20 May 2013

UBAH... ini kalilah...

Pilihan Raya Umum ke 13 atau PRU13 merupakan PRU yang paling sengit yang pernah saya saksikan.

Sebagai melaksanakan tuntutan demokrasi para parti politik membuat berbagai cara untuk menarik sokongan penyokong termasuk bersembahyang hajat sehingga penuh stadium mendoakan kemenangan.

Semasa PRU13 menyaksikan parti politik yang bertanding menghidangkan manifesto dan janji kepada rakyat untuk mendapatkan mandat memerintah Malaysia.

Pihak pembangkang kali ini bagitu optimis akan menang kerana tsunami politik 2008 dan melaungkan slogan UBAH dan INI KALILAH manakala pihak caretaker government juga yakin dan menceritakan pasal TRANSFORMASI dan kejayaan.

Semasa hari mengundi saya mengikuti perkembangan melalui rangkaian sosial Facebook yang menyiarkan pelbagai cerita mengenai penipuan, blackout serta pengundi hantu yang tidak di ketahui kesahihannya.

Saya juga terbaca laboran akhbar mengenai pengundi Pekak di Lembah Pantai di kepong, dirampas KP kerana di sangka pengundi hantu.

Saya tidak tahu bagaimana mereka menjawab kepada soalan orang yang menahan mereka atau di suruh menyanyi lagu Negaraku, jika benar di suruh menyanyi orang Pekak memang tak dapat melakukannya dan di sahkan sebagai pengundi hantu. Bersyukur kerana tidak ada apa yang berlaku kepada mereka.

Namun Allah telah membuat ketentuan dan BN kembali memerintah walau pun tanpa majoriti 2/3. PAS dan DAP telah menerima kekalahan tetapi pihak PKR mencuba untuk mempertikaikan kemenangan. Saya berdoa kepada tuhan agar Malaysia akan tetap aman dan mengharapkan semua akan bekerja bersama-sama untuk membangunkan negara yang tercinta.

Berbalik kepada Ubah dan Transformasi, kedua perkataan tersebut membawa maksud yang sama tapi cara berlainan. Bagi kita orang Pekak kedua-duanya adalah penting dan diperlukan.

Sebagai contohnya keperluan dalam bidang pendidikan, Transformasi memang sudah berlangsung dan masih berjalan. Infrastruktur pendidikan kita telah menjadi yang terbaik dirantau ini. Dari kelas untuk murid pekak yang terletak di bawah tangga, hujung sekolah dan belakang jamban sekarang berdiri menjadi sekolah khas yang moden di seluruh negara.

Pelajar Pekak termasuk OKU yang lain diberikan RM 150 sebulan sebagai bantuan pelajaran atau wang poket tanpa mengira darjat di peringkat sekolah rendah hingga menengah. 

Teringat masa saya sekolah dulu, minta 20 sen dari emak pun susah untuk membeli nasi lemak yang di lipat daun pisang sebagai bekal ke sekolah. 

Di IPT sekarang membuka peluang seluas-luasnya kepada pelajar OKU termasuk laluan khas untuk mereka yang di kira layak. Yuran pengajian ada yang percuma, di IPTS memberikan potongan 50% atau 75% yuran untuk OKU. Untuk mereka yang menuntut di IPT yang di iktirafkan oleh kerajaan di berikan RM 300 sebagai wang saku.

Bertambah syahadu mengingatkan zaman yang lalu, yang mana saya sendiri tak dapat peluang itu. 

Manakala peluang pekerjaan untuk orang Pekak, tiada perkataan diskriminasi dalam kamus, peluang pekerjaan ada di mana-mana. Anda boleh bekerja? Anda ada kelayakan? Dipersilakan. Sektor pekerjaan berebut menjadi juara kuota 1:100 dan ada yang sanggup menunggu pelajar Pekak sekolah menengah di luar pintu pagar sekolah untuk mengambil mereka bekerja.

Bagi menggalakkan orang kita dan golongan OKU yang lain bekerja serta hidup berdikari, kerajaan menwujudkan EPC sebanyak RM 300 sebulan dianugerahkan kepada pekerja OKU yang bergaji RM 1,200 ke bawah.

Hebatkan? Banyaknya duit kerajaan BN sampai tak tahu bagaimana nak gunakan duit itu. Nak kata itu akan membantu kita tetapi bantuan itu juga boleh melemakkan kita dan membuat ibubapa yang mempunyai anak OKU lepaskan tanggungjawab mereka. Juga takut nanti orang Pekak tak mahu belajar sampai pandai2 sebab kerja ada, duit ada.

Namun di sebalik itu, ramai yang tak tahu bahawa MFD dan orang Pekak masih memukul gendang perang, berjuang menuntut UBAH. Maaf bukan UBAH versi PR tapi UBAH versi MFD.   

Apakah UBAH yang kita perlukan? Jawapannya ialah pendidikan. Tagore pernah berkata "untuk membangunkan negara berikan rakyat pendidikan." Orang Pekak juga rakyat Malaysia dan mempunyai tanggungjawab membangunkan negara bersama orang lain. Untuk membangunkan negara perlukan kepakaran dan orang pekak perlukan di bimbing untuk menguasai kepakaran dalam semua bidang. Oleh itu  satu sistem pendidikan yang sempurna yang bersesuaian dengan budaya mereka adalah diperlukan bagi membimbing mereka menguasai kepakaran tersebut.

Sejak Tun Mahathir meluluskan transformasi pendidikan menggantikan oralisma kepada Komunikasi Menyeluruh dan BMKT sebagai kaedah penyampaian P&P 3 abad yang lalu, geraf kejayaan akademik pendidikan orang Pekak adalah masih mendatar dan adakalanya menurun. Orang Pekak yang berjaya memasuki Universiti hanya boleh di bilang jari berbanding dengan OKU yang lain.

Oleh itu sebagai rakyat di negara demokrasi ini, orang Pekak juga menjerit. Jeritan UBAH dah lama berlaku bukan bermula penubuhan JPK atau BPK tapi sejak zaman Bahagian Sekolah-sekolah dibawah Puan Hajjah Wan Khaltom... Suara kita belum serak, suara kita belum berhenti. 

Kita mahu Bahasa Isyarat Malaysia yang telah di iktirafkan sebagai bahasa rasmi dalam Akta OKU 2008 serta disokong dengan kukuhnya dalam UNCRPD, UNESCO Salamanca Framework of Action, BMF, dan banyak lagi dokumen antarabangsa diguna pakai dalam sistem pendidikan kita.
Kita mahu guru mempunyai sijil kelayakan dalam kemahiran bahasa isyarat yang diktirafkan sebelum di tempatkan di sekolah pekak, kita mahukan jurubahasa isyarat di program intergrasi dan insklusif, kita mahu guru pembantu yang terdiri daripada orang pekak sendiri dan bukannya Pembantu Pengurusan Murid, kita mahu guru besar, pengetua dan HEM mempunyai kemahiran bahasa isyarat bagi memotivasikan pelajar pekak dan bukannya bergantung kepada guru bawahan yang tidak ketahui tahap kemahirannya yang akan menjatuhkan hukuman serta tempat pelajar pekak mengadu.

Permohonan kita tidak terlalu beratkan, berbanding dengan elaun yang di berikan kepada orang Pekak kita. Sekiranya 20,000 orang pekak menerima EPC RM 300 setahun itu sudah berjumlah RM 72 juta.

Lebih baik kita gunakan separuh peruntukan itu untuk latihan guru supaya mahir dalam BIM, penubuhan perkhidmatan jurubahasa isyarat, perjawatan pembantu guru di sekolah pekak.

Hasilnya dalam jangka masa panjang orang Pekak tidak terlalu bergantung kepada EPC, mereka akan berjaya dalam akademik dan punyai paper qualification bagi menjawat kerja yang baik di pelbagai sektor lagipun dasar pekerjaan kita tiada diskriminasi.

Oleh itulah kami menjerit UBAH, ubahkan cara pemikiran pembuat polisi, ubahkan pemikiran takuk lama, ubahkan perpepsi anda terhadap kami yang hanya layak goreng ayam kepada manusia yang berguna.... ubah... jom berubah... ini kalilah... 


No comments: