20 March 2013

Akses Kepada Komunikasi Tanpa Halangan.


Salam sejahtera, saya amat tertarik dengan posting Mohd Redza II di ruang Facebook berkaitan dengan sarikata di TV.

Tulisan beliau dan diskusi ahli Facebook yang meluahkan rasa tidak puashati dengan situasi yang berlaku di zaman moden ini menunjukkan kesedaran hak sebagai orang Pekak dalam mendapat informasi tanpa sekatan.

Untuk makluman, Persatuan Orang Pekak sudah lama memperjuangkan akses kepada informasi dan komunikasi iaitu hak orang pekak mendapatkan informasi dari TV dan komunikasi melalui telefon sejak awal tahun 80an.

Bermula sebelum itu, setiap rakyat Malaysia wajib mempunyai lesen radio dan tv dengan yuran tahunan sebanyak RM 24 dan jika tidak ada lesen adalah satu kesalahan yang boleh di hukum. 

Saya masih ingat apabila ada petugas membuat pemeriksaan lesen dari rumah ke rumah, orang kampung saya akan menghebahkan kepada jiran dari rumah ke rumah. Kebanyakan orang kampung saya adalah orang miskin dan tidak mampu membayar lesen, mereka akan menyorok tv atau radio mereka bawah katil atau bawah tilam atau selimut dan sebagainya.

Apabila saya melibatkan diri dalam persatuan saya ada membangkitkan isu lesen TV tersebut dan mencadangkan supaya di wajibkan ada sarikata di semua rancangan TV bersesuaian dengan harga lesen yang di bayar. Tidak lama kemudian lesen tv dan radio di mansuhkan, namun kepentingan sisipan sarikata di rancangan TV adalah masih tidak berubah.

Sehingga hari ini, jika kita menonton  rancangan TV percuma iaitu TV1, TV2, TV3, NTV, TV9, AlHijrah dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, berapa peratuskah kita dapat mengikutinya? Berapakah jumlah rancangan yang mempunyai sarikata dan berapa jumlah rancangan yang tidak mempunyai sarikata?

Juga rancangan setesen TV berbayar iaitu Astro, HyppTv, apakah berbaloi dengan harga yang kita bayar?

Bagi kita orang Pekak, yang kita mahu bukannya wang ringgit tetapi hanya sarikata di setiap rancangan TV. Sarikata itu adalah dalam Bahasa Melayu bagi rancangan berBahasa Melayu dan sarikata Bahasa Inggeris bagi rancangan berBahasa Inggeris. 

Sarikata tersebut bukan sahaja akan memanfaat kepada orang Pekak, tetapi juga untuk orang bukan pekak kerana mereka akan dapat mengenal huruf atau ejaannya sambil mendengar dan menambah penguasaan bahasa mereka.

Yang paling berharga nilai sarikata tersebut ialah kepada kanak-kanak pekak dan juga bukan pekak dapat memulakan minat membaca di peringkat awal.

Di saat slogan Masyarakat Penyayang, apakah kita tidak sedar anak pekak kita yang terkapai-kapai untuk mengikuti rancangan Upin dan Ipin, Boboi Boy yang terkenal tersebut. Apakah tidak penting bagi kita orang Pekak mengikuti rancangan program Islam di negara Islam ini?

Apakah permintaan kita terlalu berat atau ketiadaan polisi bagi memenuhi keperluan kita? Bukankah  kita sudah ada Akta OKU 2008 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang mewajibkan menyediakan akses komunikasi tanpa halangan. Siapakah yang gagal melaksanakannya? Menteri? ahli politik atau pekerja di setesen TV itu?

MFD belum putus asa untuk memperjuangkan keperluan orang Pekak iaitu hak untuk mendapatkan komunikasi tanpa halangan. Kita masih belum mahu memukul gendang perang.


