06 August 2013

Orang Pekak dan Solat


Di sepanjang bulan Ramadhan tahun 2013 ini, saya berkesempatan untuk menyertai majlis Ihya Ramadhan yang dianjurkan persatuan gabungan MFD di Kuala Lumpur, Shah Alam, Alor Setar dan Pulau Pinang.

Majlis itu mendapat sokongan dan kerjasama daripada jabatan yang menguruskan hal ehwal agama Islam di negeri masing-masing termasuk pihak masjid.  Seperti biasa kos untuk menampung penganjuran majlis tersebut adalah tidak mencukupi namun persatuan orang Pekak dengan ikhlas mengeluarkan peruntukan untuk menampung kekurangan perbelanjaan tersebut. Komitmen ini adalah amat terpuji dan diberkati Allah swt kerana ianya bertujuan untuk mengembangkan syiar Islam kepada orang Pekak yang sekian lama terabai.

Penyertaan ahli Pekak ke majlis tersebut adalah memberangsangkan dan semasa sesi soal jawab ianya mendedahkan betapa dahaganya orang Pekak di Malaysia pengetahuan agama Islam.

Melalui pemerhatian dan soalselidik saya, orang Pekak Islam amat memerlukan bimbingan dalam semua aspek agama termasuk yang penting iaitu fardhu ain. Di sini saya memberikan rumusan dari pemerhatian dan soalselidik saya terhadap orang Pekak termasuk staf di MFD berkaitan dengan bersolat.

Majoriti mereka menjawab mereka bersolat sebab agama Islam, sebab Allah dan ada yang memberikan jawapan sebab cikgu suruh atau ibubapa suruh. Mengikut kefahaman saya mereka bersolat kerana agama Islam dan kerana Allah adalah tepat kerana ianya ialah dalam Rukun Islam yang kedua.

Malangnya mereka tidak faham maksud dua kalimah syahadah iaitu Rukun Islam yang pertama dan saya menerangkan apa maksudnya kalimah (ayat) dan syahadan (ucapan kepercayaan atau perjanjian) serta memberikan contoh. Bagi orang Pekak mereka memerlukan kefahaman apa yang disampaikan serta memberikan contoh-contoh bagi menguatkan kefahamannya. Apabila sudah memahami definasi satu perkataan tersebut akan memudahkan kita menyampai ilmu agama kepada mereka.

Isyarat-isyarat yang bertepatan dengan Islam memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi kefahaman mereka dan pihak MFD sedang mengkaji dan memurnikan semula isyarat Islam dalam Bahasa Isyarat Malaysia agar bertepatan dan seragam dengan isyarat yang digunakan oleh Negara Islam yang lain.

Di bahagian solat pula, saya bangga mereka mampu menghafal niat sebelum solat tetapi mereka tidak tahu apa yang perlu dibaca doa semasa solat. Ada beberapa dari mereka tahu mengucapkan takbir selepas niat tetapi majoriti mereka tidak tahu membaca alfatihah termasuk tidak menyedari sebutan memberikan salam diakhir solat.

Di dalam Rukun Solat perkara no 4 adalah wajib membaca alfatihah dalam bahasa Arab dan perlu kita tekankan bimbingan pembacaan alfatihah kepada orang Pekak. Bukan alasannya orang Pekak dikecualikan sebab tidak mampu membaca dan menyebut bahasa Arab; jika orang Pekak boleh menulis serta berkomunikasi dalam BM atau English di Facebook atau SMS malahan webchat bermakna juga mereka mampu untuk menghafal alfatihah dalam bahasa Arab atau terjemahannya dalam Bahasa Isyarat Malaysia.

Ibaratkan orang bukan Pekak semasa solatnya mereka membaca alfatihah dalam bahasa Arab dilidah tetapi untuk menambah kusyuknya menterjemahkan dalam BM di akal atau hati.

Oleh itu dibolehkan orang Pekak membaca alfatihah dalam BIM dihati supaya melengkapkan Rukun Solat tadi.

Mengapa tak boleh? Jika Nabi Muhammad semasa beribadat di Gua Hira didatangi oleh malaikat Jibrail menyuruhnya membaca tetapi Nabi Muhammad tidak tahu membaca, turunnya surah Al Alaq “Bacalah, atas nama tuhan kamu yang mencipta….”

Pihak MFD, PRISMA, ustaz dan ustazah, guru, ibubapa dan individu bersama-samalah memikul tanggungjawab ini sebab bila kita mati nanti kita ada soalan untuk dijawab.


No comments: