07 June 2011

Cabaran Membangunkan Komuniti Orang Pekak di Malaysia

Dimana-mana di dunia ini orang Pekak memerlukan sebuah organisasi untuk menjaga kebajikan, memperjuangkan hak dan menyediakan perkhidmatan untuk komuniti orang Pekak negara itu agar selari dengan pembangunan negara mereka. 

Di Malaysia juga tidak di nafikan penglibatan organisasi orang Pekak telah membantu mengubahkan taraf hidup orang Pekak menjadi lebih baik. 

Penubuhan pergerakan orang Pekak bermula pada awal tahun 1964, orang Pekak yang miskin, buta huruf kerana ketertinggalan pendidikan dan tertindas merupakan kumpulan pertama penubuhan organisasi. Mereka perlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan yang serba kekurangan kerana ibubapa mereka juga tergolong dari orang miskin. Pada masa itu mempunyai anak Pekak adalah menjadi beban kepada mereka. Dari itu lahirlah pergerakan orang Pekak yang pertama.

Pada masa itu juga, tiada tempat mengadu, tiada tempat untuk beraktiviti, tiada peluang untuk memperbaiki diri dan situasi ekonomi negara kita adalah tidak bagitu bagus. Oleh itu orang Pekak memberikan kepercayaan kepada organisasi untuk membantu kebajikan mereka dan melaksanakan program kesinambungan budaya komuniti ini.

Untuk menguruskan organisasi tersebut memerlukan satu tanggungjawab yang besar dan mencabar. Berbanding dengan organisasi lain, mereka percaya dengan syarat mempunyai pendidikan tinggi, kekuatan wang ringit dan pengaruh akan membantu kelancaran pembangunan komuniti sasaran tersebut. 

Bagi penubuhan organisasi orang Pekak di Malaysia pada peringkat awal, kita tiada 3 syarat tersebut di atas tetapi hanya mempunyai 2 perkara penting iaitu kejujuran dan semangat. Bayangkan orang kita yang miskin, buta huruf dan tertindas; apakah gamaknya kita mahu menipu mereka? Apakah kita tidak mempunyai sifat perikemanusiaan untuk mengambil duit yuran mereka yang terhasil dari titik peluh mereka atau mempergunakan mereka untuk kepentingan diri sendiri?

Kesusahan itu di rasai dan diingati oleh para pemimpin orang Pekak peringkat awal dan ianya menjadi satu semangat serta azimat untuk memperjuangkan keperluan orang Pekak di negara kita.

Alhamdullilah, berkat usaha ianya berhasil. Suara kita di dengar dan di terima. Jika dibandingkan dengan tahun 70an, sekarang orang Pekak mempunyai pekerjaan baik dan memandu kereta sendiri untuk menyertai aktiviti yang dilaksanakan oleh persatuan mereka. Kehidupan kita adalah lebih baik lagi.

Orang Pekak merupakan nadi pergerakan organisasi, kerana tanpa ahli organisasi tersebut tidak boleh berfungsi. Mereka merupakan aset yang perlu di jagai. Ingatlah penubuhan organisasi kita bermula dari orang pekak yang miskin, buta huruf dan tertindas. Jangan sekali kita menipu mereka dan mengabaikan mereka.

Bagi generasi Pekak yang sedang menikmati kemakmuran negara ini melalui perjuangan oleh orang Pekak miskin, buta huruf dan tertindas. Berbaktilah dan meneruskan perjuangan kita yang belum selesai.






1 comment:

Siti Salwaar Deraman said...
This comment has been removed by the author.