30 October 2008

Jamuan Hari Raya Orang Pekak

1.Saya masih ingat sebelum Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur di tubuhkan pada tahun 1987, saya dengan kawan-kawan beragama Islam dari Kelab Pekak Kuala Lumpur menganjurkan jamuan hari raya.

2.Orang-orang Pekak yang awal terlibat ialah Nik Firdaus, Nik Darwawan, Rosli dan Roslan Pakeh, Nasir Shuib, Nasir, Syed Osman, Kamarzaman, Rosnah Abu Samah serta nama-nama yang saya lupa. Kami bersama-sama merancang dan mengadakan jamuan hari raya secara berkongsi wang dan makanan. Kami menjemput orang Pekak Islam dan bukan Islam ke jamuan tersebut. Walau pun kami berkelab di YMCA Brickfields, kami tidak membuat jamuan tersebut di situ tetapi memilih di tempat lain yang berkecuali.

3.Program tersebut sangat berjaya dan ianya diadakan setiap tahun. Saya cuba ingat tempat-tempat yang awal kami buat jamuan Hari Raya iaitu di rumah Cik Rosnah Abu Samah di Lembah Keramat, Balai Raya Ampang Tasik, SK Pendidikan Khas Kg. Baru, MAVOGA dan sebagainya.

4.Bagaimana kami menganjurnya? Kami mengeluarkan wang sendiri, mengutip derma dari kawan Pekak, rakan pejabat, keluarga dan sebagainya untuk membeli makanan di jamuan hari raya tersebut. Orang Pekak masa dulu, walaupun gaji tak besar tetapi tidak kedekut untuk menderma atau menyokong program kita.

5.Sebelum hari raya kami sudah membuat persediaan dan membahagi tanggungjawab, siapa yang menyediakan makanan, siapa yang menyediakan minuman, mencari derma dan sebagainya. Saya masih ingat Rosnah akan menderma nasi impit dan kuah kacang, rendang daging yang enak, saya akan memasak kari ayam, lain-lain akan membawa bihun, kueh raya dan buah-buahan. Wang kutipan kita beli air sirap, oren untuk minuman, pinggan kertas dan cawan.

6.Masa itu kita tak ada kenderaan sendiri, kita bawa makanan dari rumah naik Bas Mini, teksi, bas, motorsikal ke tempat jamuan. Masa itu hanya Nik Darmawan sahaja ada kereta, dan Nik Firdaus meminjam kereta bapanya untuk membawa makanan.

7.Semangat gotong-royong orang Pekak Islam adalah sangat tinggi. Kita mempunyai barisan pemimpin yang bekerja keras, saling bantu membantu untuk menjayakan program tersebut.

8.Kita meneruskan tradisi tersebut dan menganjurkan jamuan setiap tahun. Orang Pekak India juga mengikut langkah kita dengan membuat jamuan Deepavali, orang Pekak Cina membuat sambutan Tahun Baru Cina dan juga Parti Krismas oleh yang beragama Kristian.

9.Kita orang Pekak amat bangga kerana telah memulakan program ini sejak sebelum tahun 1987 lagi. Sekarang ianya telah berubah. Jabatan kerajaan, parti politik menjadi penaja atau penganjur jamuan 'open house' kerana kekuatan kewangan mereka dan fungsi kita mulai berkurang.

10.Jika kita lepas tangan atau membiarkan sahaja hal ini, semangat kerjasama orang Pekak akan hilang, sikap dermawan juga akan pupus, kemahiran memimpin juga akan mati.

11.Saya merindukan jamuan yang kita anjurkan dulu, lebih enak masakan bonda dari rumah daripada katering.

Komen daripada Kamarzaman Harun, Presiden MSFD

Semalam saya telah menerima emel daripada Kamarzaman bin Harun, Presiden MSFD yang baru bagi menjawab tulisan saya mengenai SKOP. Emel daripada Kamarzaman adalah bagus dari segi bahasa, rasional dan ianya melambangkan ciri kepimpinan beliau. Saya memaklumkan kepada beliau bahawa saya memasukkan emelnya di blog saya untuk bacaan semua.

Harap semua orang akan menerima penjelasan beliau dan menyokong usaha yang akan beliau laksanakan untuk pembangunan komuniti kita.


Salam sejahtera,

Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana anda telah memberi komen yang membina berkenaan SKOP dalam laman Blog anda baru-baru ini. Penglibatanan anda sebagai Blogger bagi member komen dalam apa-apa perkara berkaitan komuniti kita terutama dalam bidang sukan amat dialu-alukan supaya ianya dapat menyuburkan pemikiran dan minda orang orang pekak. Matlamat kita adalah serupa iaitu untuk menabur bakti mempertabatkan komuniti kita dalam berbagai bidang baik dari segi kehidupan, pendidikan,keluarga, sukan dan masyarakat.

Disini saya ingin meminta maaf kerana saya terpaksa mengambil masa untuk menjawab isu SKOP.Kali terakhir SKOP di adakan di Ipoh, Perak pada tahun 2006 lalu dan mengikut tradisinya SKOP harus diadakan pada tahun ini ( 2008 ).

Saya masih ingat pada meeting terakhir Exco MSFD sebelum AGM MSFD di Puchong ketika itu Tengku Amran Presiden Persatuan Kebajikan Orang Cacat Pendengaran Terengganu (PKOCPT) meminta ditangguhkan SKOP ke bulan Disember 2008 oleh kerana kesuntukan masa dan tiada mendapat ketetapan geran pengelolaan SKOP dari MSFD.Exco MSFD bersetuju dengan permohonan Tk Amran.

Selepas AGM MSFD pada bulan Ogos lalu saya telah mengarahkan penyemakan semula semua program dan aktiviti MSFD yang memerlukan geran peruntukan dari KBS. Seorang wakil MSFD telah dihantar ke KBS utk berjumpa dengan Tuan Kamarulzaman Hassan b. Mansur Pengarah Cawangan Sukan Minoriti,Bahagian Pembangunan Sukan, KBS Putrajaya. En. Kamarulzaman menyatakan semua permohonan MSFD tidak dapat diluluskan kerana dana peruntukan KBS sudah habis digunakan pada tahun ini.

Menguatkan lagi kata-kata En. Kamarulzaman baru-baru ini pihak MSFD telah menerima surat rasmi dari dari Pengarah Unit Bantuan NGO, Cawangan Pembangunan Organisasi dan Penggalakan, Bahagian Pembangunan Sukan, KBS. Surat berkenaan menyatakan semua peruntukan KBS telah habis digunakan dan KBS tanpa menyatakan sebab-sebabnya.

Jadi pihak MSFD terpaksa menangguhkan SKOP ke tahun hadapan iaitu pada bulan April, 13 - 17 April 2009 mengikut ketetapan tuan rumah SKOP. Dengan penerangan saya ini diharap penangguhan SKOP tidak dijadikan isu lagi.

Memang benar kata-kata anda SKOP adalah medan untuk mengeratkan tali persahabatan dan tempat berkumpulnya seluruh komuniti pekak tidak mengira usia dan bangsa. Kita berbangga SKOP adalah sukan milik komuniti kita . Tapi kita harus mencari `trademark` sebenar SKOP supaya ianya akan menjadi sukan tradisi yang boleh dibanggakan oleh generasi pelapis kita nanti.

Insyaallah SKOP pada tahun hadapan adalah yang terbaik dengan penglibatan menyeluruh semua komuniti pekak dari pelbagai peringkat usia dan saya sangat berharap anda dan lain-lain komuniti pekak memberi masa kepada saya dan barisan exco baru MSFD utk menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan lebih baik dan berkesan. Perancangan saya untuk membangunkan semula MSFD memerlukan masa dan bukan dapat dihasilkan dalam sekelip mata. Sokongan dari anda sebagai presiden MFD yang berpengaruh dan juga semua AG MSFD amatlah di alu-alukan.

Kita berharap SKOP akan terus dapat dipertingkatkan dari tahun ke tahun dari segi penganjuran dan penyertaan orang pekak dari seluruh negara.

Sekian, terima kasih

Kamarzaman

Presiden

29 October 2008

Satu Bahasa Satu Bangsa

1. Saya membaca berita isu politik semasa dan berasa sedih, keciwa serta marah. Saya amat mencintai negara saya dan bangga sebagai bangsa Malaysia. Saya mempunyai ramai kawan dari berbilang keturunan dan kami berkawan, belajar, makan bersama, lawat-melawati sesama kita, tidur di rumah mereka tanpa memikirkan perkara yang negatif. Kami juga kahwin interracial.