25 February 2013

Cabaran Membangunkan Sukan Orang Pekak


Pembangunan sukan untuk orang Pekak kita tidak pernah gagal mendapat sokongan terutama segi wang ringgit. Bermula apabila menghantar kontinjen Malaysia ke World Deaf Game di Sofia pada tahun 1991 buat pertama kalinya, ianya menjadi titik permulaan kita mendapat bantuan kewangan dari pihak kerajaan dan swasta.

Selepas itu pergi ke luar negara ke Rome, Melbourne, Taipei, sana sini untuk bawa cabaran jalur gemilang, pihak Kerajaan dan swasta tidak di nafikan menghulurkan peruntukan dan kita tidak merasakan di kecualikan dalam pembangunan sukan dan peluang. Juga dari SKOP sehingga bertukar SOPMA, Ipoh, Terengganu dan KL pun kerajaan bagi duit.

Namun realitinya pembangunan sukan domestik kita sunyi, mungkin sebab itu MPM menjemput atlet Pekak kita ke Sukan Paralimpik mereka sebagai satu tanggungjawab sosial. Tiada niat yang tersembunyi. Juga organisasi luar MSFD/MSDeaf seperti YMCA Deaf Club, unit dan ahli gabungan MFD menganjurkan aktiviti sukan untuk ahlinya atas dasar bukan nak ambilalih tugas MSFD/MSDeaf, tetapi untuk memperbanyakkan aktiviti supaya atlet Pekak mempunyai peluang mengasah bakat atau memperingkatkan skill mereka. Lagi banyak aktiviti sukan, akan meningkatkan prestasi mereka seperti yang di matlamatkan oleh MSDeaf.

Sepatutnya MSDeaf mengambil kesempatan dari MPM yang mempunyai pengaruh di MSN, KBS, PESRON, JKM peringkat kebangsaan dan negeri kerana apabila adanya Sukan Paralimpik kerajaan negeri akan menyediakan atlet dari segi latihan, pakaian, makanan, pengangkutan, tempat tinggal serta elaun. Orang Pekak dapat ikut serta dan perkenalkan dan promosikan diri, sebagai ahli persatuan sukan negeri sendiri dan dari itu kerjaan negeri akan tahu kewujudan organisasi peringkat negeri.

Paling best ialah jika atlet pekak dapat pingat dari Sukan Paralimpik dan menaikkan imej negeri masing-masing, kerajaan negeri akan buat party dan beri intensif. Negeri gembira, atlet pekak  pun gembira. Bertambahlah sokongan kepada orang Pekak kita. Berbaloikan.

Nak buat kerja pembangunan sukan bukan kerja yang mudah, memang itu amanah yang berat serta perlukan nawaitu. Harap MSDeaf berjaya dalam usahanya. Kita tunggu aktiviti sukan untuk orang Pekak anjuran MSDeaf yang akan memeriahkan komuniti kita.

Sebelum itu saya ada mencadangkan supaya Sukan Paralimpik ambil atlet pekak bawah 18 tahun sahaja. Dengan cara itu kita dapat keluarkan pelapis. MSDeaf boleh jimat duit, dan tenaga. MSDeaf tumpukan kepada SOPMA untuk 18 tahun keatas bagi menjaga kualiti kejohanan tersebut.

Masalah atlet kita tak dapat ganjaran setahu saya ianya bermula dari Deaflympik Melbourne, Jimmy Wong dapat no 3 lepas itu Zaidi Awang juga dapat gangsa di Taipei Deaflympik tapi ganjaran tak terima sampai hari ini. Mana salah silapnya? PJS belum di kuatkuasa pada masa itu dan masa itu juga sukan kita dibawah pengurusan MSFD. Mengapa atlet kita tak dapat ganjaran hasil kemenangannya  walhal sebelumnya atlet kita dapat? Jawapannya ada pada pemimpin MSFD tersebut.

