10 March 2010

Apakah Guru Pekak Tidak Berkualiti?

Kita amat bangga kerana di negara ini tiada diskriminasi terhadap orang Pekak dalam memilih pekerjaan. Orang Pekak boleh memilih pekerjaan mengikut minat dan kelayakan mereka termasuk menjadi guru. Sampai sekarang lebih kurang 12 orang Pekak telah di terima menjadi guru.

Saya juga telah terlibat memperjuangkan orang Pekak mendapat pekerjaan sebagai guru selepas dimotivasikan kejayaan Cikgu Teh Kean Hoe lulusan USM dan diterima sebagai guru pertama di FSD dan di Malaysia.

Saya teringat kali pertama saya telah berjumpa dengan Pengarah Bahagian Pengambilan Guru, Kementerian Pelajaran di Damansara bagi mengusulkan Cikgu Chong Chooi Chu diterima sebagai pelatih guru kerana dia memang mempunyai kelayakan. Apabila tiada berita, kita juga telah pergi berjumpa dengan Timbalan Menteri Pelajaran iaitu YB Datuk Fong bagi memohon jasa baik beliau menerima Cikgu Chong.

Semasa saya berada di Tokyo pada tahun 1991 bagi menyertai latihan kepimpinan orang Pekak Asia Pasifik anjuran JICA selama 2 setengah bulan, saya telah menerima berita bahawa Cikgu Chong telah lulus masuk Maktab Perguruan di Pulau Pinang.

Cikgu Teh telah memberikan hint yang sangat berharga kepada saya, pada satu mesyuarat khas di Bahagian Sekolah-sekolah bagi membincangkan pengambilan OKU memasuki MPIK (sekarang IPIK) saya telah menggunakan hint tersebut membangkitkan isu kelonggaran pelajar Sabah dan Sarawak memasuki IPTA. Saya mencadangkan kelonggaran tersebut di berikan kepada permohonan Pekak kerana terdapatnya ramai orang Pekak hanya lulus dalam Bahasa Malaysia peringkat SPM tetapi kepujian dalam mata pelajaran yang lain.

Cadangan tersebut telah diterima dengan syarat hendaklah mengambil semula mata pelajaran BM sehingga mendapat kepujian seperti dalam syarat JPA. Saya masih ingat Cikgu Lee Tur Chung merupakan orang pertama memasuki MPIK. Yang lain saya lupa namanya.

Sampai sekarang orang Pekak masih diterima sebagai pelatih di IPIK dan ada yang menyambung pelajaran sehingga peringkat sarjana (MA).

Perjuangan saya adalah disebabkan saya percaya guru Pekak paling sesuai untuk mendidik pelajar Pekak kerana mereka mempunyai kemahiran komunikasi serta memahami orang Pekak sendiri. Dengan adanya guru Pekak akan membantu memotivasikan kanak-kanak Pekak untuk berjaya kerana guru Pekak adalah sebagai contoh.

Namun saya telah ter'dengar' (atau paling sesuai mendapat tahu) melalui perbualan antara guru-guru bukan Pekak yang membincangkan mengenai kualiti guru Pekak yang mengajar di sekolah-sekolah khas Pekak.

Mereka mempertikaikan kualiti guru Pekak yang mendidik pelajar Pekak kerana tiada kemajuan yang diperolehi.

Oleh itu saya mencadangkan guru Pekak menubuhkan kumpulan sendiri seperti Persatuan Guru-Guru Buta Malaysia (?) yang membincang sesama mereka bagi mempertingkatkan kualiti kerja mereka.

04 March 2010

Sajak Amir Hamzah

Siapa kenal Amir Hamzah? Raja Penyair dari Indonesia. Pada tahun 1977 saya tinggal di Papan, Perak. Saya selalu menyelongkar bahan bacaan di antara khazanah yang tidak ternilai harga di istana lama peninggalan Raja Bilah dan saya terjumpa sebuah buku lama bertajuk Nyanyi Sunyi.

Diantara sajak yang terbaik ialah Padamu Jua dan saya masih menghafalnya sehingga kini. Saya kadang-kadang mendendangnya di kala sunyi atau di saat kecewa, bagai magik ianya mengembalikan semangat saya seperti sedia kala.


PADAMU JUA

Habis kikis
segala cintaku hilang terbang
pulang kembali aku padamu
seperti dahulu

Kaulah kandil kemerlap
pelita jendela di malam gelap
melambai pulang perlahan
sabar, setia selalu.

Satu kekasihku
aku manusia
rindu rasa
rindu rupa.

Di mana engkau
rupa tiada
suara sayup
hanya kata merangkai hati

Engkau cemburu
engkau ganas
mangsa aku dalam cakarmu
bertukar tangkap dengan lepas

Nanar aku, gila sasar
sayang berulang padamu jua
engkau pelik menarik ingin
serupa dara di balik tirai

Kasihmu sunyi
menunggu seorang diri
lalu waktu - bukan giliranku
mati hari - bukan kawanku...

Amir Hamzah

Maksud sajak tersebut adalah berkaitan dengan tuhan. Walau kita cuba melupakan namun dia masih dekat kepada kita dan kita tetap kembali kepada dia.

03 March 2010

Kerajaan Malaysia akan meratifikasikan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (OKU)

Saya telah terbaca laporan Utusan Malaysia hasil dari ucapan YB Dato Sri Shahrizat Abdul Jalil yang hadir mengejut di Persidangan Kebangsaan Aksesibiliti dan Rekabentuk Sejagad : Implikasi Untuk Pengangkutan Awam dan Pembangunan Sekitar anjuran bersama UNDP dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur semalam.

Saya, Sariah Ibrahim dan Zaine Bujal merupakan peserta yang mewakili MFD ke bengkel tersebut yang berlangsung selama 2 hari.

Menurut YB Datuk Sri, kerajaan Malaysian akan meratifikasikan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (OKU) yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada April ini.

Ini merupakan satu berita yang baik untuk warga OKU di negara ini.

Untuk orang Pekak, kita telah berada di landasan yang betul kerena seperti kehendak dalam Konvensen tersebut, kita sudah mempunyai bahasa rasmi iaitu Bahasa Isyarat Malaysia, perkhidmatan jurubahasa isyarat dan latihan jurubahasa isyarat yang diiktirafkan seperti termaktub dalam AKTA OKU 2008.

Walau ada beberapa kelemahan dalam usaha kita bagi memastikan orang Pekak dapat akses kepada komunikasi tanpa halangan tetapi kita positif ianya akan dapat diselesaikan.

Yang tinggal ialah perjuangan reformasi pendidikan bagi orang Pekak kerana isu penggunaan BIM di dalam pendidikan serta kemahiran guru menggunakan isyarat adalah masih belum nampak penghujungnya.

"Artikel 24 - Pendidikan
3. (b) Facilitating the learning of sign language and the promotion of
the linguistic identity of the deaf community;"