2. Sekarang timbul perkataan baru iaitu racist atau perkauman. Dalam akhbar, media letronik, internet orang Cina menuduh orang Melayu racist, orang Melayu menuduh orang Cina racist. Mereka berjuang untuk mempertahankan kemahuan mereka.

3. Orang Cina melalui MCA dan DAP memperjuangkan bahasa Cina, sekolah Cina, tulisan Cina di papan tanda jalan, pihak Melayu pula pertahankan Bahasa Melayu seperti dalam Perlembagaan Persekutuan. Orang India pula dengan bahasa mereka.

4. Hal ini tak baik, ianya bukan mencapai matlamat pengintergrasian seperti yang di canangkan oleh kerajaan. Isu ini menimbulkan semangat perkauman, pecah-belah dan akan merosakkan agenda negara kita.

5. Bagi kita Orang Pekak, kita bersyukur tidak terkena dengan semangat racist. Kita semua orang Pekak Melayu, Cina, India dan lain-lain menggunakan satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Isyarat Malaysia. Tiada bahasa isyarat Cina, tiada bahasa isyarat India kecuali Bahasa Isyarat Malaysia.

6. Orang Pekak Cina tak tahu membaca dan menulis bahasa Cina dan juga orang Pekak India tak tahu membaca dan menulis bahasa mereka. Bahasa Isyarat Malaysia ialah bahasa pertama mereka dan Bahasa Melayu dan English sebagai bahasa kedua.

7. Bahasa pertama tersebut menyatukan kita. Kita menjadi satu bangsa Malaysia yang bersatu.

8. Kepada orang bukan Pekak yang bagitu lantang mahukan kita menguasai bahasa mereka iatu bahasa verbal, apakah faedahnya jika semua kaum itu bergaduh sesama sendiri. Akan majukah kita?

9. Kita amat bernasib baik kerana tidak terjebak dengan perkara bodoh itu.

28 October 2008

Selamat Deepavali

1. Deepavali bermaksud pesta cahaya, ianya melambangkan kejayaan kebaikan yang mengalahkan kejahatan. Di Malaysia, Deepavali ialah cuti umum dan warga Malaysia berbilang kaum menziarah sahabat yang meraikan Deepavali.

2. Tahun ini, saya dan keluarga telah pergi ke rumah sahabat saya yang juga EXCO KLSD di Batang Kali untuk meraikan Hari Deepavali. Anak-anak saya amat gembira kerana dapat bersama-sama dengan saya dan kami menaiki komuter KTM dari Sg. Buluh ke Batang Kali.

3. Menaiki komuter KTM adalah sangat selesa berbanding dengan masa dahulu yang mana saya berebut-rebut dan berdiri berasak-asak menaiki bas untuk ke destinasi.

4. Saya berhubung sms dengan sahabat saya kedudukan saya dan berasa amat bersyukur kerana teknologi ini dapat membantu komunikasi orang Pekak.

5. Sampai ke Batang Kali, sahabat saya sudah sedia menanti dan membawa kami kerumahnya dengan kereta Proton Waja. Saya bangga kerana sahabat saya mampu memiliki rumah teres 2 tingkat yang berharga RM 100,000 lebih. Ianya melambangkan orang Pekak berjaya dalam hidup kerana berusaha walau pun sahabat saya ini tidak mempunyai sijil SPM atau ijazah.

6. Ramai sahabat Pekak berbilang bangsa hadir bersama-sama meraikan Deepavali di rumah tersebut dan kami berbual-bual banyak perkara. Sahabat saya juga menghantar tetamunya balik ke setesen KTM Batang Kali setelah selesai.

7. Hampir jam 7.00 petang, kumpulan akhir seramai 11 orang sampai ke setesen Batang Kali; walaupun mahu menamatkan open housenya jam 6.00 petang sahabat saya membuat 2 kali trip untuk membawa mereka ke rumahnya. Semangat Deepavali sahabat saya adalah tinggi.

8. Jam 8.45 malam kami berkumpul di setesen KTM Sg. Buluh dan berkonvoi ke rumah salah seorang EXCO KLSD di Subang. Kami menghadapi kesukaran untuk mencari rumahnya kerana berada di kawasan perumahan baru.

9. Kami menghantar SMS untuk mendapatkan petunjuk jalan ke rumahnya tetapi tidak ada jawapan. Kami faham dia sibuk melayan tetamu dan berusaha mencari sendiri.

