10 November 2021

Jurubahasa BIM Orang Pekak

Baru-baru ini YB Datuk Ras Adiba, Senator OKU telah menerbitkan rancangan talkshow bertajuk Janjitemu untuk Bernama TV yang disiarkan setiap Selasa jam 8.30 pm. 

Sebagai menghormati akses kepada komunikasi untuk penonton Pekak, rakaman tersebut telah dihantar kepada MFD untuk dimasukkan sisipan BIM.

Memandangkan kesibukan Jurubahasa BIM, saya mengarahkan staf MFD Nur Saadah iaitu tenaga pengajar BIM menjadi jurubahasa untuk program tersebut bersama dengan seorang lagi Jurubahasa BIM yang lain. 



Perkara ini sudah lama cuba diketengahkan oleh MFD dalam dasar perjuangannya; yang mahukan supaya rancangan talkshow di tv nampak lebih berkesan dengan adanya 2 jurubahasa bagi mengelakkan penonton tidak terkeliru sesiapa yang sedang berbicara sekiranya cuma ada seorang jurubahasa isyarat.

Percubaan ini adalah amat berjaya kerana Nur Saadah sebagai seorang Pekak mempunyai penguasaan bahasa pertuturan dan BIM yang baik,  dengan itu menjadi kekuatan kepada dia untuk menterjemahkan isyarat baku yang sampaikan daripada "feeder" ke BIM. 

Saya secara peribadi tertarik mengikut rancangan tersebut kerana kedua pembicara mempunyai cara penyampaian tersendiri dari segi tatabahasa, antonasi, nada suara yang berlainan yang dapat dilihat perbezaannya melalui terjemahan oleh 2 orang jurubahasa tersebut. 

Rancangan ini telah berjaya dan secara kebetulan adalah selari dengan pengumuman Bajet 2022 yang mahukan semua rancangan tv tempatan mempunyai sisipan BIM. Oleh itu tiada salahnya kita  meletakkan jurubahasa Pekak di rancangan live TV selepas ini.

Dari itu akan mempercepatkan matlamat dalam perjuangan MFD untuk membuka peluang pekerjaan kepada orang Pekak untuk berkhidmat di mana2 terutama sebagai jurubahasa BIM bagi mengimbangkan perkhidmatan yang dipikul oleh orang mendengar.

Insya Allah. 


03 November 2021

Jurubahasa Isyarat di Malaysia : satu pengiktirafan

Bajet 2022 yang dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan di Parlimen Malaysia pada 29.10.2021 telah mengumumkan yang semua rangkaian TV di Malaysia akan disertakan sisipan bahasa isyarat. Ianya adalah bagi mematuhi klausa Akses kepada informasi, komunikasi dan teknologi di dalam Akta OKU 2008.


Ini adalah satu pengiktirafan kepada perjuangan Persekutuan Orang Pekak Malaysi yang tidak pernah kenal erti putus asa demi menyediakan keperluan untuk orang Pekak kerana informasi itu adalah sebahagian dari hak asasi mereka.

Sejarah bermula pada tahun 1987 selepas penubuhan Persatuan orang Cacat Pendengaran KL (SHIMA), yang mana terpaksa melaburkan wang untuk menwujudkan prekhidmatan jurubahasa isyarat sepenuh masa yang pertama di Malaysa.

Kemudian Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) ditubuhkan pada tahun 1997 dan perkhidmatan adambil alih serta dikembangkan ke seluruh negara. Perkhidmatan tersebut diberikan secara percuma kepada orang pekak semasa waktu pejabat dan mendapat permintaan yang tinggi. Oleh itu MFD telah membuka peluang lebih banyak pekerjaan sebagai jurubahasa isyarat.

Pada tahun 2005, MFD telah memulakan latihan jurubahasa isyarat dengan sumbangan kewangan dari REDTONE Communication. Latihan tersebut disertai oleh 25 orang peserta dari seluruh negara.

Kerajaan Malaysia melalui Bajet 2007 telah menyuntik RM 12.1 juta kepada MFD untuk menwujudkan pengajian Diploma Jurubahasa Isyarat yang pertama di negara ini dengan kerjasama IUCTT yang disertai oleh 100 pelajar. Diploma itu mendapat pengiktirafan daripada MQA yang setaraf dengan universiti awam.

Dari itu juga AKTA OKU 2008 dilulus oleh parlimen yang mana terdapatnya tanggungjawab untuk menyediakan akses kepada komunikasi tanpa halangan.

Selepas 35 tahun berjuang, kejayaan tetap datang. Sekarang MFD dan Bernama akan bekerjasama untuk melatih Jurubahasa BIM Media.

Pengiktirafan kepada jurubahasa dan peluang pekerjaan untuk anda. Insya Allah.

Perayaan Deepavali 2021

Akhirnya, setelah meraikan pelbagai perayaan secara online selama 2 tahun kerana dilockdown akibat Selamat menyambut Hari Deepavali kepada sesiapa yang meraikannya.

Jangan lupa patuhi SOP ok.

11 June 2020

Apakah cara yang paling sesuai untuk orang Pekak membaca AlQuran? edited


1. Saya ingin membangkitkan isu berkaitan orang pekak membaca al-Quran kerana membaca al-Quran ialah salah satu daripada tuntutan agama. Sebagai contoh Allah memerintah Muhammad s.a.w membaca sepertimana dalam surah (al-'Alaq 96:1)  iaitu Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).

2. Walaupun Muhammad SAW tidak tahu membaca tetapi malaikat membantu baginda membaca surah tersebut.
 
3. Ini membawa maksud  bahawa tanggungjawab masyarakat sekeliling untuk membantu  umat Allah termasuk orang Pekak untuk membaca al-Quran. Namun timbul pula persoalan bagaimana hendak mengajar orang Pekak mengaji al-Quran kerana mereka tak boleh mendengar.
 
4. Komuniti Pekak di Malaysia gembira dengan hadis “Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran maka baginya satu kebaikan dengan bacaan tersebut, satu kebaikan akan digandakan 10 kebaikan dan aku tidak mengatakan alif laam miin الم))satu huruf akan tetapi alif satu huruf, laam satu huruf dan miim satu huruf.”
 
5. Dari hadis itu sudah menjadi trend di kalangan orang Pekak pada masa kini iaitu membaca al-Quran dengan menggunakan ejaan jari hijaiyyah supaya mendapat keberkatan dan pahala tetapi persoalannya apakah benar begitu?

6. Jika mengikut Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-482: Hukum Membaca Al-Quran Dengan Bertajwid ada menerangkan bahawa Islam menuntut umatnya yang membaca al-Quran dengan bacaan yang baik lagi elok, dan boleh difahami dengan bertajwid.

7. Tajwid dari sudut bahasa ialah sesuatu itu menjadi baik dan elok (lawan kepada buruk). Manakala dari sudut istilah pula ia bermakna memberikan atau meletakkan setiap satu huruf apa yang patut baginya (haknya) dari segi sifat-sifat huruf seperti menyatakan atau membunyikan, dan juga apa yang dimestikan baginya dari segi apa yang terhasil daripada sifat-sifat itu seperti tebal, nipis dan sebagainya. (lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 10/177).

8. Selain dari itu dituntut juga supaya al-Quran dibaca dengan dengan betul seperti kata Surah al-Muzammil (4) yang bermaksud:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا ﴿٤﴾
... dan bacalah al-Quran dengan "tartil".


9. Bacaan tartil  ialah  bacaan yang perlahan-lahan, tenang dan melafazkan setiap huruf daripada makhrajnya yang tepat mengikut hukum-hukum bacaan tajwid dengan sempurna, merenung makna, hukum dan pengajaran ayat.

10. Tingkatan bacaan ini biasanya bagi mereka yang sudah mengenal makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan hukum-hukum tajwid. Tingkatan bacaan ini adalah yang paling baik dan lebih diutamakan kerana telah sabit daripada firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Telah Kami (Allah) membacakannya (al-Quran) kepadamu (Muhammad) secara tartil” – Surah al-Furqan ayat 32.

11. Oleh itu dua nas atau ayat daripada Alquran tersebut sudah cukup untuk mengkukuhkan tuntutan yang bacaan al-Quran hendaklah bersuara serta memahami maksudnya (merenung makna, hukum dan pengajaran ayat).

12. Berbalik kepada persoalan orang Pekak yang tidak dapat mendengar serta menyebut bunyi huruf dan bertajwid, apakah cara yang paling sesuai bagi golongan ini membaca al-Quran?

13. Adakah membaca al-Quran dengan mengeja ejaan jari hijayyah boleh diterima walhal ayat al Quran di atas sudah menyatakan kepentingan membaca dengan tajwid dan tartil? 

14. Kita mesti sedar bahawa orang Pekak adalah dari pelbagai latar belakang, ada yang tidak boleh mendengar dengan baik atau dipanggil kurang pendengaran dan ada yang tidak boleh mendengar langsung yang dipanggil pekak (definasi DBP). Mereka ini juga dari latarbelakang pendidikan yang berbeza iaitu boleh membaca dan menulis dengan baik atau tak boleh membaca dan menulis langsung. Ada yang boleh bersuara dan ada yang tidak.

15. Pada masa ini ada yang mencadangkan orang Pekak membaca Al Quran melalui penggunaan bahasa isyarat tetapi pada pendapat saya, cara tersebut adalah satu kaedah yang terakhir dan paling sesuai untuk golongan orang Pekak tidak boleh membaca dan menulis langsung.

16. Ini adalah kerana bagi mereka yang boleh mambaca dan menulis dengan baik, tidak semestinya bergantung kepada membaca Al Quran dalam bahasa isyarat kerana mereka boleh membaca terjemahannya. Manakala orang Pekak dan Kurang Pendengaran yang mempunyai suara boleh dilatih membaca AlQuran dengan cara tajwid dan tartil.

17. Di negara kita belum mempunya bank isyarat bagi terminologi Islam yang lengkap, yang boleh membezakan perkataan digunakan seharian dengan bahasa Al Quran. Jika kita guna isyarat komunikasi seharian untuk menterjemahkan bahasa Al Quran akan berlakunya lari dari maksud. 

18. Oleh itu saya berharap adanya sesiapa boleh memberikan pandangan bagi merungkai cabaran dan permasalahan yang dihadapi oleh orang Pekak dalam membaca AlQuran mengikut hukum atau rukun yang ditetapkan.

01 March 2019

Menguasai Bahasa Vokal Oleh Orang Pekak


Untuk menguasai bahasa pertuturan iaitu Bahasa Melayu atau Inggeris memerlukan sokongan banyak pihak kerana kesedaran tersebut akan menyakinkan usaha untuk mencapai matlamatnya.

Sebagai proses biasa, ibubapa akan konsultasi dengan pakar perubatan atau pegawai kebajikan untuk mendapatkan nasihat apabila didapati anak mereka yang disahkan Pekak. Pada waktu itu adalah saat yang sangat penting bagi ibubapa membuat keputusan yang betul untuk anak mereka. Jika tersalah memberi informasi akibatnya adalah buruk. Adalah kebiasaan pakar perubatan akan memberikan medical perspective atau pandangan perubatan iaitu penggunaan alat bantu pendengaran untuk penyelesaian masalah orang Pekak tetapi dari sudut pandangan sosial adalah berbeza kerana ianya lebih cenderung kepada kepentingan komunikasi.

Komunikasi yang dimaksudkan ialah bentuk bahasa, bahasa vokal (bahasa pertuturan) dan bahasa non vocal atau bahasa isyarat. Kedua-dua bahasa tersebut adalah berbeda kerana bahasa isyarat tidak mengeluarkan bunyi dari mulut.

Oleh itu perkara utama ialah kefahaman definasi pekak, jika kira cari artinya melalui Kamus Dewan, pekak bermaksud tidak dapat mendengar langsung atau tidak dapat mendengar dengan baik. Justeru itu, ia membawa bermaksud 2 kumpulan iaitu pekak dan kurang pendengaran. Kita tidak boleh satukan 2 katergori tersebut dalam satu kumpulan kerana kemampuan dan methode menguasai bahasa pertuturan.untuk 2 kumpulan yang berbeda.


Bahasa Melayu adalah bahasa vokal (pertuturan), untuk menyebut perkataan Bahasa Melayu adalah berkaitan dengan pendengaran seperti vokal, konsonan dan diftong. Orang pekak tak dapat mendengar dan tidak dapat menyebut sesuatu perkataan dalam Bahasa Melayu atau Inggeris dengan betul. Apabila mereka tak dapat mendengar bunyi dan mengenal perkataan tersebut, mereka tidak dapat mengeja dan menulis dengan betul. Oleh itu untuk memenuhi keperluan pendidikan kita iaitu kemahiran Bahasa Melayu, orang pekak terpaksa menggunakan teknik hafalan setiap perkataan Bahasa Melayu. Menghafal 10,000 kosa kata itu satu yang amat beratkan?


