14 February 2012

Whitney Houston

Saya menerima berita kematian Whitney Houston melalui SMS dari teman rapat saya.

Membuka Facebook ada 3 dan 4 orang Pekak kenalan saya menghebahkan kematiannya di dinding Facebook. Saya tidak tahu apa yang menyebab mereka menyukai Whitney kerana sebagai orang Pekak kita tidak dapat mendengar suaranya.

Bagi saya, saya mengenali Whitney pada tahun awal 90an semasa menonton VCD sewa di Costa Mesa, California; video bertajuk Bodyguard lakunan bersama Kevin Costner. Filem terbaik yang pernah saya tontoni kerana ada sisipan closed caption (sarikata) dalam Bahasa Inggeris. Melalui closed caption, saya dapat menghayati filem tersebut termasuk lagunya yang menceritakan seorang artis berkulit hitam terkenal, kaya dan cantik bercinta dengan seorang bodyguard berkulit putih yang miskin.

Saya jatuh cinta melihat cara Whitney membawa lagu, emosi, iras muka, cara dia menarik suara membawa lagu membuatkan perasaan saya 'mendengar' lagu tersebut. Lagu itu hanya satu lagu yang saya mencintanya kerana lirik yang mudah penuh makna, tiada lagu lain yang dapat menambat hati saya.

Tetapi sekarang dia sudah tiada; meninggalkan kenangan .....

Bitter sweet memories
That is all I 'm taking with me
So goodbye, Please do not cry

We both know I'm what you, you need know
and I will always love you......


(Filem Bodyguard)

Lirik lagu tersebut bersesuaian dengan kepergiannya, sebab Allah sudah berjanji dengan kita iaitu Allah akan mengambil nyawa insan yang di ciptanya kembali. Oleh itu jangan lah menangis kepergiannya. Dan kita akan mengingati, merindu dan menyayanginya.

Terima kasih Whitney Houtson yang membuat dunia ini ceria melalui lagu mu...



08 February 2012

Kenduri Kawin Dulu dan Sekarang

Bulan Januari saya telah pergi ke kenduri kawin 2 orang staf saya di Kuala Lumpur dan minggu lepas saya membantu majlis perkahwinan anak buah isteri saya di Sg. Tiang, Kedah.

2 majlis perkahwinan tersebut adalah berbeza kerana di Kuala Lumpur majlis makan di aturkan oleh katering manakala di Sg. Tiang di masak oleh kaum keluarga isteri saya. Majlis di Sg Tiang adalah sungguh memenatkan tetapi berasa amat puas kerana dapat mengeratkan kaum keluarga serta menghidupkan suasana gotong royong. Hidangan makan tengahari di Sg Tiang adalah istimewa kerana tukang masak di import dari Siam, kurma ayam ala Siam, sotong masak ala siam, ikan keli tumis ala siam, termasuk som tam, laksam, bubur labu pemanis mulut. Tak payah ke Siam jauh-jauh nak makan sedap-sedap.

Teringat semasa saya tinggal di Batu 10 Lekir dulu. Apabila ada majlis kawin kita akan beramai-ramai bergotong royong membantu tuan rumah. Sehari sebelum bersanding, 2 atau 3 batang pokok nyior atau pokok kelapa terlebih dahulu akan tumbang untuk dibuat kaki meja dan bangku makan. Papan di letak atas batang nyior tersebut dan di jadikan meja dan bangku. Kita tak gunakan khemah kanvas tetapi menggunakan buluh dan beratap nipah.

Batang nyior yang lebih di susun 4 segi sudut dan di tutup kain plastik di jadikan sinki untuk membasuh pinggan mangkuk. Batang anak pisang di campur serbuk pencuci bagi membersihkan pinggan mangkuk dari minyak.

Tempat makan lelaki dan perempuan adalah berbeza, orang lelaki makan di khemah yang ada meja dan bangku dan orang perempuan duduk bersimpuh di khemah atas tanah menggunakan tikar. Dinding khemah di buat dari daun kelapa yang tumbang tadi bagi mengelakkan orang bujang mengorat atau main mata dengan anak dara. Umbut kelapa yang manis di buat sayur masak lemak dengan udang kering.

Kenduri kawin di kampong biasanya tumbang seekor lembu ikut kemampuan keluarga. Subuh dah di sembelih lembu itu, tulang dan isi perut di buat sup untuk sarapan orang yang buat kerja menyiapkan masakan. Biasanya daging lembu di masak kari, rasa pedas apabila di makan campur umbut kelapa yang manis dengan sambal belacan masih teringat sampai hari ini.

Kita orang dulu-dulu lebih pandai berjimat. Satu barang pelbagai guna macam pokok kelapa sebatang tadi.  Orang kampung juga mempunyai semangat kerja sama dan tolong menolong, ada yang menyumbang beras, gula, garam dan juga kayu api. 

Saya juga menyumbang tenaga menghidang makanan, basuh pinggan dan apa kerja yang boleh di buat. Mana tahu dapat tengok anak dara yang manis tapi saham saya tak naik sebab saya budak Pekak seorang di kampong itu.

Malam sebelum bersanding ada buat kenduri bubur kacang dan bermarhaban. Saya suka mengikuti marhaban menggunakan kompang, seronok tengok pemain kompang merah padam muka serta nampak urat leher apabila menarik suara terlebih-lebih lagi apabila ada anak dara manis di dalam bilik. Kekadang saya curi-curi pukul kompang apabila pemain keletihan, selalunya kena tegur sebab pukulan sumbang. Apa boleh buat, aku ni Pekak kan?