10. Kami menghabis banyak masa untuk mencari rumahnya yang terletak di dalam kawasan perumahan elite tapi masih tak jumpa. Tiba-tiba terima sms dari tuan rumah mengatakan open house sudah tutup. Kami menjadi lebai malang, letih dan lapar.

11. Ada dua generasi orang pekak, generasi lama dan baru. Generasi lama lebih memahami dan bertolak ansur tetapi generasi baru adalah berbeza.

Selamat Hari Deepavali daripada Sazali dan keluarga.

24 October 2008

Sukan Kebangsaan Orang Pekak

1. Saya amat bersedih apabila aktiviti yang sangat penting bagi komuniti kita iaitu Sukan Kebangsaan Orang Pekak atau nama ringkasnya SKOP tidak dianjurkan mengikut jadual. Masalah dalaman MSFD merupakan sebab utama ianya tidak dapat dilaksanakan.

2. SKOP sangat penting bagi komuniti kita kerana ianya merupakan satu peluang untuk mengeratkan perpaduan antara orang Pekak dari seluruh negara setiap kali kita menyertainya. Kita dapat berjumpa kawan lama dan baru di SKOP juga bibit cinta dan perkahwinan antara orang Pekak adalah dari SKOP.

3. SKOP merupakan satu aktiviti yang sihat untuk kita, apabila kita dimaklumkan SKOP akan dianjurkan, orang Pekak akan berkumpul membuat latihan bagi menempatkan diri dalam pasukan negeri masing-masing. Ada yang membuat latihan lebih daripada 3 bulan dan ada juga membuat latihan pendek iaitu sebulan.

4. SKOP memberi peluang kepada orang Pekak menjadi pemimpin melalui memikul tanggungjawab menguruskan pasukan iaitu sebagai pegawai bolasepak, olahraga, badminton dan sebagainya. Pegawai itu akan menubuh JKnya dan melantik kepten pasukan. Pasukan tersebut akan mencadangkan apa yang diperlukan seperti pakaian sukan, beg, perkakas, elaun dan sebagainya untuk disampaikan kepada EXCO Persatuan. Dari itu timbul persefahaman antara kita dan mempamerkan kepimpinan yang baik.

5. Semasa SKOP kita akan dapat melihat kemahiran tuan rumah mengurus SKOP dengan memasukkan pelbagai aturcara baru, idea baru dan sebagainya, SKOP adalah meningkat dari masa ke semasa.

6. Objektif SKOP selalunya tercapai iaitu memberikan peluang kepada orang Pekak mengurus dan membangkitkan kesedaran umum, sebagai bukti orang Pekak akan bekerjasama dengan agensi kerajaan, persatuan sukan dan masyarakat sekeliling dalam penganjurannya.

7. Secara tidak langsung mereka pegawai sukan negeri, persatuan sukan serta mereka yang terlibat akan memahami budaya kita, cara kita walau pada mulanya menerima kejutan budaya kerana pertama kali mereka melibatkan diri dengan orang Pekak. Pada akhirnya kita menjadi kawan dan menyokong kita.

8. Pasukan negeri yang menyertainya juga menunjukkan kemampuan mereka menghantar pasukan yang besar dan kuat, kita dapat melihat pelbagai bentuk pakaian seragam sukan dari pelbagai negeri. Yang tercantik dan terbaik menunjukkan kemahiran pengurusan pasukan itu.

9. Orang Pekak amat bangga dengan SKOP kerana kita sendiri yang menguruskannya serta memastikan kesinambungannya. Ianya adalah berbeza dengan sukan untuk orang cacat yang lain kerana orang bukan cacat yang menguruskannya.

10. Orang Pekak sangat menyayangi SKOP, pada awalnya mereka sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk membeli pakaian, tambang bas atau membayar yuran penyertaan menyertai SKOP kerana Persatuan negeri tiada sumber kewangan.

11. Orang Pekak juga membuat kutipan derma untuk membantu persatuan negeri menghantar pasukan ke SKOP dan itu menunjukkan betapa kuatnya sokongan orang Pekak kepada SKOP.

12. Ada juga orang Pekak akan berhenti kerja kerana tak dapat cuti untuk menyertai SKOP, dan ada juga majikan marah kepada Persatuan kerana orang Pekak akan meminta cuti beramai-ramai pada masa yang sama. Terdapatnya production line terpaksa ditutup kerana pekerja tersebut lari ke SKOP walau pun tak diberikan cuti.