Paling mencabar untuk mereka ialah apabila membuat karangan Bahasa Melayu, jadi untuk membantu mereka menulis, kita hendaklah terlebih dahulu menguasai bahasa pertuturan mereka iaitu bahasa ibunda mereka atau bahasa pertama mereka atau bahasa isyarat untuk menerangkan peraturan bahasa tersebut; cara mengolahkannya mengikut intonasi, peraturan serta budaya bahasa.

Jangan sekali membiarkan mereka sendirian serta menganggap yang mereka memahaminya apa yang anda cakap. Kegagalan mereka menguasai bahasa tersebut boleh disebabkan kegagalan pengajarnya membimbing dengan cara yang betul.

Kesimpulannya, untuk membantu orang Pekak menguasai bahasa hendaklah bermula dari awal. Para pegawai perubatan hendaklah memaklumkan kepada ibubapa akan kepentingan komunikasi, tak kira mengguna bahasa isyarat atau alat bantu pendengaran, yang penting ialah melengkapkan kanak-kanak pekak tersebut dengan asas bahasa pertama yang kukuh. Dengan adanya asas bahasa tersebut akan memudahkan untuk menguasai bahasa kedua iaitu bahasa pertuturan.

Di universiti juga mesti mengadakan subjek Pengajian Bahasa Isyarat Malaysia untuk guru yang ingin mengajar di sekolah pekak dan bahagian yang bertanggungjawab menghantar guru baharu ke sekolah Pekak mesti pastikan mereka mempunyai sijil kemahiran berbahasa isyarat dari university tersebut.

Masa hadapan orang Pekak tak akan gelap jika tiada bahasa seperti dinyatakan oleh pakar perubatan tetapi sememangnya akan gelap jika tidak dibimbing cara betul untuk menguasainya.

17 June 2018

Hari Raya Aidilfitri 2018

Saya mengikut perkembangan sambutan raya bangsa Pekak melalui Facebook, mereka muatnaik gambar sekeluarga dengan baju raya yang berwarna warni. Ada gambar mereka bersama anak yang sudah dewasa, ada yang bersama anak yang masih kecil dan ada juga yang sudah mempunyai cucu. Ada juga semua anak mereka belajar di universiti dan berkerja. 

Siapa kata bangsa Pekak mempunyai masa depan yang suram. Bangsa Pekak sekarang terbukti berjaya dalam hidup dan bahagia, alhamdulillah. Walaupun ada yang tak berjaya tetapi adalah disebabkan salah asuhan.

Oleh itu kepada ibubapa yang mempunyai anak Pekak, bukan alasan anda tak tahu berkomunikasi dalam bahasa isyarat atau tak tahu apa nak buat dengan anak Pekak. Belajarlah bahasa anak anda, berkomunikasilah dengan anak anda, berikan kasih sayang, bimbinglah mereka, berikan pendidikan agama. Insyallah mereka akan menjadi insan yang berjaya sepertimana bangsa Pekak berjaya memikul amanah membesarkan anak mereka yang bukan Pekak.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Mohon maaf zahir dan batin.









13 June 2018

Selamat Hari Raya Aidilfitri



SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2018
MAAF ZAHIR DAN BATIN



DARI KAMI DI MFD.

I am 60...

Februari 2018 genaplah umur saya 60 tahun. Disepanjang 60 tahun hidup saya, hampir tiga suku usia saya bergelumang bersama bangsa Pekak, memperjuangkan hak mereka, menyediakan keperluan mereka. Masa berlalu dengan pantas dan saya menyaksikan bangsa Pekak berjaya dalam hidup mereka selari dengan pembangunan negara, juga banyak ruang tersedia untuk bangsa Pekak.

Kemanakah saya selepas ini? Kebanyakan teman saya telah bersara, memenuhi masa bermain dengan cucu serta mendekat diri kepada tuhan. Timbul persoalan, apakah perlu saya tinggalkan kerja saya dalam pembangunan bangsa Pekak? 

Walaupun perjuangan itu masih jauh lagi namun saya percaya ada pengganti yang akan meneruskan perjuangan itu. Kakak saya pernah berkata kepimpinan saya adalah gagal jika tiada pengganti.

Oleh itu, saya ambil keputusan tidak lagi memegang jawatan sebagai Presiden MFD. Cukuplah dengan jawatan dan tugas yang kecil, slow down kata teman saya kerana kita sudah tidak lagi gagah seperti dahulu sebab memasuki alam 6 series. Saya akan menjadi penasihat jika diperlukan serta bertukar fikiran serta pengalaman.

Keluarga saya telah membuat satu surprise party dengan menjemput para saudara mara dan sahabat handai. Kakak tiri saya datang dari Matang, Taiping, teman rapat dan mengenali saya datang dari jauh, Pulau Pinang pun ada. Mereka datang diam2 tanpa pengetahuan saya. Terima kasih semua dan terpahat satu memori yang paling indah bagi saya.

Saya sudah menjadi warga emas sekarang dan layak mendapat kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Teman saya melawak, warga emas dapat potongan 50% diskaun campur sebagai OKU Pekak dapat lagi 50% diskaun jadi FREE lah....

Syukur alhamdulillah kerana Allah swt telah memberikan peluang kepada saya serta mengizinkan saya untuk terus berbakti kepada keluarga, bangsa dan ugama.

27 January 2018

Tragedi Tg. Sepat.

Trajedi seorang lelaki Pekak yang menamatkan dan membakar 4 nyawa di Tg Sepat, Selangor telah menjadi peristiwa besar di negara kita dan mendapat liputan luas di dalam dan luar negara. 

Komuniti Pekak juga telah membicaranya dan rata-rata dari mereka membuat public judgement yang tertumpu kepada kesalahan pelakunya. 

Malahan Komuniti Pekak kita bersimpati dan mengumpul derma kilat untuk diberikan kepada keluarga si mati tersebut tanpa menyedari komuniti Tg Sepat adalah komuniti tergolong yang berada.

Kes itu telah disiasat oleh polis dan cukup bukti untuk didakwa ke mahkamah. Orang Pekak itu telah menjadi Orang Kena Tuduh (OKT). Kes tersebut adalah satu jenayah berat dan akan berdepan dengan hukuman mati.

Saya tidak faham mengapa dia sanggup bertindak sedemikian dengan menamatkan 4 nyawa. Mengikut cerita dari mereka yang mengaku kawan rapat, OKT itu memang jahat, pinjam duit ahlong tetapi kita tunggu apakah cerita sebenarnya dari pembicaraan mahkamah.

Negara kita ada undang-undang dan kita percaya pembicaraan akan berjalan dengan lancar.

Persoalannya sekarang bagaimana status isteri dan anak OKT? Isteri OKT ialah juga seorang Pekak dan tidak bekerja. Mengikut maklumat, selepas kematian tersebut dia telah tidak diterima oleh keluarga si mati termasuk kedua abangnya yang juga Pekak. Justeru itu dia perlu memulakan hidup baru.

Apakah kita sedar akan kesusahan yang dihadapi oleh isteri OKT?  Isteri dan anak telah hilang tempat bergantung kerana OKT itu merupakan ketua rumah.  Kereta OKT, dokumen penting termasuk kad bank ditahan oleh polis sebagai bahan bukti. Hal itu menyukarkan pergerakan isteri dan menyara diri.

Isteri OKT tidak terlibat dalam pembunuhan itu dan dia tidak bersalah, jangan kita menghukum dia. 

Beliau perlu dibantu dan dimotivasikan bagi memulakan hidup baru tanpa suami. 

Apakah kita tahu dia perlu duit untuk hidup, beli barang makan untuk anak, sewa rumah dan keperluan seharian? Oleh itu terletak kepada hati budi kita semua.

https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/01/25/court-turns-down-psychiatric-observation-request-for-accused-in-murder-arson-case/

24 January 2018

Kepentingan Perkhidmatan Jurubahasa Isyarat di Sesi Perubatan.

Berita tular di Facebook berkaitan dengan kematian 2 orang Pekak dari Melaka baru-baru ini telah mendapat respon kesedihan dari komuniti orang Pekak di seluruh negara dan juga luar. Betapa tidak, kedua mereka merupakan insan yang dikenali didalam lingkungan komuniti orang Pekak yang kecil ini.

Kepergian mereka, kita tidak dapat menandingi kuasa tuhan kerana Dia telah menetapkannya.

Namun persoalan timbul kerana mereka berdua adalah masih muda dan juga ahli sukan yang mempunyai gaya hidup yang sihat.

Dimaklumkan kematian mereka adalah berkaitan dengan perubatan. Namun disegi perubatan, kita boleh mengelak, menangguh atau pencegahannya.

Persoalan yang timbul ialah apakah kita sedar akan keperluan penjagaan kesihatan dan mendapat perkhidmatan semasa berurusan dengan perubatan.

Berurusan dengan perubatan berkaitan dengan kesihatan kita adalah sangat penting kerana berkaitan dengan nyawa kita - hidup atau mati. 

Oleh itu dengan pergunaan perkhidmatan jurubahasa isyarat, kita mendapat informasi penuh semasa konsultasi dengan doktor atau pakar berkaitan dengan penyakit kita, penggunaan ubat, pantang larang dan juga pencegahan.
Ada diantara kita orang pekak, menanggap perkhidmatan jurubahasa isyarat adalah tak perlu dan satu perkara yang remeh. Ada dari kita anggap masalah komunikasi boleh diselesaikan dengan bantuan keluarga atau bertulis dengan doktor atau pakar.

Namun kita wajar tahu, bahasa perubatan juga amat berbeza dengan bahasa komunikasi seharian. 

Hanya orang yang mahir dalam bahasa boleh memahami apa yang disampaikan oleh doktor dan pakar.

Manakah yang lebih penting antara nyawa kita atau sedikit duit nak bagi kepada jurubahasa. 

Lagi pun kita mampu beli telefon bimbit yang mahal, melanggan data bulanan telco dan sebagainya. Nyawa atau duit?

Oleh itu, sekiranya anda merancang atau perlu berjumpa dengan doktor; sila dapatkan perkhidmatan jurubahasa isyarat yang boleh didapati di persatuan yang bergabung dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia.

Gambar : sumber internet.

06 October 2017

Sekejab Dengan Pemandu UBER Pekak

Lee ialah sahabat lama saya. Kita lama tak berjumpa kerana kesibukan tugas. Takdir telah menemukan kita dan terus pergi pekena teh kat warong berdekatan.

Kita berbicara kisah lalu dan dia menceritakan bahawa sudah menjadi pemandu UBER selama 2 tahun. Dengan menggunakan Perodua Myvi dia bekerja sepenuh masa dan pendapatannya adalah lebih dari apa yang dia dapat semasa kerja di syarikat.
Saya mengorek cerita apakah cabarannya sebagai pemandu UBER Pekak.
Jawapannya adalah positif. Perlu kerja kuat, dedikasi dan bersabar. Hujan, panas, jem dan sebagainya perlu dilalui dengan sabar. Mencari rezeki bukannya senang katanya.
Ada orang panik bila mengetahui anda pemandu Pekak? Tanya saya.
Jawapannya tidak, sistem e-hailing UBER ada memaklumkan bahawa pemandu itu Pekak.
Komunikasi macamana? SMS dengan klien. Anda mesti menguasai BM dan English supaya tidak menjadi miscommunication.
Cabaran yang paling sukar? 2 kali membawa klien buta. Nak beritahu bahawa saya pemandu pekak tapi dia tak nampak bahasa isyarat saya. Nak tulis dia tak nampak tulisan saya. Jadi saya hantar dia sahaja ke lokasi yang diminta dan sampai di lokasi saya minta orang awam bantu menanya apakah lokasi itu betul? Phuuhhh..
Untuk mengambil orang buta pun masalah. Dah nampak dia tapi macamana nak panggil dia masuk kereta? Nak tanya, saya tak boleh bercakap. Jadi saya terus tepuk bahu dan pimpin masuk kereta. Nasib baik tak kena pukul dengan tongkat putih kerana mungkin tersalah orang... ingat saya nak culik dia... hahahaha.. cerita Lee.
Nasib baik saya sudah biasa dengan OKU dan tahu cara membantu mereka melalui program DRST - Disabled Related Service Training.
Untuk berkomunikasi dengan orang buta senang sahaja, sms atau whatsapp kepada orang buta guna smart phone or stupid phone. Mobile phone memang ada aplikasi teks ke voice dan orang buta juga boleh menulis mesej kerana dalam aplikasi itu juga ada voice to teks.
Senang bukan? Saya juga berpengalaman share room dengan orang buta dan kami berkomunikasi sambil bergurau melalui whatsapp.
Terima kasih kepada teknologi.
Nak cjadi pemandu UBER atau GRAB? Tiada halangan untuk anda untuk menambah pendapatan anda.