Banyak sangan polemik dan perbahasan sehingga merosakkan imej orang Pekak bagai tak ada penghujungnya. Kebetulan saya ada berjumpa dengan pemimpin MSDeaf semasa AGM Persatuan Orang Pekak Melaka, banyak perkara kami bahaskan. Di akhir saya dah beritahu bola ada di kaki anda, geliceklah, rembatlah ke dalam gol jangan kalau tak masuk gol salahkan size gawang kecik atau kasut bola rosak… Sekarang orang Pekak dah pandai menilai…

06 January 2013

Memahami Orang Pekak Untuk Menjadi Negara Maju

Malaysia sedang berusaha menuju menjadi sebuah negara yang maju dan hampir menjadi kenyataan. Sebagai rakyat Pekak saya juga amat bersetuju dan  berharap akan negara yang tercinta ini menjadi sebuah negara yang maju yang di hormati dan dicontohi dunia ini.

Saya pernah melawat, mesyuarat dan diundang menjadi penceramah di beberapa buah negara maju dan mengikut penilaian dan perbandingan saya memang bertepatan dipanggil negara maju secara fizikal dan rohaniah.

Berbalik kepada Malaysia cabaran untuk menjadi negara maju, kita tidak ada halangan di segi pembangunan fizikal tetapi rohaniah. Maksud saya ialah sikap dan mentaliti rakyat Malaysia, isunya ialah Orang Pekak yang tidak lari daripada direndah martabatnya, dipermain, dihina dan menjadi bahan negatif oleh orang bukan Pekak.

Kita ambil beberapa contoh :

Maksud pekak Kamus Dewan Bahasa Pustaka Edisi Keempat

PEKAK : tidak dapat mendengar langsung atau tidak dapat mendengar dgn baik, tuli: ayahanda orang tua, kabur mata, ~ telinga; 2. be­ngap, tidak nyaring bunyinya; ~ (-pekak) badak a) = ~ batu pekak (tuli) benar-benar; b) pura-pura tidak mendengar, sengaja tidak mahu mendengar; c) tidak men­dengar bunyi (suara) yg kuat tetapi boleh mendengar bunyi (suara) yg lembut; ~ labang kurang baik pendengarannya, tuli sedikit; yg ~ pelepas bedil, yg buta pengembus lesung, yg bisu penggera ayam, yg lumpuh penghuni rumah prb setiap orang ada gunanya; memekak membuat bising; memekakkan 1. menjadikan pekak; 2. me­nyebabkan terasa pekak: bunyi enjinnya ~ telinga. terpekak pekak dgn serta-merta (kerana kepalanya kena pukul dll). 

(sumber : http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=pekak)


Kamus Pelajar Edisi Kedua

PEKAK : tidak dpt mendengar sama sekali; tidak dpt mendengar dgn baik; tuli. ~ badak tidak dpt mendengar bunyi yg kuat tetapi dpt mendengar bunyi yg perlahan. memekakkan 1 menyebabkan jadi pekak. 2 menyebabkan berasa pekak: Bunyi enjin kapal terbang itu ~ telinga. 

(sumber : http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=pekak)


Cuba baca perbandingan maksud pekak daripada negara maju.



Definition of deaf
adjective
lacking the power of hearing or having impaired hearing:
I’m a bit deafdeaf children
unwilling or unable to hear or pay attention to something:
she is deaf to all advice

Phrases
(as) deaf as a post
completely or extremely deaf.
fall on deaf ears
(of a statement or request) be ignored.
turn a deaf ear
refuse to listen or respond to a statement or request.


(sumber : http://oxforddictionaries.com/definition/american_english/deaf)

Maksud Pekak Kamus Dewan Edisi 4 iaitu  b) pura-pura tidak mendengar, sengaja tidak mahu mendengar; wajar tidak berlaku kerana ianya menggalakkan melabelkan orang Pekak sebagai kumpulan yang degil, bodoh atau sombong. Apakah maksud itu boleh dipakai iaitu jika kita sudah pekak akan berpura-pura tidak mendengar? Jelas sekali di negara kita kekurangan ahli bahasa yang arif.

Amat menyedihkan perkataan pekak di gunakan sebagai bahan ketawa atau merendahkan martabat orang lain. Sebagai contoh, dewasa ini ramai orang terutama ahli politik walau memegang ijazah yang serta tinggi ilmu agamanya tanpa rasa bersalah menggunakan perkataan pekak atau buta untuk menyerang parti lawan berkaitan dengan maksud Kamus Dewan di atas.

Apakah orang Pekak di Malaysia ialah kumpulan yang degil, bodoh dan sombong berbandingkan dengan orang Pekak di negara maju? Mengapa orang di negara maju di sana mengelakkan menggunakan perkataan yang negatif tertuju kepada orang Pekak?

Sebab utama ialah di negara maju mereka menghormati orang lain serta memahami keperluan golongan itu. Kalau tak yakin bacalah dokumen seperti UN Convention on the Right of People with Disabilities, UN Standard Rules on the Equalization of Opportunities for PWD, ADA, dan sebagainya. Semua dokumen itu di keluarkan daripada negara maju. Walhal dalam agama kita, AlQuran, kitab dan sebagainya juga ada menyuruh umat Islam supaya menghormati sesama sendiri.

Memang ada orang Pekak itu degil, bodoh dan sombong tetapi yang menyebabkan mereka menjadi bagitu ialah kerana ketiadaan bimbingan atau komunikasi yang betul bersesuaian dengan keperluan mereka. Adakah guru, guru agama, ibubapa, keluarga, kawan mempunyai kemahiran dalam bahasa isyarat, boleh berkomunikasi dan membimbing orang Pekak akan baik buruknya sesuatu perbuatan?

Orang Pekak juga dikurniakan akal oleh Allah swt dan mereka tidak akan menjadi degil, bodoh atau sombong seperti mana orang yang boleh mendengar akan menjadi baik apabila memahami bimbingan yang diberikan.

Ini lah cabaran untuk kita menjadi negara maju iaitu mengubah sikap masyarakat kita kerana ianya berlaku sejak lama seperti mana dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda :

orang pekak membedil meriam
orang buta menghembus lesung....

Saya pernah mendiamkan diri apabila ada orang bukan pekak mengata orang Pekak berkahwin tidak tahu tanggungjawab rumah tangga sebab hanya tertumpu di celah kangkang perempuan sahaja.

Memanglah, kita manusia termasuk orang Pekak mempunyai perasaan dan nafsu yang di cipta oleh tuhan dan berdosa jika anda cuba menyekatkannya. Tetapi apakah di Malaysia mempunyai orang yang mampu membimbing kami ajaran agama, mengajar kami memahami apa itu qada qadar, mengawal nafsu dan sebagainya.

Walaupun kami di label sebagai degil, bodoh atau sombong namun orang Pekak tidak sekali-sekali membunuh bayi atau membuang bayi.











04 January 2013

Facebook dulu-duluan

Tahun 2012 MFD genap berusia 15 tahun dan pelbagai aktiviti di laksanakan sempena sambutan ulangtahun tersebut. Kesibukan kami menghalang saya menulis di blog ini tetapi saya aktif menulis posting di Facebook dan melaporkan aktiviti MFD di Facebook.

Facebook merupakan alat komunikasi yang popular di kalangan komuniti Pekak dewasa ini. Tidak hairan adanya orang Pekak yang sudah berusia, tertinggal dalam pendidikan mempunyai akaun Facebook dan aktif membuat posting melebihi mereka yang mempunyai kelulusan akademik.

Saya juga mempunyai rakan yang terdiri dari pelajar Pekak sekolah rendah yang mencuba menjadi ahli Facebook. Kami juga chat secara ringkas dan ada juga adik-adik mengajak saya web chat. Jika menggunakan Facebook dengan baik akan membantu kita memperbaiki penguasaan bahasa kita.

Teringat zaman sekolah menengah saya di ACS Sitiawan dalam tahun 70 an saya sudah berFacebook. Percayakah?

Begini. Sebagai pelajar Pekak tunggal saya dalam kelas akan merasakan kebosanan kerana tiada komunikasi. Terpaksalah saya menakalkan diri untuk mendapat perhatian. Saya akan menulis nota dalam kertas kecil dan membalingkannya kepada teman rapat saya. Saya post message kepada dia dan kawan saya tidak menghampakan saya dan dia reply message saya.

