01 April 2011

Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA)

Salam sejahtera.

Saya ada menerima surat peringatan daripada ROS (Pendaftar Pertubuhan) untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan sebelum 31 Mac 2011 ini. Dalam peraturan MFD ada menyatakan mengadakan mesyuarat agung dalam bulan Mac. Pihak MFD sebenarnya sudah bersedia kerana Laporan Tahunan Kewangan MFD sudah siap dan berada dalam tangan juru audit MFD untuk di sahkan. Laporan Tahunan MFD juga sedang di siapkan oleh Setiausaha Kehormat MFD yang baru.

Saya juga terkejut kerana telah menerima peringatan dari pada ROS perkara yang sama untuk Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA). Saya ragu-ragu kerana sehingga hari itu belum menerima pengesahan kelulusan pendaftaran PRISMA.

Saya telah menghubungi ROS dan telah diberitahu untuk mengambil sijil pendaftaran dari pejabat Shah Alam. Lalu saya menghubungi Aqlam selaku Yang Di Pertua Protem PRISMA dan beliau bergegas mengambil sijil tersebut.

Sah sudah PRISMA di tubuh sebagai sebuah organisasi yang berdaftar setelah lama menunggu. Saya menceritakan secara ringkas penubuhannya di sini. 

MFD ialah sebuah organisasi yang paling berjaya pada masa itu dan aktivitinya selalu mendapat perhatian dan sokongan dari banyak pihak. Sebagai organisasi yang memperjuangkan kepeluan orang Pekak dan pada masa itu timbul masalah sosial di kalangan komuniti Pekak beragama Islam yang perlu ditangani.

Oleh itu, MFD telah menganjurkan beberapa program agama Islam yang berjaya seperti Seminar Isu, Keperluan Orang Pekak Islam yang di anjurkan setiap tahun. Dari kejayaan itu pihak JAKIM dan agensi agama Islam peringkat negeri telah mengenali MFD dan menyokong projek yang dicadangkan oleh MFD.

Namun telah menerima bantahan ahli Pekak bukan Islam kerana mahukan MFD berkecuali dalam aktiviti agama. 

Untuk menjaga hati orang Pekak bukan Islam, pada 22 Oktober 2005 sempena bulan puasa beberapa pemimpin orang Pekak negeri iaitu Aqlam, Razani, Ismail Muda, Azhar, Khairun Cagunathan telah membincangkan penubuhan sebuah organisasi untuk mewakili orang Pekak Islam bertempat di Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur.

Semua telah bersetuju dan menubuhkan jawatan kuasa penaja, Aqlam telah dilantik sebagai Yang Di Pertua dan saya sebagai Setiausaha Kehormat. Kami juga telah mendermakan duit dari poket sendiri untuk memulakan kerja. 

Demi menjaga perpaduan orang pekak, didalam peraturan PRISMA di bahagian keahlian di letak ayat : "Ahli yang layak menganggotai persatuan hendaklah menjadi ahli Persatuan yang bergabung dengan MFD (Ahli Gabungan MFD) terlebih dahulu."

Ianya adalah kerana bagi mengelakkan orang Pekak berpecah belah dan menggalakkan berpuak. Contohnya jika seseorang dari KL ingin menjadi ahli PRISMA, wajib mempunyai keahlian KLSD terlebih dahulu.

Yuran keahlian juga murah iaitu RM 5 bagi seumur hidup.

Sekarang dengan adanya PRISMA akan memikul tanggungjawab untuk membantu membimbing komuniti Pekak kepada ajaran agama Islam yang suci. Juga tinggi harapan untuk mengurangkan masalah sosial dikalangan orang Pekak kerana terabai dalam bimbingan agama sejak di lahirkan.

Sama-samalah kita menyokong PRISMA.