11 September 2016



Rentetan filem PEKAK, telah menjadikan perkataan pekak popular. Banyak dibicarakan dimedan sosial secara positif dan negatif.

Mengikut kamus DBP edisi sebelum 2008, pekak membawa erti tidak boleh mendengar dengan baik atau tidak boleh mendengar langsung. Erti tersebut jika menurut pandangan perubatan ia merangkum kepada kumpulan mempunyai pendengaran tahap moderate dan bagi tidak mendengar langsung ialah kumpulan dari serve ke profound.

Manakala dari segi pandangan sosial maksud yang diterangkan oleh DBP ialah 2 kumpulan iaitu kurang pendengaran dan pekak.

Namun edisi DBP terbaharu telah menambah maksud iaitu kumpulan yang tidak mahu mendengar atau degil.

Oleh itu pihak DBP terlebih dahulu menginaya kumpulan orang pekak dan mempengaruhi masyarakat sekeliling untuk melabelkan pekak sebagai satu yang negatif.

Hasilnya masyarakat tersebut termasuk para pemimpin politik tanpa rasa bersalah dengan emosi serta cetek akal menggunakan pekak, bisu atau buta untuk menyerang mereka yang tidak sehaluan.

Dari itu juga perkataan pekak telah menjadi popular dan lebih membawa maksud yang negatif.

Persoalannya, apakah pekak itu degil dan tak makan nasihat? Orang pekak itu sememangnya tak boleh mendengar apa yang anda tuturkan dan mereka tidak faham apa yang dituturkan. Apabila tidak faham dituturkan janganlah dichop orang pekak sebagai degil. Anda boleh membuat orang pekak faham jika berkomunikasi menggunakan bahasa mereka.

Bagi Bahasa Melayu kita ada 10,000 lebih kosa kata tapi adalah tidak bertamadun kalau mengambil perkataan pekak bagi membawa maksud degil. Ada banyak perkataan boleh digunakan dan janganlah merosakkan kumpulan minoriti ini.

Bagi filem PEKAK yang diperkatakan, itu adalah realitinya. Memang ada orang Pekak menjadi penagih dan pengedar dadah.

Mengapa berlaku? Masyarakat sekelilinglah yang menconteng corak hidup mereka samaada  baik atau buruk.

Sepatutnya pihak produksi filem dan penulis skrip mendapatkan pandangan dari tuan punya badan supaya dapat mengelakkan kontroversi.

Juga kepada para pembikin filem, sepatutnya memberikan kepada orang pekak membawa watak dan bukan menggunakan orang bukan pekak melakunkan watak itu.

14 April 2015

Rezeki dari Bahasa Isyarat Malaysia

Semasa MFD melaksanakan projek Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) pada awal tahun 1999 ada segelintir mereka yang dari komuniti orang Pekak memperkecilkan usaha kita. Ada yang kata kita orang Pekak mana tahu pasal  bahasa isyarat dan mana mampu buat projek lagi pun BMKT sudah ada. Kita buat projek ini dengan serba kekurangan dan berjalan dengan perlahan sampai dicop sebagai projek pekasam.

Akhirnya kita berjaya juga. Kita lancarkan BIM dan membuat roadshow ke seluruh negara. Untuk mengembangkannya, kita perlu mempunyai modul khusus untuk belajar BIM. Oleh itu, kita bangunkan modul Kursus Asas Bahasa Isyarat Malaysia atau nama ringkasnya KABIM.



Modul tersebut dinaik taraf beberapa kali. Kita melaburkan wang ringgit termasuk menjemput Dr. Don Bangs dari USA pada tahun 2006 untuk membimbing pembangunan modul kursus BIM. Kita mencuba modul baru tersebut dan hasilnya ada peningkatan dalam cara pengajaran kita.


Pada tahun 2007, modul KABIM digunakan untuk Diploma Jurubahasa isyarat dan juga Kursus Intensif Bahasa Isyarat Malaysia untuk para penjawat awam dan swasta di Hotel Selesa, Johor Bahru dan Pearl International Hotel, Kuala Lumpur. Projek tersebut adalah dibawah pembiayaan Kerajaan Malaysia sebanyak RM 12 juta untuk selama setahun.

Kehadiran dua sukarelawan JICA pada tahun 2008 telah memberikan input yang berharga kepada modul kursus tersebut. Lawatan saya ke Jepun untuk meninjau lebih dekat cara perlaksanaan kursus tersebut juga telah menghasilkan modul yang digunakan sehingga hari ini.

MFD tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan ahlinya. Beberapa siri bengkel untuk tenaga pengajar BIM diadakan dan menggunakan modul tersebut. MFD menekan kepada kualiti dan kemahiran mengajar BIM kerana para pelajarnya ialah terdiri daripada golongan profesional.

Dari itu, MFD telah mendapat banyak jemputan untuk mengadakan KABIM diseluruh Malaysia. MFD mengutip yuran profesional daripada peserta KABIM bagi membayar tenaga pengajar, peserta interaksi, buku, ujian, sijil dan lain-lain. 

Ahli Majlis MFD juga telah bersetuju supaya hasil bersih KABIM yang dilaksanakan di negeri Ahli Gabungan hendaklah dibahagikan 70% kepada Ahli Gabungan tersebut untuk membantu Ahli Gabung menambah dana bagi kegunaan operasi dan aktiviti.

MFD hanya menerima 30% untuk menganjur bengkel tenaga pengajar dan juga menambah buku BIM baharu.

KABIM merupakan periuk nasi MFD dan Ahli Gabungannya. Oleh itu ditekan supaya menjaga kerahsiaan modul tersebut bagi mengelakkan individu yang mengambil kesempatan. 

Alhamdulillah, konsep pembangunan dan pengembangan BIM telah berjaya. Melalui usaha MFD, telah membuka pintu rezeki kepada semua orang. Syukur alhamdulillah.




24 March 2015

Masuk Bakul Angkat Sendiri Je....

Hari ini 23 Mac 2015 genapnya 25 tahun perjuangan orang Pekak selepas Mesyuarat Ketua-ketua Orang Pekak Kebangsaan yang pertama kali diadakan pada 23 Mac 1990 bertempat di Pusat Belia Orang Pekak Antarabangsa, Cheras.


