29 December 2010

Keputusan PMR Pelajar Pekak dan Arahan Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran

Saya belum menerima keputusan PMR calon Pekak bagi tahun 2010 ini. Harapnya ada keputusan yang baik bagi calon Pekak macam tahun kebelakangan yang mana menjadi berita besar di akhbar tempatan. Berita kejayaan pelajar Pekak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan awam menjadi motivasi kepada kita, ibubapa, guru, pelajar Pekak yang lain.

Kejayaan tersebut akan menukar pandangan para guru, pengetua, pegawai bahawa orang Pekak tak boleh berjaya dalam pendidikan atau pendidikan untuk orang Pekak tidak bagitu penting.

Y.Bhg. Dato' Abd. Ghafar bin Mahmud
Tahun ini sunyi sahaja kerana tiada berita mengenai kejayaan pelajar OKU dan saya merasakan sesuatu yang tidak kena tetapi saya tetap berdoa masih ada yang berjaya mendapat keputusan yang baik sebagai bukti kejayaan sistem pendidikan kita. Jika tidak berjaya mesti ada sebabnya dan saya tertarik dengan berita Mingguan Malaysia hari Ahad berkaitan dengan arahan Y. Bhg. Dato' Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran bertajuk Hanya guru berkelayakan ajar BM. (KLIK PADA TAJUK INI).

Saya amat bersetuju dengan arahan itu dan mengusulkan guru yang mempunyai kelulusan dalam BIM/BMKT layak mengajar di sekolah Pekak.

15 December 2010

Diari bulan ini

Lama juga tak menulis di ruang ini, memang saya sibuk ke sana ke mari. Berikut adalah jadual saya.

17 - 25 November 2010, saya ke Tokyo bagi memenuhi undangan sebagai penceramah di satu persidangan orang Pekak DPro iaitu kumpulan bebas di Jepun. Di sepanjang minggu saya sibuk dengan acara dan gambar saya boleh di lihat di facebook.

26 - 28 November 2010, saya menghadiri Bengkel Malaysian Standard anjuran Sirim di Hotel Concorde Shah Alam. Bengkel itu bertujuan untuk menyemak dan update MS1184 dan menukarkan garis panduan itu kepada Universal Design yang mana membolehkan semua orang OKU, orang tua, ibu mengandung, kanak-kanak, orang sakit akses kepada bangunan tanpa halangan.

30 November - 3 Disember 2010, saya, Zaine dan Wan Zuraidaj ke Jakarta, Indonesia untuk menghadiri ke Regional Conference on Asean and Disability dan penubuhan Asean Disability Forum. Saya juga berkesempatan melawat Geraktin (organisasi orang Pekak nasional) buat pertama kalinya dan juga berjumpa dengan kumpulan PERTI iaitu kumpulan orang Pekak yang keluar dari Geraktin.

4 - 10 Disember 2010, saya bertindak sebagai fasilitator bagi Kursus Pengurusan NGO untuk kumpulan orang Pekak Vietnam dari Hanoi Association of the Deaf.

8 Disember 2010, saya di jemput membentangkan kertas kerja mengenai keperluan orang Pekak di Audit Accessibility Seminar anjuran Sirim dan JKMM di Melaka. Singgah ke Puskom Melaka untuk membuat lawatan mengejut.

10 Disember 2010, saya dan keluarga pulang ke kampung isteri saya di Sg. Tiang, Kedah. Anak perempuan pertama saya buat pertama kali memandu di lebuhraya dari Tapah ke Bukit Gantang. Kami singgah di Port Weld untuk menikmati mee udang. Pada 11 Disember 2010, saya dan keluarga ke Kuarter Penjara Pokok Sena untuk majlis perkahwinan sepupu pekak isteri saya. Ramai sahabat handai pekak juga hadir. Saya pulang ke KL menaiki bas pada 12 Disember 2010

13 Disember 2010, jam 10.00 am mempengerusikan perhimpunan staf MFD dan menerangkan penstrukturan baru MFD yang akan bermula 1hb Januari 2011. Pada jam 2:30 pm saya ke mesyuarat Ahli Majlis OKU yang dipengerusikan oleh KSU KWKPM. Saya membangkitkan isu kesukaran orang pekak memperolehi lesen memandu berkaitan dengan Akta JPJ dan isu kualiti pendidikan orang Pekak yang tidak memuaskan dan menyukarkan mencapai hasrat YAB Perdana Menteri kearah rakyat yang berpendapatan tinggi. YBhg KSU akan mengadakan satu perjumpaan dengan pihak MFD pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

14 Disember 2010, saya terlepas penerbangan ke Vientiane, Laos kerana sibuk menyiapkan assignment universiti. Saya terpaksa membeli tiket one way baru ke destinasi pada 16 Disember 2010.

Masa yang terluang ini saya mengambil kesempatan berehat secukupnya dan menulis blog ini.

