27 January 2015

Nasi Kandar Line Clear

Saya diperkenalkan kepada nasi kandar Line Clear sejak tahun 1980an oleh sahabat saya Wan Mohd Ali. Memang satu yang berbeza rasanya bagi budak luar Penang. Lepas makan bau kari masih melekat kat tangan dan perut saya masih panas berjam-jam kerana rempah karinya.

Orang bukan pecinta nasi kandar akan mencari cerita negatif untuk menakut-nakutkan kita makan di sana. Ada yang bercerita tikus sebesar kucing berkeliaran dan membuat kita loya.

Namun sampai sekarang saya masih ke Line Clear, yang ditubuhkan pada tahun 1932.

Sebagai pelanggan tetap, pelayan yang lama akan mengingati saya dan kumpulan orang Pekak. Kami kadang2 dapat harga special. Bagi saya sebelum memesan makanan saya akan tanya berapa harga kepala ikan dan membuat tawar menawar. Biasanya dapat harga yang terbaik daripada pelayan tetap kami.

Kalau nak makan sana, jangan lupa minta tambah kuah campuran.... aduhai enak bukan main.

Baru-baru ini saya terkejut menerima berita dari Wan Mohd Ali mengenai Line Clear di serbu oleh MPPP (klik disini). Oh hanya angkut itu kerusi meja saja bukan lauk pauknya, kalau lauk pauk kena angkut mesti ada kenduri besar orang lain.

Namun saya sebagai penggemar kelapa ikan, berharap Line Clear pindah ke lokasi yang lain, buatlah restoran baru Line Clear dan saya percaya tak akan kehilangan pelanggan.

Biarlah line kat sana clear tapi pelanggan tetap akan terus mencari anda untuk menikmati keenakan masakan anda. Macam gerai Ghulam Rasool dulu dok bawah pokok kat Hospital Telok Intan tapi pindah ke tempat lain yang lebih besar dan selesa. Pelanggan tetap ramai.

Pindahlah Line Clear....




19 January 2015

Harapan dan masa depan

Saya merasa apa yang ibubapa yang mempunyai anak pekak rasa apabila menyekolahkan anak pekak mereka. Semua orang mahukan anak mereka berjaya dalam pendidikan agar mempunyai masa depan yang baik.

Namun keadaan sekeliling telah merencatkan harapan mereka, ada sekolah dekat rumah tidak menerima mereka, ada yang menerima mereka tapi tanpa keperluan iaitu jurubahasa isyarat dan guru resos.

Demi anak masa depan, terpaksalah menghantar ke sekolah intergrasi yang jauh dari rumah. Nak mengeluh kesukaran pergi balik tapi terpaksa diamkan diri kerana tak mahu apa kata orang lain bahawa kita pandai buat anak tapi tak tahu jaga anak.

Kerajaan bagi RM 150 sebulan buat duit poket untuk pelajar OKU tapi buku bank cikgu yang simpan dan kawal perbelanjaan kerana takut ibubapa salahguna duit beli arak atau rokok.

Macamana nak bayar pengangkutan? Macamana nak bayar tuisen kerana di sekolah terhad pembelajarannya. 

Hantar ke sekolah intergrasi memang bagus sebab ada persaingan. Tapi macamana nak bersaing jika kita ketinggalan dalam banyak hal terutama komunikasi dan informasi? Sebagai contoh bila masa perhimpunan apakah informasi sampai kepada pelajar pekak?

Masuk kelas cikgu akan menyampaikan ilmu, jika tak ada kemahiran dalam bahasa isyarat bagaimana ilmu hendak disampaikan?

Jangan jadi macam lagu bangau oh bangau...

oh anak oh anak
mengapa kau tak pandai

aku tak pandai kerana cikgu tak ajar aku..

oh cikgu oh cikgu
mengapa kau tak ajar anak aku

aku tak ajar anak kamu kerana aku tak pandai berisyarat...

oh cikgu oh cikgu 
mengapa kau tak pandai berisyarat...

aku tak pandai berisyarat kerana Kementerian belum buat kursus.....

aduh....





12 January 2015

Kenangan 2014

Selamat Tahun Baru 2015

Ada apa yang baru? Badan aku bukan jadi baru tapi bertambah garisan usia dan rambut yang hitam jadi putih. Salt and pepper. Nak test market, saham pun turun. Bumi ini juga makin menjadi tua tak jadi baru tapi hanya nombor tahun yang bertukar dari 2014 ke 2015. Azam baru? Azam tahun 2014 ada dilaksanakan dan telah dicapai?

Selama aku menerajui MFD ada pahit manis masam, yang manis 1hb April 2014 Majlis Penyerahan 6 Lot Pejabat di Tingkat 4, Menara KLH oleh Yayasan Sime Darby kepada MFD. Alhamdulillah, MFD menjadi organisasi yang ditadbirkan oleh orang Pekak mempunyai bangunan sendiri. Tak payah fikir cari duit nak bayar sewa lagi tapi pening kepala sebab nak bayar cukai pintu dan maintance bulanan.

7 bulan kemudian 1hb Oktober 2014, hari yang manis bersejarah kepada komuniti kita kerana projek BIM tajaan kerajaan Jepun tamat dan Majlis Penyerahan Buku BIM Teknikal diadakan di Parlimen Malaysia. Mengimbau kenangan 11 September 2007 yang mana pasukan kita mempromosikan BIM kepada YB YB policy maker di Parlimen, menyerahkan memorandum kepada YB Menteri untuk mengiktirafkan BIM dan dari itu juga Akta OKU 2008 dibaca dan diperkenan diRaja pada 2008.

Tamat Majlis Penyerahan Buku, Menteri Kedutaan Jepun pelawa MFD mintak duit lagi buat projek lagi sebab mereka bangga akan pencapaian kita dan percaya akan kewibawaan kita. Arigato gozaimasu. Gomenasai, kita dah terikat dengan perjanjian dengan YSD, projek BIM akan menyusul. Next time sir.

2 bulan kemudian 1hb November 2014, Mesyuarat Agung MFD diadakan di Dewan MFD-YSD. Orang kata panas tapi mengikut landasan undang-undang. Orang kita dah mulai membuka mata dan menunjukkan kematangan dalam berpersatuan. Cakap tak ditapis biasalah, selagi hidup ada mulut bercakap kecuali mati tapi apa yang tercakap tetap tertulis dalam buku untuk dijawab diakhirat nanti. Saya diberi amanah 3 tahun lagi.

Terima kasih kepada YB Tan Sri Penasihat MFD, YSD, Ahli Majlis MFD, Ahli Gabungan MFD, staf, JBI dan semua yang terlibat yang telah membawa MFD kepada kejayaan. 

Bulan Disember kat Kelantan dilanda banjir, Pahang, Kedah, Perak....Sultan Kelantan bertitah kemusnahan alam adalah perbuatan manusia (klik sini). Macam-macam cerita...