berlakunya komunikasi yang tidak lancar, tidak adil dan manipulasi.
Akibatnya mereka trauma dan secara spontan menulis surat kepada YAB Menteri dengan salinan kepada saya, harapan mereka ialah untuk mendapatkan pembelaan yang adil. Hal ini juga ada di bicarakan di Facebook dan mendedahkan perbuatan yang terkutuk di FSD bukan pertama kali berlaku.
Pada pendapat saya, Pengetua FSD wajar sekali bersikap adil terhadap pelajar dan melindungi serta menjaga keselamatan pelajarnya sepertimana dalam skop tugas seorang pengetua sekolah. Sekiranya pengetua FSD tidak tahu berkomunikasi dengan pelajarnya, meragui semasa soalsiasat, beliau wajar memberi hak kepada pelajarnya menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat MFD yang beretika dan berkecuali. Jurubahasa isyarat MFD tersebut sedang bertugas di PUSKOM Pulau Pinang dibawah kelolaan Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang (PDA).
Saya berpendapat FSD tahu akan kewujudan perkhidmatan jurubahasa kerana semasa program Starkey Hearing Aid Foundation, PDA ada menjemput pelajar FSD menerima alat pendengaran.
Dengarlah dulu luahan hati pelajar tersebut seadil-adilnya, jika pelajar berbohong boleh di ambil tindakan tetapi jika perkara tersebut benar-benar berlaku, adalah satu kesalahan besar. Juga menjadi kesalahan lebih besar kerana bersubahat menganiaya pelajar OKU. Undang-undang Malaysia sedia ada dan hukuman tuhan bagi orang yang mempunyai agama juga ADA. Tidak kira pengetua, ketua warden, HEM, guru, pegawai JPN, BPK atau sesiapa yang bersubahat cuba menutup kes ini tidak akan selamat di dunia dan akhirat.
Sekolah adalah tempat anak-anak suci untuk pekak atau bukan pekak mempelajari kehidupan dan di didik untuk menjadi orang yang berguna supaya sama-sama membangunkan negara kita. Oleh itu FSD bukannya tempat untuk individu melepaskan hawa nafsu dengan mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak itu. Juga FSD dan sekolah Pekak yang lain bukannya tempat untuk kepentingan sendiri bagi mendapat elaun khas bulanan tetapi tidak jujur matlamatnya.
No comments:
Post a Comment