15 November 2010

Tukar Guru Besar Cemerlang UPSR

Saya belum menerima berita mengenai keputusan pelajar Pekak kita yang menduduki UPSR tahun ini. MFD telah terlibat memberikan motivasi kepada pelajar tersebut melalui kem yang di bimbing oleh belia pekak dan juga pelajar daripada Gallaudet University, USA.

Hanya 4 buah sekolah termasuk satu melalui persatuan orang Pekak yang mengikuti program yang di anjurkan oleh MFD secara percuma. Saya amat bersyukur kerana adanya guru besar yang mengambil berat dan peka dengan kepentingan pendidikan muridnya, mereka sanggup bekerjasama dengan pihak luar untuk melaksanakan program yang mendatangkan faedah kepada murid Pekak.

Semalam di ruang Awang Selamat Mingguan Malaysia ada membicarakan tajuk di atas (KLIK DI SINI). Saya amat bersetuju supaya sekolah Pekak kita diterajui oleh guru besar yang cemerlang serta benar-benar ikhlas untuk untuk membimbing kanak-kanak pekak ke arah menjadi orang yang berguna.

Teringat kata-kata Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad, Tokoh Pendidikan, semasa saya di jemput sebagai penceramah di bengkel anjuran LPM di PD, beliau berkata guru wajar membimbing murid-murid mendapatkan kejayaan yang minimal dan bukan gagal terus. Ianya ada satu kebenaran kerana di sepanjang kami di MFD membantu orang Pekak mendapatkan pekerjaan, tahap kenal huruf klien kami yang berumur dalam lingkungan 20an adalah menyedihkan dan menyukarkan mereka mendapat pekerjaan bagi membina kehidupan yang baik.

06 November 2010

Selamat Divali


Di Malaysia kita panggil Deepavali, di India di panggil Divali juga di negara lain di eja Diwali. Walaupun berbeza tetapi maksudnya adalah sama iaitu Pesta Cahaya.

Malam Divali, dikeliling rumah kaum India diterang cahaya, juga macam malam-malam sebelum Hari Raya Aidilfitri atau malam tujuh likur orang Melayu memasang pelita panjut. Sekarang kemodenan telah menukar kepada lampu "kelip-kelip".

Malam Divali, dentuman mercun boleh dirasakan gegarannya di sana sini, walaupun dilarang tetapi gagal dihentikan. Sebelum raya, orang Melayu di kampung main meriam buluh sebab ianya adalah satu "permainan" yang murah berbanding dengan mercun atau bunga api. Tidak lupa dengan orang Cina yang mana tarian naga tidak lengkap tanpa mercun.

Malaysia ialah negara yang berbilang kaum atau multiethnic dan merupakan negara yang paling banyak cuti umum bagi menghormati perayaan kaum tersebut.

Oleh itu saya mengucapkan Selamat Divali kepada semua rakan berbangsa India, maafkan saya kerana tidak melawat ke rumah anda.... terlalu banyak undangan yang tidak dapat saya penuhi...

29 October 2010

Masih ada diskriminasi?

Bendahari MFD telah forwardkan saya berita akhbar tempatan mengenai seorang Pekak tak pulang rumah kerana kecewa tidak dapat lesen memandu (klik di sini) .

Sukar sungguh kita orang Pekak mahu meneruskan kehidupan. Akademik kita gagal, kerja setakat kilang. Kilang jauh dari rumah kena naik basikal atau bas loncat-loncat (tukar tukar bas). Hujan panas berembun, kalau sampai lambat kena pecat. Balik malam buta buat OT sebab duit tak cukup, dalam gelap gulita kena patuk ular, rompak atau ragut atau kena langgar kereta.

Oleh itu nak pergi kerja naik motorsikal supaya dapat bantu naikkan produkitivi tempat kerja dan juga dapat elaun OT lebih untuk ibubapa atau anak beranak. Tapi lesen memandu punya hal, suruh pi jumpa doktor periksa telinga kena minta cuti dan potong gaji. Kena keluar duit bayar tambang pi hospital jauh dari rumah, hari ini tempah tarikh bulan depan buat ujian. Tunjuk kad OKU kepada JPJ pun tak laku, buang karan saja JKMM buat kad OKU.

Lepas itu pi kursus memandu 6 jam wajib tapi tanpa jurubahasa isyarat, apa boleh masuk otak? Panggil jurubahasa isyarat pun kena selok kocek sendiri untuk bayar upah kerana kursus hujung minggu.

Duduk ujian undang-undang gagal 5 kali atau 10 kali, depan komputer pun tak erti, siapa peduli. JPJ tetap masuk duit penalti. Tapi orang tua dan orang asli dapat lesen sebab JPJ buat khas, siapa tak sakit hati?

Last-last bawa motorsikal tanpa lesen sebab mahu hidup untuk makan dan makan untuk hidup, bukan merempit. Bila polis atau JPJ tahan terus jadi perit.... huhuhuhu....

Oh Malaysia ku.....