13. Tetapi sekarang SKOP telah mendapat sokongan kerajaan, SKOP di Kelantan kerajaan Malaysia telah memberikan RM 100,000 kepada tuan rumah untuk penganjurannya. MSFD pada masa itu menguruskan pembayaran penganjuran dan berjaya menjimatkan wang untuk program lain.

14. Juga ada jabatan peringkat negeri memberikan bantuan kewangan kepada pasukan negeri untuk menyertai SKOP. Orang Pekak tak perlu mengeluarkan wang atau mengutip derma lagi.

15. SKOP di Langkawi menerima peruntukan RM 150,000, berbeza dengan situasi Kelantan, MSFD tidak menguruskannya tetapi diberikan kesemua peruntukan kepada tuan rumah atas desakan Presiden MSFD. Saya ada di mesyuarat tersebut yang mana Presiden MSFD mengugut untuk keluar.

16. Masalah dalaman MSFD telah menyebabkan SKOP tak dapat diadakan pada setiap 2 tahun selepas Langkawi walaupun KLSD memohon menjadi tuanrumah dengan acara kecil sebab mahu menjaga kesinambungan SKOP sebagai sukan dwitahunan.

17. SKOP di Perak diadakan 3 tahun selepas Langkawi, terlalu banyak perkara berlaku dan pihak MSFD terpaksa tunduk kepada tekanan persatuan berkaitan dengan yuran. SKOP Perak telah memisahkan semangat perpaduan orang Pekak, pegawai-pegawai MSFD menginap di hotel dan peserta menginap di asrama sekolah. Lazimnya kita tinggal bersama-sama, makan bersama-sama dan ianya mengeratkan hubungan kita.

18. Tahun ini sepatutnya tahun SKOP, Terengganu menjadi tuan rumah tetapi sehingga hari ini tiada kata putus. Saya ada menyarankan supaya SKOP diadakan juga di Terengganu tahun ini sebelum AGM MSFD, saya cadangkan memasukkan acara kecil iaitu olahraga, badminton, futsal sahaja. Saya masih berharap dengan barisan baru MSFD meneruskan SKOP apa cara pun.

19. Saya akan menulis mengenai sejarah SKOP kemudian.

14 October 2008

Lim Heng Tuck

Saya adalah salah seorang dari ahli komuniti Pekak yang menerima SMS laporan tak rasmi Mesyuarat Agung Persatuan Orang Pekak Kedah Darul Aman. SMS tersebut memaklumkan Lim Heng Tuck telah kalah semasa bertanding jawatan Presiden KDA baru-baru ini dan tersebar ke seluruh negara. Saya juga baca blog mydeaf dan Amir Hamidi yang mengesahkan berita tersebut.

Lim Heng Tuck ialah sahabat seangkatan saya yang membangunkan komuniti Pekak di negara kita. Saya mengenali beliau semasa terlibat dalam kegiatan sukan iaitu Kejohanan Antara Kelab Pekak dan juga sebagai pemain pertahanan pasukan bolasepak Pekak Kedah dan negara pada tahun akhir 80an dan 90an.

Beliau adalah salah seorang dari perwakilan dari Kedah bersama Chong Chooi Chu yang merupakan isterinya sekarang ke Mesyuarat Ketua-Ketua Orang Pekak Kebangsaan yang pertama di Pusat Belia Antarabangsa di Cheras pada tahun 1991.

Mesyuarat tersebut merupakan detik yang bersejarah kepada komuniti kita kerana ianya memulakan gerakan menubuhkan persatuan orang Pekak peringkat negeri di seluruh negara seperti yang ada sekarang.

Hubungan saya dengan beliau adalah amat akrab, setiap kali saya ke Alor Setar untuk urusan persatuan, Lim akan mengambil saya dari setesen bas, belanja saya makan di Restoran Badlishah dan tidur di rumah beliau.

Kami sama-sama menghidup semula persatuan orang Pekak di Kedah yang pada masa itu tidak aktif dengan mengganti kepada Persatuan Orang Pekak Kedah Darul Aman serta menyelesaikan kes penyelewangan wang oleh pegawai tertinggi persatuan lama yang mana Lim sendiri merupakan Bendahari persatuan tersebut.

