09 October 2008

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Terima kasih kepada internet kerana saya mampu mendapatkan berita dan informasi terkini serta talk of town. Petang semalam saya membuka Utusan Online dan terbaca berita terkini iaitu PM Malaysia DSAAB mengumumkan beliau tidak bertanding sebagai Presiden UMNO dan meletak jawatan sebagai PM bulan Mac 2009.

Isu kepimpinan DSAAB, politik Malaysia saya ikuti melalui pelbagai blog tempatan dan saya bertuah kerana dapat mengikuti perkembangannya. Ianya adalah berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya yang mana kita orang Pekak ketinggalan informasi kerana tidak dapat mendengar informasi yang disalurkan secara verbal.

Melalui internet kita orang Pekak dapat sumber informasi visual yang bertepatan dengan keperluan kita.

Namun membaca blog-blog tersebut merupakan kejutan budaya kepada saya kerana ianya telah mendedahkan segala yang tidak pernah terlintas di fikiran saya sebagai orang Pekak yang tertutup informasi sekian lama. Betapa ganasnya diluar sana, melangkau batas ugama, kemanusiaan, kewajaran dan sebagainya.

Dalam hati kecil saya bertanya apakah hebatnya orang bukan Pekak dari kita yang Pekak ini. Dunia kita adalah lebih baik kerana kita mempunyai satu bahasa, tiada racist, peperangan atau pembunuhan, kita bersatu kembali walaupun berlain ideologi atau haluan.

Ambil contoh, isu kepimpinan MSFD yang hangat diperkatakan tetapi tetap kembali ke landasan lama, Lim Heng Tuck, Kamarzaman, Amir dan ramai lagi kembali kepada saya untuk bersama-sama menyelesaikan masalah komuniti kita sebagai manusia. tetapi tidak orang bukan Pekak yang terus menjadi duri dalam daging komuniti kita.

Juga saya hairan orang dari PAS dan UMNO walau pun sebagai orang Melayu dan Islam, mereka bermusuhan berpanjangan dan apakah itu tuntutan dalam agama kita?

Berbalik kepada DSAAB, saya harap semua akan mengingati beliau, melalui era beliau 2 perkara penting dalam sejarah kita iaitu peruntukan Bajet 2007 untuk menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi golongan Pekak dan Akta OKU 2008 di luluskan telah memberikan sinar kepada kita untuk bersama-sama membentuk Malaysia sebagai negara maju.

Saya juga menerima gelaran Tokoh OKU daripada DSAAB dengan wang tunai RM 800, selepas itu wang tunai naik kepada RM 10,000.

Orang lain kata DSAAB PM flip flop, lemah dan sebagainya. Itu pendapat mereka kerana selagi manusia hidup, mereka tak akan berhenti bercakap kecuali mati.

Namun melalui pengalaman saya memimpin komuniti orang Pekak, sekiranya kita lemah, ramai akan mengambil kesempatan.

Kepada Pak Lah, kita orang Pekak tidak lupa dan mengucapkan terima kasih. Semoga menamatkan tanggungjawab sebagai PM Datuk Seri berundur dengan secara terhormat. Kita bangga kerana negara kita semua pemimpin berundur dengan head high dan bukan mengaibkan.

No comments: