30 December 2013

Selamat tinggal tahun 2013 yang penuh tipu daya

Orang Pekak :

Dijebak melabur skim emas, bayar RM 1K lebih dan dapat balik RM 10K. Ada yang menang cabutan bertuah sebuah banglo dan kereta. Diakhirnya terbaca laporan akhbar ketua skim emas di bawa ke mahkamah. Bagaimana rumah, kereta dan wang deposit kita?

Terjebak lagi ke skim MLM, bayar RM 100 sahaja dan cari downline. Bersemangat tinggi naik motor kapcai dari Teluk Intan ke Shah Alam, tumpang tidur rumah kawan, baju berbau masam tak berganti 3 hari. No hal…downline punya hal. Meriah sana sini promosi percuma dalam Facebook I Love XXX, OKU Hebat…. Ajak pi ceramah downline tanya What is time. Lepas dapat habuan ajak belanja member jawab Sorry no time...

Duit punya hal. Terima habuan RM 50 sanggup tukar alamat jadi pengundi. Semasa PRU13 di kawasan panas, malang tak berbau ditangkap petugas parti, di sangka Bangla mari, sedihnya ketua pun cabut lari. Cerita masuk suratkhabar dapat publisiti free.

PRU13 : Blackout, Bangla mari, kata undi popular 51% undi pembangkang berbanding 49% undi pemerintah, BN Barang Naik, minyak naik, tol naik … ya betul betul betul…. Benci Kerajaan dan komplen sebab lambat terima EPC…dapat BR1M terus joli..

Timbul pula kad mobile, berebut mencari downline.. timbul salah faham dan hati geram. Jumpa sesama Islam tapi tak mahu salam, nasib baik tak terkam terus bungkam…

Macam-macam ada, nak cerita tapi tak ada masa….

Aduh tahun 2013, sudah cukuplah tu...  


20 December 2013

Francesa Parson mati kemalangan

Baru tadi saya terbaca laporan melalui Facebook mengenai Francesa Parson, 90 tahun mati kemalangan dilanggar kereta. (sila klik)

Siapa Francesa Parson? Beliau ialah seorang profesor Pekak dari Gallaudet University yang membawa kaedah Total Communication ke Malaysia. Dengan Datuk Saleena Yahya, beliau berjumpa Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Pelajaran pada masa itu. Hasil pertemuan itu telah berjaya menggantikan kaedah oralisma yang digunakan oleh negara kita kepada Total Communication.

Melalui Total Communication, Bahasa Malaysia Kod Tangan yang berasaskan daripada ASL telah digunakan di kelas yang mengajar murid Pekak.

Saya bertemu Parson buat pertama kali dan terakhir di Majlis Ulangtahun FSD ke 50 di Pulau Pinang, walaupun sudah berusia beliau masih gagah dan berpendirian kuat penggunaan Total Communication untuk mengajar murid Pekak.

Takziah kepada ahli keluarga Francesa Parson.








Lagi jurubahasa isyarat "palsu"

Perkhidmatan jurubahasa isyarat adalah salah satu keperluan yang sangat penting untuk orang Pekak, ianya menjadi "telinga" dan "suara" bagi orang Pekak sepertimana tongkat putih menjadi "mata" untuk orang buta.

Untuk menjadi jurubahasa isyarat, syarat pertama ialah memahami apa itu orang Pekak dan budayanya. Kemahiran bahasa isyarat, bahasa pertuturan iaitu Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris atau bahasa yang lain merupakan kelulusan yang penting untuk menjadi jurubahasa isyarat yang baik.

Jurubahasa isyarat yang baik adalah amat peka dengan pelbagai situasi terutama siapakah kliennya, bidang apa perkhidmatan yang dipohon supaya bersedia dan dapat memberikan perkhidmatan yang memuaskan.

Jurubahasa isyarat juga mempunyai had kemampuan, mereka bukan mahir dalam semua bidang. Ada yang mahir dalam bidang terjemahan agama tetapi tidak mahir dalam bidang terjemahan teknoloji.

Orang Pekak pula dari pelbagai latarbelakang, bagi mereka yang berpendidikan tinggi memerlukan terjemahan bahasa isyarat secara simcom atau simultaneous communication berbeda dengan mereka yang berpendidikan rendah yang tertumpu kepada Bahasa Isyarat Malaysia. 

Oleh kerana tidak dapat mendengar orang Pekak berasa amat kagum dan berterima kasih kerana mendapat informasi yang diterjemahkan melalui bahasa isyarat tetapi mereka tidak mengetahui apakah isyarat yang disampaikan itu adalah sama seperti yang diucapkan? Juga apa yang mereka isyaratkan adalah sama diterjemah suara oleh jurubahasa isyarat tersebut?

Pemalsuan maklumat termasuk "censorship" memang lumrah berlaku dalam dunia penterjemahan isyarat kerana terdapatnya segelintir jurubahasa isyarat terpaksa membuang ayat penting kerana tidak faham maksud ayat yang didengari atau tidak tahu isyarat yang sesuai digunakan.

Menggunakan guru sekolah khas sebagai jurubahasa isyarat sebab kelayakan mereka sebagai guru menjadi lesen adalah tidak tepat. Guru lebih cenderung menggunakan KTBM dalam penterjemahan kerana mereka tidak mahir dalam BIM. Oleh itu akan berlakunya komunikasi tidak menepati sasaran kerana orang Pekak di Malaysia bukan mahir sangat dalam KTBM. 

Sebab itu untuk menceburi bidang ini bukan satu perkara yang dipandang mudah, untuk menguasai bidang ini perlu melalui latihan yang diberikan oleh mereka yang pakar dan diiktiraf.
 
Kegagalan memahami fungsi jurubahasa isyarat, siapa orang pekak dan budayanya boleh menjuruskan kepada jurubahasa isyarat "bogus" atau "palsu".

Diakhir, jurubahasa isyarat boleh memainkan 2 peranan iaitu meningkatkan imej orang Pekak dan menjatuhkannya.







19 December 2013

Isu Jurubahasa Isyarat Palsu.

Baru-baru ini isu jurubahasa isyarat "palsu" yang membuat terjemahan ke bahasa isyarat semasa upacara peringatan kematian Nelson Mandel hangat dibincang di laman sosial Facebook. Jurubahasa isyarat tersebut ditugaskan oleh firma yang terpilih untuk menterjemahkan ucapan pemimpin besar dari pelbagai negara termasuk Presiden Obama dari AS yang disiarkan melalui media letronik.

Isu tersebut telah membangkitkan kemarahan dan rasa tidak puashati oleh masyarakat Pekak dari seluruh dunia. Mereka melontarkan pelbagai kecaman melalui laman sosial tersebut.

Walaupun saya tidak memahami apa yang beliau terjemahkan tetapi saya rasa ada sesuatu yang tidak kena semasa menterjemahkan ucapan. Terjemahannya bukan dalam bentuk ASL atau Isyarat Antarabangsa, kemungkinan isyarat Afrika Selatan yang sangat sukar kerana terdapatnya pelbagai "dialek."

Dari pandangan sudut yang lain, saya amat bangga dua perkara iaitu pengiktirafan terhadap bahasa isyarat dan perkhidmatan jurubahasa isyarat yang sekian lama di perjuangkan oleh komuniti orang Pekak kita untuk mendapatkan informsi tanpa halangan.

Adalah satu penghormatan yang tinggi untuk jurubahasa isyarat dibenarkan berdiri di sebelah pemimpin tersebut untuk membuat penterjemahan. Peluang tersebut boleh menimbulkan rasa kurang senang oleh setengah pihak lagipun kerana jumlah populasi orang Pekak adalah sedikit, namun menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat tersebut adalah tepat mengikut konvensyen UNCRPD.

Bukan satu perkara yang mudah untuk membuat terjemahan ke bahasa isyarat ucapan pemimpin besar secara live atau langsung kerana ianya berkaitan dengan beberapa aspek iaitu keselamatan pemimpin yang mana kita lihat dilindungi kaca kalis peluru, protokol, memahami bahasa yang diucap dan menterjemahkannya melalui penggunaan bahasa yang betul dan sebagainya.

Kejadian tersebut menjadi satu pengajaran kepada kita, oleh itu untuk memastikan keselamatan pemimpin kita dan kelancaran penyampaian maklumat yang tepat adalah sangat wajar menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat yang bertauliah yang boleh didapati dari organisasi orang Pekak yang sah. 

Elakkan mengambil jurubahasa isyarat tanpa tauliah atau menjemput individu yang mengaku sebagai jurubahasa isyarat kerana baru tamat belajar kursus bahasa isyarat atau anak kepada pasangan Pekak atau sebagainya. Jurubahasa isyarat itu adalah satu profesion, terlatih dan mempunyai kelayakan yang diiktiraf.

Perbuatan mengaku sebagai jurubahasa isyarat tetapi tanpa tauliah adalah perbuatan yang salah kerana ianya boleh mencalarkan profesion jurubahasa isyarat. 

Kepada sesiapa yang ingin menceburi bidang ini, boleh mendaftar dengan MyASLI.








  


17 December 2013

Bahasa Isyarat Malaysia : isyarat-isyarat Islam

Saya telah diundang untuk menyertai First International Forum for Deaf Muslim di Doha, Qatar pada 10 - 14 November 2013 yang lalu dan berkongsi informasi berkaitan dengan pembangunan agama Islam untuk orang Pekak di Malaysia.

Dari forum tersebut saya telah berjaya mendapatkan sebuah buku isyarat Islam yang dibangunkan oleh Persatuan Kebudayaan Orang Pekak Qatar dengan kerjasama negara-negara Teluk termasuk Saudi Arabia.

Isyarat Islam itu adalah seragam dan digunakan oleh orang Pekak dari negara Teluk dan ianya adalah amat menarik sekali sebagai lambang penyatuan ummah.

MFD kebetulannya sedang membangunkan isyarat Islam dan telah mengambil isyarat-isyarat Islam tersebut yang bakal digunakan oleh komuniti Islam kita.

Penggunaan isyarat Islam dari negara Teluk adalah tepat kerana agama Islam lahir dari Saudi Arabia, dalam solat wajib membaca doa dalam bahasa Arab dan kiblat solat kita juga menghadap Mekah. 

Buku Isyarat Malaysia : isyarat-isyarat Islam akan dikeluarkan pada tahun hadapan dan MFD dengan kerjasama PRISMA iaitu Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia akan mengeliling Malaysia untuk mengembangkan dakwah Islam menggunakan isyarat Islam tersebut.