Pada tahun 1993 semasa saya menjadi Presiden KLSD, saya telah merancang menghantar pasukan Malaysia ke Sofia, Bulgaria untuk menyertai World Games for the Deaf atau nama sekarangnya Deaflympic. Saya telah membuat temuduga terbuka sebagai pegawai yang akan ke Sofia.

Memandangkan tempat terhad, saya yang mengajar Lim untuk menempatkan dirinya dalam pasukan iaitu menawarkan diri sebagai jurubambar pasukan. Ahli panel temuduga telah bersetuju memilih beliau dan Syed Osman untuk menyertai pasukan Malaysia.

Perbuatan itu adalah salah kerana saya membantu beliau secara rahsia namun pelaburan saya adalah berbaloi kerana dia membuat kerja dengan baik dan melibat diri dalam pembangunan sukan orang Pekak sehingga kini.

Apabila saya menubuhkan MDSA (nama sekarang MSFD), Syed Osman Syed Hussein dilantik sebagai Presiden protem dan saya sebagai Setiausaha, Lim ialah AJK MDSA yang pertama.

Selepas MSFD diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan pada tahun 1997, di Mesyuarat Agung pertama, saya menolak cadangan Lim Heng Tuck menamakan saya sebagai calon Presiden tetapi sebaliknya mencadangkan beliau sendiri sebagai Presiden. Saya memberikan alasan bahawa saya bukannya ahli sukan dan mahu menumpukan kepada MFD. Syed Osman tidak terpilih sebagai Presiden kerana beliau menghadapi masalah kewangan dan beliau akur dengan keputusan.

Saya terus membantu beliau membangunkan sukan orang Pekak seperti penganjuran Sukan Kebangsaan Orang Pekak, aktiviti sukan seperti sirikit badminton dan liga bolasepak, mendapatkan pengiktirafan Kerajaan Malaysia dan bantuan kewangan bagi menyertai APDG dan Deaflympik sehingga timbul bibit perpecahan antara saya dengan beliau selepas SKOP Langkawi.

Ianya berpunca daripada perbuatan individu yang pernah bekerja dengan saya. Saya dimaklumkan bahawa beliau tidak puashati penamatan kontrak dan secara terang-terang cuba membalas dendam terhadap saya dan mempergunakan Lim dan kawan-kawannya untuk menjatuhkan saya.

Saya juga pernah diingatkan oleh Syed Osman (Allahyarham) yang bertugas di MSFD mengenai tindak tanduk individu tersebut juga daripada rakan-rakan saya yang terdekat yang menasihati saya supaya berjaga-jaga kerana adanya konspirasi untuk menjatuhkan saya dengan apa cara pun.

Terbukti benar semasa AGM MFD, Lim walaupun sebagai pemerhati telah bertindak luar batasan dan mempertikaikan kedudukan saya sebagai Presiden dan Pengarah Eksekutif serta mengarahkan perwakilan KDA keluar. Saya mengenali beliau dan dia tak akan berbuat macam itu kecuali di hasut oleh orang lain. Insiden itu ada dirakam oleh staf MFD dan saya sendiri lihat betapa parah hasutan jahat individu tersebut.

Juga semasa Pusingan Kelayakan Bolasepak Asia Pasifik di Kuala Lumpur tahun 2002, MFSD secara rasmi tidak menyokong saya untuk menduduki JK APDSC, juga tidak mencadangkan JK baru dari Malaysia.

Namun pada hari pemilihan JK baru APDSC, tiba-tiba Lim menawarkan diri untuk menjadi JK APDSC apabila Saudi Arabia mencalunkan saya ke JK APDSC. Ianya bercanggah dari keputusan mesyuarat MSFD. Siapa yang mempengaruhi dia? Jika mengikut peraturan, penamaan tanpa borang sah serta kelulusan rasmi MSFD adalah tidak diterima tetapi saya tidak mahu merosakkan nama baik MSFD dan nama baik Lim di depan perwakilan luar negara. Saya mendiam diri walaupun saya sebagai Setiausaha APDSC mempunyai hak untuk menolak kerana penamaan kerana tidak mengikut peraturan.

Lim diterima sebagai JK APDSC dan saya dapat tahu kumpulan yang menghasut Lim tersebut telah meraikan kejayaan Lim dan kekalahan saya.

