29 December 2010

Keputusan PMR Pelajar Pekak dan Arahan Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran

Saya belum menerima keputusan PMR calon Pekak bagi tahun 2010 ini. Harapnya ada keputusan yang baik bagi calon Pekak macam tahun kebelakangan yang mana menjadi berita besar di akhbar tempatan. Berita kejayaan pelajar Pekak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan awam menjadi motivasi kepada kita, ibubapa, guru, pelajar Pekak yang lain.

Kejayaan tersebut akan menukar pandangan para guru, pengetua, pegawai bahawa orang Pekak tak boleh berjaya dalam pendidikan atau pendidikan untuk orang Pekak tidak bagitu penting.

Y.Bhg. Dato' Abd. Ghafar bin Mahmud
Tahun ini sunyi sahaja kerana tiada berita mengenai kejayaan pelajar OKU dan saya merasakan sesuatu yang tidak kena tetapi saya tetap berdoa masih ada yang berjaya mendapat keputusan yang baik sebagai bukti kejayaan sistem pendidikan kita. Jika tidak berjaya mesti ada sebabnya dan saya tertarik dengan berita Mingguan Malaysia hari Ahad berkaitan dengan arahan Y. Bhg. Dato' Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran bertajuk Hanya guru berkelayakan ajar BM. (KLIK PADA TAJUK INI).

Saya amat bersetuju dengan arahan itu dan mengusulkan guru yang mempunyai kelulusan dalam BIM/BMKT layak mengajar di sekolah Pekak.

15 December 2010

Diari bulan ini

Lama juga tak menulis di ruang ini, memang saya sibuk ke sana ke mari. Berikut adalah jadual saya.

17 - 25 November 2010, saya ke Tokyo bagi memenuhi undangan sebagai penceramah di satu persidangan orang Pekak DPro iaitu kumpulan bebas di Jepun. Di sepanjang minggu saya sibuk dengan acara dan gambar saya boleh di lihat di facebook.

26 - 28 November 2010, saya menghadiri Bengkel Malaysian Standard anjuran Sirim di Hotel Concorde Shah Alam. Bengkel itu bertujuan untuk menyemak dan update MS1184 dan menukarkan garis panduan itu kepada Universal Design yang mana membolehkan semua orang OKU, orang tua, ibu mengandung, kanak-kanak, orang sakit akses kepada bangunan tanpa halangan.

30 November - 3 Disember 2010, saya, Zaine dan Wan Zuraidaj ke Jakarta, Indonesia untuk menghadiri ke Regional Conference on Asean and Disability dan penubuhan Asean Disability Forum. Saya juga berkesempatan melawat Geraktin (organisasi orang Pekak nasional) buat pertama kalinya dan juga berjumpa dengan kumpulan PERTI iaitu kumpulan orang Pekak yang keluar dari Geraktin.

4 - 10 Disember 2010, saya bertindak sebagai fasilitator bagi Kursus Pengurusan NGO untuk kumpulan orang Pekak Vietnam dari Hanoi Association of the Deaf.

8 Disember 2010, saya di jemput membentangkan kertas kerja mengenai keperluan orang Pekak di Audit Accessibility Seminar anjuran Sirim dan JKMM di Melaka. Singgah ke Puskom Melaka untuk membuat lawatan mengejut.

10 Disember 2010, saya dan keluarga pulang ke kampung isteri saya di Sg. Tiang, Kedah. Anak perempuan pertama saya buat pertama kali memandu di lebuhraya dari Tapah ke Bukit Gantang. Kami singgah di Port Weld untuk menikmati mee udang. Pada 11 Disember 2010, saya dan keluarga ke Kuarter Penjara Pokok Sena untuk majlis perkahwinan sepupu pekak isteri saya. Ramai sahabat handai pekak juga hadir. Saya pulang ke KL menaiki bas pada 12 Disember 2010

13 Disember 2010, jam 10.00 am mempengerusikan perhimpunan staf MFD dan menerangkan penstrukturan baru MFD yang akan bermula 1hb Januari 2011. Pada jam 2:30 pm saya ke mesyuarat Ahli Majlis OKU yang dipengerusikan oleh KSU KWKPM. Saya membangkitkan isu kesukaran orang pekak memperolehi lesen memandu berkaitan dengan Akta JPJ dan isu kualiti pendidikan orang Pekak yang tidak memuaskan dan menyukarkan mencapai hasrat YAB Perdana Menteri kearah rakyat yang berpendapatan tinggi. YBhg KSU akan mengadakan satu perjumpaan dengan pihak MFD pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

14 Disember 2010, saya terlepas penerbangan ke Vientiane, Laos kerana sibuk menyiapkan assignment universiti. Saya terpaksa membeli tiket one way baru ke destinasi pada 16 Disember 2010.

Masa yang terluang ini saya mengambil kesempatan berehat secukupnya dan menulis blog ini.