12 March 2012

Soalan ke Parlimen


Saya telah di minta memberikan point penting untuk pembentangan soalan ke sesi parlimen yang terbaru ini dan saya menyiapkannya seperti di bawah ini  (semoga mendapat perhatian dan tindakan):

1. Pendidikan

Mengikut laporan terbaru Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA 2010), bahagian Meningkatkan Pencapaian Pelajar cuma melaporkan isu pelajar bermasalah pembelajaran tetapi tiada laporan mengenai Pelajar Kurang Upaya Pendengaran (PKU).

PKU menggunakan bahasa non verbal dalam P&P kerana mereka tidak dapat mendengar dan Bahasa Isyarat Malaysia telah dijadikan bahasa rasmi orang Pekak dalam Akta 685 (Akta Orang Kurang Upaya 2008)

Bagaimanakah pendirian Kementerian Pelajaran terhadap Bahasa Isyarat Malaysia sekiranya digunakan di sekolah-sekolah?

Adakah guru-guru yang bertugas di sekolah Pekak mendapat latihan kemahiran penguasaan bahasa isyarat yang diiktiraf daripada mana-mana IPTA sebelum dihantar bertugas ke sekolah Pekak?

Laporan keberkesanan Program LINUS (Literasi dan Numerasi) untuk PKU tidak di laporkan tetapi laporan peperiksaan awam calon PKU di peringkat UPSR adalah tidak memuaskan.

2. Komunikasi

Di dalam Akta 685 (Akta Orang Kurang Upaya 2008) No.30, menegaskan keperluan akses tanpa halangan orang kurang upaya kepada maklumat, komunikasi dan teknologi.

Orang pekak ialah kumpulan ‘visual oriented’ dan bergantung kepada TV dan internet untuk mendapatkan maklumat. Namun jika sehari kita duduk di hadapan TV menonton semua rancangan TV tempatan termasuk TV berbayar, majoriti rancangan yang disiarkan tidak dapat di ikuti oleh orang pekak kerana ketiadaan sarikata.

Walaupun RTM melalui Berita Perdana jam 8:00 malam ada menyediakan sisipan bahasa isyarat untuk keperluan orang Pekak tetapi amat menyedihkan kerana gambar tersebut terlalu kecil dan tidak dapat di ikuti sepenuhnya. Pembaca berita bergilir-gilir seramai 3 orang berbanding dengan seorang jurubahasa isyarat dan elaun jurubahasa isyarat tersebut adalah tidak setimpal dengan pembaca berita.

Di Thailand, sisipan bahasa isyarat di sediakan di sepanjang sesi sidang parlimen untuk memberi peluang orang Pekak menilai pemimpin yang mereka pilih.

Seperti keperluan dalam Akta 685, semua rancangan TV di wajibkan mempunyai sarikata atau caption bagi membolehkan semua warganegara termasuk orang pekak mendapat maklumat tanpa diskriminasi. Sarikata atau caption tersebut hendaklah dalam bahasa yang disampaikan (sarikata Bahasa Melayu bagi rancangan berbahasa Melayu dan sarikata English bagi rancangan berbahasa Inggeris).

Dengan cara ini dapat membantu penonton mempertingkatkan tahap literasi mereka melalui pembacaan sarikata dan mendengar. Orang Pekak juga mendapat hak mereka ketika mengikuti rancangan bahasa Melayu yang mempunyai sarikata dalam Bahasa Melayu; kerana orang Pekak bukan mahir dalam berbahasa Inggeris jika disediakan sarikata bahasa Inggeris.

Sebagai contohnya, di Jepun dan China, sarikata rancangan TV mereka adalah dalam bahasa mereka sendiri dan disebabkan itu jumlah rakyat yang suka membaca adalah sangat tinggi.

Berbanding Malaysia, seperti yang diumumkan oleh YB Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, tahap peratusan rakyat Malaysia suka membaca adalah rendah. Oleh itu dengan adanya konsep membaca dan mendengar yang disebutkan secara langsung dapat menanam semangat membaca terutama kepada kanak-kanak.

Kanak-kanak pekak juga akan dapat manfaat dari konsep tersebut dan mengkukuhkan bahasa mereka di peringkat awal melalui menonton dan membaca sarikata rancangan Upin dan Ipin dan pelbagai rancangan kanak-kanak.