Mesyuarat tersebut dianjurkan oleh SHIMA KL atau sekarang KLSD dan saya merupakan Presidennya. Keputusan dari mesyuarat iaitu ialah menukar SHIMA KL menjadi persatuan kebangsaan supaya memberikan hak sama rata kepada orang Pekak di Malaysia dalam semua segi aktiviti. Percubaan pertama tersebut gagal kerana SHIMA KL mempunyai peraturan sebagai persatuan tanpa cawangan. 

Kegagalan itu tidak mematahkan semangat kami, SHIMA KL masih cuba menjadi persatuan kebangsaan dengan mengumpul keahlian dari seluruh negara dan menghantar permohonan kepada ROS sekali lagi tapi masih gagal juga. 

Oleh itu, ketua-ketua orang Pekak membuat keputusan untuk menubuhkan persatuan di setiap negeri dan bergabung menjadi persatuan kebangsaan. Saya telah diamanahkan untuk mengeliling negara membantu penubuhan persatuan peringkat negeri.

Apakah kita dapat dari mesyuarat ketua 1990? 

SHIMA KL atau KLSD menjadi 'role player' memainkan peranan yang penting kepada pembangunan orang Pekak kerana membantu menubuhkan persatuan peringkat negeri.

MFD ditubuhkan pada tahun 1997 dengan gabungan 8 buah persatuan orang Pekak peringkat negeri iaitu selepas 7 tahun dari mesyuarat ketua-ketua. 

MSFD juga ditubuhkan pada 1997, menggunakan nama persatuan orang Pekak negeri yang sama dengan MFD sebagai ahli gabungannya.

Komuniti kita berpandang jauh. Kita belajar cara penganjuran aktiviti berskala besar. KLSD menjadi penganjur 5th Asia Pacific Deaf Games pada tahun 1996, KLSD juga menukar nama daripada Asia Pacific Games for the Deaf kepada Asia Pacific Deaf Games. Saya menjadi co Chairman penganjuran tersebut.

KLSD juga menjadi hos WFD Board Meeting di Langkawi dan Bilingualism On Deaf Education di PWTC pada tahun 1996. 3 projek besar dalam satu tahun.

Kita berani berubah, contohnya melalui KLSD; telah memisahkan WFD RS AP dari bayang-bayang Asia Pacific Deaf Games supaya menjadi program yang tersendiri.

Untuk menwujudkan pemimpin muda, saya juga memberikan hak penganjuran 1st Asia Pacific Deaf Youth Camp pada tahun 1999 kepada KLSD. Camp ini telah menjadi acara dwi tahunan WFD RS AP. Tahun 2016 Kem ini akan diadakan di Singapura.

Untuk bidang pendidikan, melalui KLSD, saya  memperjuangkan orang Pekak menjadi guru. Masa itu orang Pekak tak dapat jadi guru kerana tak ada kredit dalam BM peringkat SPM. Cikgu Teh Kean Hoe ada memberikan input yang amat berharga iaitu terdapatnya kelonggaran kredit BM diberikan kepada calon Sabah Sarawak untuk melanjutkan pelajaran. 

Semasa mesyuarat khas Bahagian Sekolah-sekolah KPM yang diterajui oleh Puan Hajjah Wan Khaltom, saya membangkitkan dasar kelonggaran tersebut dan memohon supaya digunakan kelonggaran tersebut diberikan kepada calon Pekak. 

Semasa saya berada di Tokyo pada tahun 1991, saya mendapat berita bahawa calon pekak diterima untuk memasuki MPIK melalui dasar kelonggaran tersebut. Namun saya terlepas peluang jadi guru penuh walaupun saya memperjuangkan kelonggaran tersebut lagi pun pada masa itu saya jadi guru sandaran. Nasib baik bukan ambil kesempatan, tak ada rezeki je....

Melalui KLSD kita mulakan pembangunan ICT, KLSD merupakan organisasi pertama mempunyai laman web yang dibangunkan oleh Aqlam Jafri.

Lepas itu tahun 2000, MFD membangunkan projek epekak melalui skim DAGS yang bertujuan untuk melahirkan Celik IT dikalangan orang Pekak dan murid sekolah. Melalui itu kejayaan epekak, MFD telah mendapat bantuan kewangan dari Swiss Development Corporation untuk menyambungkan projek ICT yang dinamakan epekak2. Kita mendapat anugerah daripada UN Malaysia pada tahun 2002. Ramai orang pekak keluar dari belenggu buta huruf melalui program ini.

MFD juga memulakan projek BIM pada tahun 2000 dan sampai sekarang kita telah menerbit 13 buah buku. Modul belajar BIM juga dibangunkan dan Kursus Asas BIM atau KABIM menjadi produk MFD yang paling laris dan menjadi periuk nasi MFD. KABIM digunakan oleh semua orang walau pun secara terang dan ada juga ikut pintu belakang. BIM juga telah diterima sebagai bahasa rasmi orang Pekak di Malaysia dalam Akta OKU 2008.

Sekarang dunia persatuan orang Pekak di Malaysia berkembang, ianya menjadi satu tempat mencari rezeki, selain daripada Kursus Asas BIM yang menjadi rebutan; jurubahasa isyarat menjadi satu profession dan mempunyai gaji. Untuk memastikan orang Pekak mendapat peluang dalam semua aspek kehidupan iaitu informasi, aktiviti dan perkhidmatan, di setiap persatuan negeri mempunyai pegawai perhubungan orang Pekak yang bergaji bagi melaksanakan program. Pusat operasi persatuan juga dibantu oleh MFD sampai mereka mampu berdikari.

Melalui usaha itu, pemimpin Pekak dilahirkan dan mereka mengasah bakat dalam kepimpinan dan menunjukkan kemahiran mentadbir. Hasilnya ada mereka mendapat anugerah cemerlang dan juga pingat dari Sultan. Tapi saya masih tak dapat pingat kecuali panggilan  'datuk' dari kalangan staf saya....

Untuk pembangunan Islam bagi orang Pekak, saya memulakan usaha menwujudkan kelas kefahaman Islam di Pusat Islam pada tahun 1987 dan berkembang di seluruh negara. Dari itu juga PRISMA atau Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia dilahirkan supaya MFD tidak disalahfaham sebagai organisasi yang tertumpu kepada program Islam. MFD juga memulakan bengkel pendakwah Islam bagi melahirkan pendakwah orang Pekak. Kefahaman Islam mulai berkembang dikalangan orang Pekak.