Tidak habis dari itu, nama baik saya juga diconteng di luar negara iaitu semasa di Deaflympic, Melbourne dan dimana-mana. Presiden APDSC juga ada berjumpa saya di luar negara dan menanya perhubungan saya dengan Lim. Di Malaysia juga dijadikan modal dan telah memalukan komuniti kita.

Lim Heng Tuck merupakan individu yang baik, tetapi oleh sebab beliau terlalu baik beliau mudah ditipu oleh orang. Saya tiada masalah dengan dia dan kami saling berhubung dan berkomunkasi bersama-sama. Saya pernah bersua dengan dia beberapa kali dan membincangkan mengenai gosip jahat dan dia menafikan dia mempunyai masalah dengan saya. Ya, kita tidak mempunyai masalah tetapi yang adapun hanya perkara remeh dan boleh diselesaikan.

Sebagai contoh apabila timbul kes Marzuki dan DSE telah merosakkan nama baik MSFD, Lim ada menghubungi saya untuk meminta bantuan. Dari itu juga saya telah membongkar banyak perkara dalam MSFD dan DSE. Antara contoh ialah penipuan, masalah peribadi EXCO, EXCO gagal bekerjasama, tiada dokumen seperti minit mesyuarat, berpuakan dalam MSFD; yang mana orang luar mengambil kesempatan.

Perkara tersebut merupakan virus utama yang menjatuhkan Lim seperti kita saksikan sekarang. Saya pernah saksikan Lim mengeluarkan arahan kepada EXCO dari keputusan mesyuarat yang saya hadir tetapi tiada EXCO yang melaksanakan.

Lim ada memberitahu saya yang dia amat menyesal apa yang telah berlaku, dia mengaku dia telah tersalah mengikut cakap orang yang dipercayainya. Lim juga ada mengingatkan saya supaya berjati-hati dengan individu tersebut.

Apakah Lim dipersalahkan dalam hal ini? Pada saya puncanya ialah perlu dipersalahkan. Sekiranya ada orang mahu membantu pembangunan sukan orang Pekak buatlah dengan jujur dan bukan untuk agenda lain. Bukannya mempergunakan Lim untuk menjatuhkan saya atau menggunakan Lim untuk kepentingan diri.

Malangnya Lim sudah jatuh semalam. Saya diberitahu air muka Lim adalah amat keciwa pada masa itu. Betapa tidak kerana segala usahanya membangunkan komuniti kita sekian lama tiba-tiba jatuh sekelip mata.

Sekarang orang yang menyebabkan kejatuhan Lim Heng Tuck apakah perasaan anda? Apakah anda tiada rasa bersalah, apakah anda rasa tidak berdosa? Kan kita ini insan tuhan dan mempunyai agama.

09 October 2008

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Terima kasih kepada internet kerana saya mampu mendapatkan berita dan informasi terkini serta talk of town. Petang semalam saya membuka Utusan Online dan terbaca berita terkini iaitu PM Malaysia DSAAB mengumumkan beliau tidak bertanding sebagai Presiden UMNO dan meletak jawatan sebagai PM bulan Mac 2009.

Isu kepimpinan DSAAB, politik Malaysia saya ikuti melalui pelbagai blog tempatan dan saya bertuah kerana dapat mengikuti perkembangannya. Ianya adalah berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya yang mana kita orang Pekak ketinggalan informasi kerana tidak dapat mendengar informasi yang disalurkan secara verbal.

Melalui internet kita orang Pekak dapat sumber informasi visual yang bertepatan dengan keperluan kita.

Namun membaca blog-blog tersebut merupakan kejutan budaya kepada saya kerana ianya telah mendedahkan segala yang tidak pernah terlintas di fikiran saya sebagai orang Pekak yang tertutup informasi sekian lama. Betapa ganasnya diluar sana, melangkau batas ugama, kemanusiaan, kewajaran dan sebagainya.

Dalam hati kecil saya bertanya apakah hebatnya orang bukan Pekak dari kita yang Pekak ini. Dunia kita adalah lebih baik kerana kita mempunyai satu bahasa, tiada racist, peperangan atau pembunuhan, kita bersatu kembali walaupun berlain ideologi atau haluan.

Ambil contoh, isu kepimpinan MSFD yang hangat diperkatakan tetapi tetap kembali ke landasan lama, Lim Heng Tuck, Kamarzaman, Amir dan ramai lagi kembali kepada saya untuk bersama-sama menyelesaikan masalah komuniti kita sebagai manusia. tetapi tidak orang bukan Pekak yang terus menjadi duri dalam daging komuniti kita.

Juga saya hairan orang dari PAS dan UMNO walau pun sebagai orang Melayu dan Islam, mereka bermusuhan berpanjangan dan apakah itu tuntutan dalam agama kita?

Berbalik kepada DSAAB, saya harap semua akan mengingati beliau, melalui era beliau 2 perkara penting dalam sejarah kita iaitu peruntukan Bajet 2007 untuk menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi golongan Pekak dan Akta OKU 2008 di luluskan telah memberikan sinar kepada kita untuk bersama-sama membentuk Malaysia sebagai negara maju.

Saya juga menerima gelaran Tokoh OKU daripada DSAAB dengan wang tunai RM 800, selepas itu wang tunai naik kepada RM 10,000.

Orang lain kata DSAAB PM flip flop, lemah dan sebagainya. Itu pendapat mereka kerana selagi manusia hidup, mereka tak akan berhenti bercakap kecuali mati.

Namun melalui pengalaman saya memimpin komuniti orang Pekak, sekiranya kita lemah, ramai akan mengambil kesempatan.

Kepada Pak Lah, kita orang Pekak tidak lupa dan mengucapkan terima kasih. Semoga menamatkan tanggungjawab sebagai PM Datuk Seri berundur dengan secara terhormat. Kita bangga kerana negara kita semua pemimpin berundur dengan head high dan bukan mengaibkan.

08 October 2008

Aidulfitri 2008


Saya dan isteri saya sudah tidak mempunyai orang tua kerana mereka sudah meninggal dunia. Tahun ini kami merancang untuk meraikan Hari Raya Aidulfitri di rumah kami di Apartmen Selasih, Damansara Damai bersama-sama kakak tunggal saya.

Namun pada saat akhir dia telah mengubah fikiran dan balik ke kampung untuk beraya di sana. Saya tidak sempat bertemu dengan dia kerana semasa saya menghubunginya, kakak saya sudah dalam perjalanan pulang.

Buat pertama kali saya dengan isteri dan anak-anak saya menyambut kedatangan Hari Raya Aidul Fitri di sini. Kami tidak banyak membeli kueh raya kerana pada setiap tahun saya menerima banyak kueh raya dari sahabat dan organisasi saya. Namun saya ada menempah kueh khas daripada orang Pekak untuk memeriahkan suasana.

Hari pertama Hari Raya, saya dengan Ibrahim dan Idris telah pergi bersembahyang raya di Masjid Damansara Damai. Selepas itu kami ke Setapak Jaya untuk menziarah kakak isteri saya yang tidak pulang beraya. Kami menaiki van MFD yang dipinjam kerana cukai jalan Honda CRV telah tamat tempoh. Manakala Honda Accord tahun 88 telah mengalami kerosakan kotak gear dan tidak ada alatganti pada seketika itu.

Pengalaman beraya dengan van Nissan kepunyaan MFD menjadi lawak kepada anak gadis saya kerana mereka berjenaka yang kita sekeluarga memakai baju raya yang cantik tetapi menaik van buruk MFD. Sememangnya anak gadis remaja sekarang sudah pandai menilai.

Raya tahun ini adalah tidak mengembirakan kata anak-anak saya berbanding tahun lepas, kami beraya di Sg. Tiang, Kedah rumah isteri saya. Kami telah melancung bersama-sama ke Kota Bharu, Kelantan, singgah beraya di rumah Razani Ramli dan kemudian menyusuri jalan pantai ke Kuala Terengganu. Kami menginap di Hotel Seri Malaysia di sana dan menyambung jalan pantai ke Kuantan. Ada banyak pemandangan yang indah di sepanjang perjalanan dan kami berhenti di mana-mana pantai yang mempunyai pemandangan yang menarik sehingga tiba di Kuantan.

Bersama-sama keluarga melancung merupakan quality time bagi saya kerana dapat mengeratkan hubungan kami dan dapat berkomunikasi membincangkan banyak perkara.
Kesibukan saya menyebabkan saya kurang berkomunikasi dengan anak saya, adakalanya saya pulang larut malam dan anak saya sudah tidur serta terlepas untuk makan malam bersama-sama. Ini adalah tidak baik dan saya tetap cuba untuk mempunyai quality time dengan keluarga saya.