Adakala saya curi-curi post message kepada pelajar perempuan tetapi tidak mendapat reply sebab tidak mengenali siapa penulisnya. Tetapi ababila mengenali saya dia akan reply bermakna beliau like, like tak bermakna jatuh cinta, jadi kami berposting dan membuat rancangan event iaitu pergi library atau tengok wayang lepas sekolah. 

Adakalanya message saya di kongsi dengan rakan yang lain dan mereka juga membalas message saya secara beramai-ramai.

Buku autograf merupakan trend masa dulu, jadi saya akan hantar buku autograf untuk mendapat kata motivasi, contact, atau minta kawan saya mendapatkan posting daripada kawan perempuan yang paling saya angaukan. Selalunya autograf ada gambar saya dan rakan saya akan menulis posting serta menampal gambar mereka dalam posisi yang terbaik. Adakalanya tangguhkan memulang autograf tersebut kerana gambar terbaru dan terbaik belum keluar kedai gambar.

Jadi percayalah. Saya berFacebook sejak tahun 70an dengan cara manual dan sekarang ICT memudahkan segalanya.

Teringat dulu-dulu.

 

  

06 September 2012

Bahasa isyarat yang lapuk dan tidak efektif....

Saya amat teruja akan penglibatan orang Pekak membahaskan artikel akhbar terlaris di Malaysia iaitu Harian Metro 4 September 2012 yang membangkitkan isu ".......bahasa isyarat lapuk dan tidak efektif". 

Mereka bangkit menentang artikel tersebut dengan tertib dan mempertahankan bahasa isyarat iaitu bahasa yang digunakan oleh orang Pekak. 

Ini adalah apa yang kita mahukan jika ingin orang lain menghormati kita. Kita orang pekak bukannya bodoh dan tidak boleh berfikir serta menilai sesuatu yang baik atau buruk. Namun tetapi kita belum tahap sampai merusuh di jalanan, membakar buku, menunjuk punggung dan memijak gambar  atau meruntuh jambatan sepertimana yang berlaku di luar sana.

Memang artikel tersebut adalah tidak wajar dan mengelirukan, ianya mempunyai unsur fitnah dan boleh di ambil tindakan di bawah Akta Hasutan 1948

Umum sudah tahu Akta OKU 2008 mengiktiraf BIM sebagai bahasa rasmi orang Pekak di negara ini, kerajaan Malaysia juga sudah menurunkan tandatangan menyokong UNCRPD yang menegaskan bahasa isyarat kebangsaan sebagai bahasa komunikasi orang Pekak dan di gunakan dalam pendidikan. 

Artikel tersebut menunjukkan betapa ceteknya pengetahuan pemberita mengenai komuniti orang pekak, bahasa isyarat dan pendidikan khas dan sepatutnya boleh dielakkan sekiranya Puan Roslina selaku guru besar lebih berhati-hati memberikan input kepada wartawan itu. 

Saya mengenali Puan Roslina dan saya tahu beliau tahu membezakan apa itu bahasa isyarat dan Kod Tangan Bahasa Malaysia (KTBM) yang di gunakan di sekolah khas. Malahan beliau ada menghantar pelajar beliau mempelajari BIM di MFD bagi menyediakan pelajar tersebut memasuki Tingkatan 1.

Saya dan dia ialah orang NGO, sebagai NGO kita berlumba mempromosikan success story untuk mendapat perhatian masyarakat sekeliling serta mengharap bantuan kewangan. Namun disebalik keghairahan mempromosikan wajar mengingati batas dan sempadan. Jangan sampai alpa dan menggunakan kelemahan dan kekurangan orang lain tanpa mengetahui kebenarannya. Menjaja agama dan Alquran juga wajar di elakkan kerana bukan tuntutan dalam agama kita.

Sekarang kerosakan itu sudah berlaku, pemimpin di MFD bukan dayus, goyang kaki dan mencari glamour tetapi dalam situasi yang tercabar.