Banyak lagi kejayaan yang telah dihasilkan dan jika kita tengok gambar tahun 1990, masih ada mereka yang berkhidmat sehingga hari ini. Sayang dan setianya mereka kepada komuniti ini...

Berkat dari mesyuarat ketua-ketua 1990, kita jadi begini. Terima kasih kepada semua yang mewarnawarnikan pembangunan komuniti kita. Semoga terus berjaya.









13 February 2015

Catatan Peristiwa Bulan Februari

7hb Februari 2015 - Mesyuarat Ahli Majlis MFD yang pertama bagi tahun 2015 untuk Ahli Majlis MFD baharu sessi 2014 - 2017 bertempat di Pulau Aman, Pulau Pinang.

9hb Februari 2015 - Endogram Test Hospital Serdang. Alhamdulillah, mendapat clean bill of health, hanya 20 - 30% blocked. Perlu jaga pemakanan dan selalu membuat senaman. Dapat cuti 7 hari.

10hb Februari 2015 - Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Malaysia kalah dalam rayuannya atas tuduhan meliwat Saiful Bukhari dan dihukum penjara 5 tahun.

11hb Februari 2015 - Pasukan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia hadir ke MFD untuk membuat pemeriksaan audit berkaitan perbelanjaan MFD yang "tidak digunakan." Petang, parti tanpa makan untuk menyambut Hari Lahir saya yang dianjurkan oleh pelajar ILSP.

12hb Februari 2015 - Hadir ke JKMM untuk sessi bersama KSU bagi perbincangan pemulangan baki geran JKMM yang tidak tidak digunakan. Keputusan, terdapatnya salahfaham dan tiada isu, tiada pemulangan baki geran MFD. Menghadiri Hign Level Task Force meeting anjuran Kementerian Luar bagi menderafkan Asean Bluepring 2015, saya mendapat kesempatan untuk mempromosi Bali Declaration, UNCRPD dan Asean Disability Forum Conference dan terus dijemput ke Asean Civil Society meeting bulan April nanti.

Terima berita Dato' Hasbullah Awang, pengulas sukan yang seangkatan dengan Dato Rahim Razali meninggal dunia.

Sampai rumah jam 10.00 pm terima informasi bahawa Dato Nik Aziz, Tok Guru dan Ulama PAS, meninggal dunia kerana sakit barah prostat peringkat 4.


27 January 2015

Nasi Kandar Line Clear

Saya diperkenalkan kepada nasi kandar Line Clear sejak tahun 1980an oleh sahabat saya Wan Mohd Ali. Memang satu yang berbeza rasanya bagi budak luar Penang. Lepas makan bau kari masih melekat kat tangan dan perut saya masih panas berjam-jam kerana rempah karinya.

Orang bukan pecinta nasi kandar akan mencari cerita negatif untuk menakut-nakutkan kita makan di sana. Ada yang bercerita tikus sebesar kucing berkeliaran dan membuat kita loya.

Namun sampai sekarang saya masih ke Line Clear, yang ditubuhkan pada tahun 1932.

Sebagai pelanggan tetap, pelayan yang lama akan mengingati saya dan kumpulan orang Pekak. Kami kadang2 dapat harga special. Bagi saya sebelum memesan makanan saya akan tanya berapa harga kepala ikan dan membuat tawar menawar. Biasanya dapat harga yang terbaik daripada pelayan tetap kami.

Kalau nak makan sana, jangan lupa minta tambah kuah campuran.... aduhai enak bukan main.

Baru-baru ini saya terkejut menerima berita dari Wan Mohd Ali mengenai Line Clear di serbu oleh MPPP (klik disini). Oh hanya angkut itu kerusi meja saja bukan lauk pauknya, kalau lauk pauk kena angkut mesti ada kenduri besar orang lain.

Namun saya sebagai penggemar kelapa ikan, berharap Line Clear pindah ke lokasi yang lain, buatlah restoran baru Line Clear dan saya percaya tak akan kehilangan pelanggan.

Biarlah line kat sana clear tapi pelanggan tetap akan terus mencari anda untuk menikmati keenakan masakan anda. Macam gerai Ghulam Rasool dulu dok bawah pokok kat Hospital Telok Intan tapi pindah ke tempat lain yang lebih besar dan selesa. Pelanggan tetap ramai.

Pindahlah Line Clear....




19 January 2015

Harapan dan masa depan

Saya merasa apa yang ibubapa yang mempunyai anak pekak rasa apabila menyekolahkan anak pekak mereka. Semua orang mahukan anak mereka berjaya dalam pendidikan agar mempunyai masa depan yang baik.

Namun keadaan sekeliling telah merencatkan harapan mereka, ada sekolah dekat rumah tidak menerima mereka, ada yang menerima mereka tapi tanpa keperluan iaitu jurubahasa isyarat dan guru resos.

Demi anak masa depan, terpaksalah menghantar ke sekolah intergrasi yang jauh dari rumah. Nak mengeluh kesukaran pergi balik tapi terpaksa diamkan diri kerana tak mahu apa kata orang lain bahawa kita pandai buat anak tapi tak tahu jaga anak.

Kerajaan bagi RM 150 sebulan buat duit poket untuk pelajar OKU tapi buku bank cikgu yang simpan dan kawal perbelanjaan kerana takut ibubapa salahguna duit beli arak atau rokok.

Macamana nak bayar pengangkutan? Macamana nak bayar tuisen kerana di sekolah terhad pembelajarannya. 

Hantar ke sekolah intergrasi memang bagus sebab ada persaingan. Tapi macamana nak bersaing jika kita ketinggalan dalam banyak hal terutama komunikasi dan informasi? Sebagai contoh bila masa perhimpunan apakah informasi sampai kepada pelajar pekak?

Masuk kelas cikgu akan menyampaikan ilmu, jika tak ada kemahiran dalam bahasa isyarat bagaimana ilmu hendak disampaikan?

Jangan jadi macam lagu bangau oh bangau...

oh anak oh anak
mengapa kau tak pandai

aku tak pandai kerana cikgu tak ajar aku..

oh cikgu oh cikgu
mengapa kau tak ajar anak aku

aku tak ajar anak kamu kerana aku tak pandai berisyarat...

oh cikgu oh cikgu 
mengapa kau tak pandai berisyarat...

aku tak pandai berisyarat kerana Kementerian belum buat kursus.....

aduh....





12 January 2015

Kenangan 2014

Selamat Tahun Baru 2015

Ada apa yang baru? Badan aku bukan jadi baru tapi bertambah garisan usia dan rambut yang hitam jadi putih. Salt and pepper. Nak test market, saham pun turun. Bumi ini juga makin menjadi tua tak jadi baru tapi hanya nombor tahun yang bertukar dari 2014 ke 2015. Azam baru? Azam tahun 2014 ada dilaksanakan dan telah dicapai?

Selama aku menerajui MFD ada pahit manis masam, yang manis 1hb April 2014 Majlis Penyerahan 6 Lot Pejabat di Tingkat 4, Menara KLH oleh Yayasan Sime Darby kepada MFD. Alhamdulillah, MFD menjadi organisasi yang ditadbirkan oleh orang Pekak mempunyai bangunan sendiri. Tak payah fikir cari duit nak bayar sewa lagi tapi pening kepala sebab nak bayar cukai pintu dan maintance bulanan.

7 bulan kemudian 1hb Oktober 2014, hari yang manis bersejarah kepada komuniti kita kerana projek BIM tajaan kerajaan Jepun tamat dan Majlis Penyerahan Buku BIM Teknikal diadakan di Parlimen Malaysia. Mengimbau kenangan 11 September 2007 yang mana pasukan kita mempromosikan BIM kepada YB YB policy maker di Parlimen, menyerahkan memorandum kepada YB Menteri untuk mengiktirafkan BIM dan dari itu juga Akta OKU 2008 dibaca dan diperkenan diRaja pada 2008.

Tamat Majlis Penyerahan Buku, Menteri Kedutaan Jepun pelawa MFD mintak duit lagi buat projek lagi sebab mereka bangga akan pencapaian kita dan percaya akan kewibawaan kita. Arigato gozaimasu. Gomenasai, kita dah terikat dengan perjanjian dengan YSD, projek BIM akan menyusul. Next time sir.

2 bulan kemudian 1hb November 2014, Mesyuarat Agung MFD diadakan di Dewan MFD-YSD. Orang kata panas tapi mengikut landasan undang-undang. Orang kita dah mulai membuka mata dan menunjukkan kematangan dalam berpersatuan. Cakap tak ditapis biasalah, selagi hidup ada mulut bercakap kecuali mati tapi apa yang tercakap tetap tertulis dalam buku untuk dijawab diakhirat nanti. Saya diberi amanah 3 tahun lagi.

Terima kasih kepada YB Tan Sri Penasihat MFD, YSD, Ahli Majlis MFD, Ahli Gabungan MFD, staf, JBI dan semua yang terlibat yang telah membawa MFD kepada kejayaan. 

Bulan Disember kat Kelantan dilanda banjir, Pahang, Kedah, Perak....Sultan Kelantan bertitah kemusnahan alam adalah perbuatan manusia (klik sini). Macam-macam cerita...






07 September 2014

Nothing About Us Without Us

Saya amat tertarik dengan beberapa pembentang kertas kerja di satu persidangan berkaitan dengan anak OKU yang diadakan di ibukota baru-baru ini. Beliau menyatakan bahawa kita OKU memberikan rezeki kepada beratus-ratus orang guru yang mengajar di sekolah khas. 

Maksudnya ialah jika tiada OKU maka tiadalah orang akan bekerja sebagai guru untuk mendidik OKU. Menjadi guru juga akan menerima gaji serta elaun yang halal bagi digunakan untuk menyara keluarga.

Ayat beliau bukan sesuatu yang baru, ianya telah menjadi tema bagi Tahun OKU Antarabangsa 2004 iaitu Nothing About Us Without Us.  Ianya memberikan maksud iaitu penyertaan OKU adalah diwajibkan dalam apa sahaja usaha untuk pembangunan komuniti mereka kerana mereka lebih arif akan keperluan diri mereka. Untuk mengetahui maksud ayat ini boleh didapati dari pada disini.

Kita OKU tidak minta dilahir ke dunia, namun kuasa Allah menjadikan kita OKU. Kita pasrah dan lalui kehidupan sebagai OKU dan menikmati asam garam kehidupan ini. OKU menyambut segala usaha untuk "membantu" mereka tetapi sebaik-baiknya "pertolongan" tersebut dibincang dan dipersetujui dahulu secara bersama-sama. 

Firman Allah yang bermaksud : "Serulah ke jalan tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah sesama mereka dengan baik." (An-Nahl : 125)

Janganlah dizalimkan OKU dengan perbuatan atau keputusan yang tidak diterima oleh mereka.

Masyarakat di negara kita masih belum sedar dan menerima kehadiran OKU, sebagai bukti sehingga hari ini terdapatnya kecelaruan dalam memberikan nama yang sesuai untuk kumpulan ini. 

Sebagai contoh ada pembentang kertaskerja memberikan nama Orang Kelainan Upaya dan nama yang lain seperti anak istimewa kepada OKU. Nama-nama tersebut tidak selari dengan nama-nama yang terkandung didalam Akta 685 atau Akta Orang Kurang Upaya 2008 mahupun dokumen antarabangsa iaitu UNCRPD - United Nation Convention for the Right of People with Disabilities. Apakah mereka tidak sedar akan kewujudan Akta OKU 2008 atau mengabaikannya?

Walaupun ada apa pada nama tapi diharapkan para penceramah patutnya lebih berhati-hati dalam menggunakan perkataan yang tertuju kepada OKU agar tidak menyinggung perasaan mereka dan orang lain. Sebagai contoh melabelkan OKU sebagai golongan tidak bernasib baik boleh disalah tafsir. 

Siapakah yang menyebabkan kami OKU menjadi tidak bernasib baik? Jika kami OKU tidak dapat bersekolah oleh kerana kemudahan untuk OKU tidak disediakan; apakah kami dilabelkan tidak bernasib baik? 

Apabila adanya cerita penderitaan ibubapa yang mempunyai anak OKU mengalami kepayahan membesarkan anaknya, apakah ibubapa di label sebagai ibubapa yang tidak bernasib baik?

Oleh itu, jika kita hendak mencapai matlamat untuk memberikan kehidupan yang lebih baik lagi kepada OKU, wajar sekali kita memberikan ayat yang positif dan motivasi.

Zaman sekarang melalui internet, OKU menerima banyak informasi dan mereka juga mempunyai mata dan telinga. Mereka boleh menilai. Kita tidak boleh menyembunyikan sesuatu lagi. Apa-apa sahaja pun, keperluan mereka wajar dipenuhi kerana mereka juga tertakluk kepada qada dan qadar walau berpotentasi menjadi ahli syurga.