17 June 2018

Hari Raya Aidilfitri 2018

Saya mengikut perkembangan sambutan raya bangsa Pekak melalui Facebook, mereka muatnaik gambar sekeluarga dengan baju raya yang berwarna warni. Ada gambar mereka bersama anak yang sudah dewasa, ada yang bersama anak yang masih kecil dan ada juga yang sudah mempunyai cucu. Ada juga semua anak mereka belajar di universiti dan berkerja. 

Siapa kata bangsa Pekak mempunyai masa depan yang suram. Bangsa Pekak sekarang terbukti berjaya dalam hidup dan bahagia, alhamdulillah. Walaupun ada yang tak berjaya tetapi adalah disebabkan salah asuhan.

Oleh itu kepada ibubapa yang mempunyai anak Pekak, bukan alasan anda tak tahu berkomunikasi dalam bahasa isyarat atau tak tahu apa nak buat dengan anak Pekak. Belajarlah bahasa anak anda, berkomunikasilah dengan anak anda, berikan kasih sayang, bimbinglah mereka, berikan pendidikan agama. Insyallah mereka akan menjadi insan yang berjaya sepertimana bangsa Pekak berjaya memikul amanah membesarkan anak mereka yang bukan Pekak.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Mohon maaf zahir dan batin.









13 June 2018

Selamat Hari Raya Aidilfitri



SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2018
MAAF ZAHIR DAN BATIN



DARI KAMI DI MFD.

I am 60...

Februari 2018 genaplah umur saya 60 tahun. Disepanjang 60 tahun hidup saya, hampir tiga suku usia saya bergelumang bersama bangsa Pekak, memperjuangkan hak mereka, menyediakan keperluan mereka. Masa berlalu dengan pantas dan saya menyaksikan bangsa Pekak berjaya dalam hidup mereka selari dengan pembangunan negara, juga banyak ruang tersedia untuk bangsa Pekak.

Kemanakah saya selepas ini? Kebanyakan teman saya telah bersara, memenuhi masa bermain dengan cucu serta mendekat diri kepada tuhan. Timbul persoalan, apakah perlu saya tinggalkan kerja saya dalam pembangunan bangsa Pekak? 

Walaupun perjuangan itu masih jauh lagi namun saya percaya ada pengganti yang akan meneruskan perjuangan itu. Kakak saya pernah berkata kepimpinan saya adalah gagal jika tiada pengganti.

Oleh itu, saya ambil keputusan tidak lagi memegang jawatan sebagai Presiden MFD. Cukuplah dengan jawatan dan tugas yang kecil, slow down kata teman saya kerana kita sudah tidak lagi gagah seperti dahulu sebab memasuki alam 6 series. Saya akan menjadi penasihat jika diperlukan serta bertukar fikiran serta pengalaman.

Keluarga saya telah membuat satu surprise party dengan menjemput para saudara mara dan sahabat handai. Kakak tiri saya datang dari Matang, Taiping, teman rapat dan mengenali saya datang dari jauh, Pulau Pinang pun ada. Mereka datang diam2 tanpa pengetahuan saya. Terima kasih semua dan terpahat satu memori yang paling indah bagi saya.

Saya sudah menjadi warga emas sekarang dan layak mendapat kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Teman saya melawak, warga emas dapat potongan 50% diskaun campur sebagai OKU Pekak dapat lagi 50% diskaun jadi FREE lah....

Syukur alhamdulillah kerana Allah swt telah memberikan peluang kepada saya serta mengizinkan saya untuk terus berbakti kepada keluarga, bangsa dan ugama.

27 January 2018

Tragedi Tg. Sepat.

Trajedi seorang lelaki Pekak yang menamatkan dan membakar 4 nyawa di Tg Sepat, Selangor telah menjadi peristiwa besar di negara kita dan mendapat liputan luas di dalam dan luar negara. 

Komuniti Pekak juga telah membicaranya dan rata-rata dari mereka membuat public judgement yang tertumpu kepada kesalahan pelakunya. 

Malahan Komuniti Pekak kita bersimpati dan mengumpul derma kilat untuk diberikan kepada keluarga si mati tersebut tanpa menyedari komuniti Tg Sepat adalah komuniti tergolong yang berada.

