1.Saya masih ingat sebelum Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur di tubuhkan pada tahun 1987, saya dengan kawan-kawan beragama Islam dari Kelab Pekak Kuala Lumpur menganjurkan jamuan hari raya.
2.Orang-orang Pekak yang awal terlibat ialah Nik Firdaus, Nik Darwawan, Rosli dan Roslan Pakeh, Nasir Shuib, Nasir, Syed Osman, Kamarzaman, Rosnah Abu Samah serta nama-nama yang saya lupa. Kami bersama-sama merancang dan mengadakan jamuan hari raya secara berkongsi wang dan makanan. Kami menjemput orang Pekak Islam dan bukan Islam ke jamuan tersebut. Walau pun kami berkelab di YMCA Brickfields, kami tidak membuat jamuan tersebut di situ tetapi memilih di tempat lain yang berkecuali.
3.Program tersebut sangat berjaya dan ianya diadakan setiap tahun. Saya cuba ingat tempat-tempat yang awal kami buat jamuan Hari Raya iaitu di rumah Cik Rosnah Abu Samah di Lembah Keramat, Balai Raya Ampang Tasik, SK Pendidikan Khas Kg. Baru, MAVOGA dan sebagainya.
4.Bagaimana kami menganjurnya? Kami mengeluarkan wang sendiri, mengutip derma dari kawan Pekak, rakan pejabat, keluarga dan sebagainya untuk membeli makanan di jamuan hari raya tersebut. Orang Pekak masa dulu, walaupun gaji tak besar tetapi tidak kedekut untuk menderma atau menyokong program kita.
5.Sebelum hari raya kami sudah membuat persediaan dan membahagi tanggungjawab, siapa yang menyediakan makanan, siapa yang menyediakan minuman, mencari derma dan sebagainya. Saya masih ingat Rosnah akan menderma nasi impit dan kuah kacang, rendang daging yang enak, saya akan memasak kari ayam, lain-lain akan membawa bihun, kueh raya dan buah-buahan. Wang kutipan kita beli air sirap, oren untuk minuman, pinggan kertas dan cawan.
6.Masa itu kita tak ada kenderaan sendiri, kita bawa makanan dari rumah naik Bas Mini, teksi, bas, motorsikal ke tempat jamuan. Masa itu hanya Nik Darmawan sahaja ada kereta, dan Nik Firdaus meminjam kereta bapanya untuk membawa makanan.
7.Semangat gotong-royong orang Pekak Islam adalah sangat tinggi. Kita mempunyai barisan pemimpin yang bekerja keras, saling bantu membantu untuk menjayakan program tersebut.
8.Kita meneruskan tradisi tersebut dan menganjurkan jamuan setiap tahun. Orang Pekak India juga mengikut langkah kita dengan membuat jamuan Deepavali, orang Pekak Cina membuat sambutan Tahun Baru Cina dan juga Parti Krismas oleh yang beragama Kristian.
9.Kita orang Pekak amat bangga kerana telah memulakan program ini sejak sebelum tahun 1987 lagi. Sekarang ianya telah berubah. Jabatan kerajaan, parti politik menjadi penaja atau penganjur jamuan 'open house' kerana kekuatan kewangan mereka dan fungsi kita mulai berkurang.
10.Jika kita lepas tangan atau membiarkan sahaja hal ini, semangat kerjasama orang Pekak akan hilang, sikap dermawan juga akan pupus, kemahiran memimpin juga akan mati.
11.Saya merindukan jamuan yang kita anjurkan dulu, lebih enak masakan bonda dari rumah daripada katering.
No comments:
Post a Comment