Berkaitan dengan komunikasi menggunakan telefon bimbit, orang Pekak juga adalah pelanggan kepada syarikat telco di negara ini. Orang pekak menggunakan sms untuk berkomunikasi dengan kawan, keluarga, majikan dan masyarakat sekeliling. Orang Pekak majoritinya menggunakan 3G dan ‘video call’ untuk berkomunikasi dalam bahasa isyarat bagi komunikasi 2 hala berbanding dengan sms iaitu komunikasi sehala.

Di bawah Akta SKMM, Telco wajib menyediakan perkhidmatan yang adil kepada pelanggannya. Pelanggan Pekak membayar harga yang sama dengan orang lain tetapi tidak mendapatkan hak mereka dan menikmati keistimewaan yang di sediakan iaitu voice mail, call waiting, panggilan murah antarabangsa dan termasuk peraduan ‘Talk Time’.

Orang Pekak juga dinafikan hak untuk membuat panggilan ke talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan termasuk toll free line untuk membeli perkhidmatan. Semasa mereka memandu di lebuh raya, mereka tidak dapat menggunakan telefon kecemasan yang disediakan di tepi lebuhraya untuk mendapatkan bantuan walaupun telah membayar harga tol yang sama dengan pengguna lain.

1 comment:

chris said...

Saya tertarik dengan keluhan daripada En. Sazali dalam blog. Sememangnya hak kebajikan warga pekak masih jauh. Hal ini disebabkan kurangnya kefahaman dan kesedaran tentang golongan ini.
Walaubagaimanapun, golongan ini perlu meneruskan perjuangan dan mengambil peranan dalam memperjuangkan kebajikan warga pekak. Saya percaya golongan pekak menyumbang sehingga 10% penduduk di Malaysia dan mungkin lebih. Saya sebagai warga Malaysia yang prihatin sangat menyokong tanggungjawab terutama kepada golongan OKU masalah pendengaran.

Pada pendapat saya, dalam masyarakat dan pentadbiran di Malaysia, kita masih belum berjaya membuka mata kepada semua masyarakat tentang kehadiran warga pekak. Tidak dinafikan banyak aktiviti yang menjurus kepada kebajikan dalam menjaga hal ehwal golongan pekak tetapi masih kurang keperluan dan kemudahan yang disediakan kepada golongan ini.

Saya merasakan perlunya satu suntikan daripada warga pekak yang mampu membuka pemikiran orang ramai dan menyedarkan mereka bahawa warga pekak juga boleh bersaing dengan individu tipikal tanpa melihat kepada kekurangan yang dialami. Saya ingin mencadangkan sesuatu aktiviti yang bersifat global agar masyarakat dapat melihat usaha dan ketekunan warga pekak dalam bersama-sama membangunkan negara dari segi sosial, politik dan ekonomi. Cabaran dan halangan sangat besar kerana kekurangan yang dihadapi seperti komunikasi merupakan cabaran utama. Saya ingin meyakinkan kekurangan yang dialami merupakan kekuatan yang boleh digunakan untuk memperjuangkan hak warga pekak.

Saya mencadangkan aktiviti kebajikan seperti gotong royong, kempen alam sekitar, derma darah secara berperingkat dan terbuka. seterusnya kepada peringkat antarabangsa iaitu berkerjasama dengan masyarakat negara luar dalam menangani isu-isu global dari segi sosial, ekonomi dan usaha yang boleh dilakukan untuk memperbaiki taraf hidup sosial dan lain-lain.

Sekiranya golongan ini dapat menunjukkan semangat dan ketekunan yang berterusan, maka kesedaran masyarakat akan lebih jelas dan memahami kehadiran warga istimewa ini. Tidak mustahil warga pekak akan mempunyai sekolah dan mungkin akan mendapat tempat dalam kabinet pentadbiran negara.

Walaubagaimanapun, usaha perlu berterusan agar warga pekak dapat menikmati keistimewaan yang diberikan dan sekaligus membantu masyarakat OKU dalam menaiktaraf struktur sosial di Malaysia.

Sekian.

Chris
Sabah