Kes itu telah disiasat oleh polis dan cukup bukti untuk didakwa ke mahkamah. Orang Pekak itu telah menjadi Orang Kena Tuduh (OKT). Kes tersebut adalah satu jenayah berat dan akan berdepan dengan hukuman mati.

Saya tidak faham mengapa dia sanggup bertindak sedemikian dengan menamatkan 4 nyawa. Mengikut cerita dari mereka yang mengaku kawan rapat, OKT itu memang jahat, pinjam duit ahlong tetapi kita tunggu apakah cerita sebenarnya dari pembicaraan mahkamah.

Negara kita ada undang-undang dan kita percaya pembicaraan akan berjalan dengan lancar.

Persoalannya sekarang bagaimana status isteri dan anak OKT? Isteri OKT ialah juga seorang Pekak dan tidak bekerja. Mengikut maklumat, selepas kematian tersebut dia telah tidak diterima oleh keluarga si mati termasuk kedua abangnya yang juga Pekak. Justeru itu dia perlu memulakan hidup baru.

Apakah kita sedar akan kesusahan yang dihadapi oleh isteri OKT?  Isteri dan anak telah hilang tempat bergantung kerana OKT itu merupakan ketua rumah.  Kereta OKT, dokumen penting termasuk kad bank ditahan oleh polis sebagai bahan bukti. Hal itu menyukarkan pergerakan isteri dan menyara diri.

Isteri OKT tidak terlibat dalam pembunuhan itu dan dia tidak bersalah, jangan kita menghukum dia. 

Beliau perlu dibantu dan dimotivasikan bagi memulakan hidup baru tanpa suami. 

Apakah kita tahu dia perlu duit untuk hidup, beli barang makan untuk anak, sewa rumah dan keperluan seharian? Oleh itu terletak kepada hati budi kita semua.

https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/01/25/court-turns-down-psychiatric-observation-request-for-accused-in-murder-arson-case/

24 January 2018

Kepentingan Perkhidmatan Jurubahasa Isyarat di Sesi Perubatan.

Berita tular di Facebook berkaitan dengan kematian 2 orang Pekak dari Melaka baru-baru ini telah mendapat respon kesedihan dari komuniti orang Pekak di seluruh negara dan juga luar. Betapa tidak, kedua mereka merupakan insan yang dikenali didalam lingkungan komuniti orang Pekak yang kecil ini.

Kepergian mereka, kita tidak dapat menandingi kuasa tuhan kerana Dia telah menetapkannya.

Namun persoalan timbul kerana mereka berdua adalah masih muda dan juga ahli sukan yang mempunyai gaya hidup yang sihat.

Dimaklumkan kematian mereka adalah berkaitan dengan perubatan. Namun disegi perubatan, kita boleh mengelak, menangguh atau pencegahannya.

Persoalan yang timbul ialah apakah kita sedar akan keperluan penjagaan kesihatan dan mendapat perkhidmatan semasa berurusan dengan perubatan.

Berurusan dengan perubatan berkaitan dengan kesihatan kita adalah sangat penting kerana berkaitan dengan nyawa kita - hidup atau mati. 

Oleh itu dengan pergunaan perkhidmatan jurubahasa isyarat, kita mendapat informasi penuh semasa konsultasi dengan doktor atau pakar berkaitan dengan penyakit kita, penggunaan ubat, pantang larang dan juga pencegahan.
Ada diantara kita orang pekak, menanggap perkhidmatan jurubahasa isyarat adalah tak perlu dan satu perkara yang remeh. Ada dari kita anggap masalah komunikasi boleh diselesaikan dengan bantuan keluarga atau bertulis dengan doktor atau pakar.

Namun kita wajar tahu, bahasa perubatan juga amat berbeza dengan bahasa komunikasi seharian. 

Hanya orang yang mahir dalam bahasa boleh memahami apa yang disampaikan oleh doktor dan pakar.

Manakah yang lebih penting antara nyawa kita atau sedikit duit nak bagi kepada jurubahasa. 

Lagi pun kita mampu beli telefon bimbit yang mahal, melanggan data bulanan telco dan sebagainya. Nyawa atau duit?

Oleh itu, sekiranya anda merancang atau perlu berjumpa dengan doktor; sila dapatkan perkhidmatan jurubahasa isyarat yang boleh didapati di persatuan yang bergabung dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia.

Gambar : sumber internet.