Untuk jemput tetamu ada yang tak guna kad jemputan, memandai naik basikal dari rumah ke rumah menjemput secara mulut. Ini lagi rapat dan mesra. Ada  rumah orang kawin menjemput kugiran dari Sg. Tiram atau The Zurah dari Ipoh atau Senandung Irama dari Batu 8 sebagai tarikan. Seronok tengok penyanyi terkenal seperti Datuk Daud Kilau yang punyai pertalian darah dengan orang Sg. Tiram dan juga M Shariff yang terkenal dengan irama pop yeh yeh. Malam itu biasa tak ada jamuan makan, cukup dengan hiburan sahaja dan satu kampung akan berduyun datang menyaksikannya.

Sekarang semua itu hanya tinggal kenangan.

02 February 2012

Memperkasakan Orang Pekak Melalui ICT

Orang Pekak adalah tidak ketertinggalan dalam pembangunan dan perubahan masa. 

Saya masih ingat, 20 tahun dulu saya mengenali ramai kawan Pekak yang tidak mampu memiliki gadget ICT  kerana ianya adalah satu 'kemewahan' dan hanya untuk orang yang pandai menulis dan membaca sahaja; mereka phobia kepada ICT tetapi sekarang adalah lain.

Rata-rata kawan Pekak lama yang saja jumpa akan meminta no telefon bimbit saya bagi meneruskan perhubungan komunikasi dan meminta add Facebook, ada juga meminta ID YM, MSN, ooVoo, skype atau Camfrog. Ada juga yang meminta alamat BBM, mencadang saya menggunakan WhatsApp dan sebagainya.

Mereka mempunyai telefon bimbit terkini seperti Samsung Galaxy Tab, Note, SII, iPhone, iPad, BlackBerry dan sebagainya.

Sahlah mereka telah mempunyai kehidupan yang baik kerana mampu untuk berFacebook dan menjadi pembayar cukai serta menyumbangkan kepada kekayaan telcos (syarikat telekomunikasi) di negara kita.

Penubuhan PUSKOM di seluruh negara oleh MFD juga membantu membimbing orang Pekak dari luarbandar mempelajari ICT. Tanpa mengira umur mereka tidak berasa malu untuk mempelajari cara melayari internet, membuka akaun Facebook kerana mereka teruja melihat anak mereka dan rakan mereka juga yang mempunyai akaun Facebook.

Facebook membantu orang Pekak dalam literasi kerana untuk berFacebook orang Pekak mesti membaca, menulis arahan. Setiap hari membuka Facebook, mereka berpeluang mengenal perkataan baru dan menaip perkataan baru di Wall atau Inbox atau Message. Dari itu membawa kepada peningkatan literasi di kalangan orang Pekak.

Terima kasih ICT. Terima kasih Facebook.


01 February 2012

Memperkasakan NGO Pekak

Persatuan Orang Pekak negeri merupakan tulang belakang MFD. Mereka memainkan peranan penting menghidupkan MFD. Tanpa mereka MFD tidak wujud kerana mengikut peraturan ROS sekurang-kurangnya gabungan 7 buah persatuan peringkat negeri boleh menubuhkan sebuah organisasi peringkat kebangsaan.

Apabila mereka bergabung dengan MFD mereka bersama-sama melaksanakan matlamat telah di persetujui oleh semua ahli gabungan di mesyuarat MFD. MFD memainkan peranan untuk membantu dan membimbing ahli gabungan dalam mencapai matlamat yang di tetapkan.

Namun MFD tidak boleh masuk campur dengan pengurusan pentadbiran ahli gabungannya, selalunya keputusan di buat oleh persatuan tersebut MFD akan menghormatinya dan tidak memaksa mereka menukar fikiran.

Kemajuan MFD di agihkan secara sama rata kepada ahli gabungan melalui projek yang diluluskan oleh kerajaan Malaysia iaitu jurubahasa isyarat, PUSKOM, BIM dan sebagainya. Melalui projek tersebut telah membantu ahli gabungan MFD mempertingkatkan kualiti pengurusan persatuan masing-masih malahan berlumba-lumba membuktikan mereka terbaik. 

Transformasi tersebut telah membuka mata orang pekak dan mereka mulai memahami hak mereka. Pada tahun 2011 terdapatnya perubahan kepimpinan di persatuan peringkat negeri kerana orang Pekak mulai menyedari maruah, kepentingan dan hak mereka.

Namun usaha ini tidak di terima oleh mereka yang lama 'memerintah' persatuan, paling menyedihkan pelbagai usaha telah di buat untuk mengembalikan mereka untuk 'memerintah' persatuan. Mereka telah membuat pelbagai tuntutan termasuk mengada AGM semula, melapor kepada ROS akan 'salahlaku' EXCO dan termasuk kepada SPRM.

Perbuatan tersebut bukannya budaya orang pekak yang suka bermaafan serta melupakan perkara yang lalu. Orang pekak sememangnya tidak bagitu mengambil hati walau pun di sakiti oleh orang lain tetapi jangan di sangka air tenang tiada buaya. Walaubagaimana pun perbuatan yang tidak wajar tersebut telah memberikan pengajaran serta ilmu yang baru kepada orang pekak bahawa mereka juga boleh berbuat demikian pada masa akan datang.

Kebetulan sebelum itu persatuan gabungan ada memohon kepada MFD untuk membimbing mereka dalam pentadbiran persatuan. MFD  membantu membuat filing system yang teratur, membimbing membuat minit mesyuarat serta laporan dan membuat laporan kewangan mengikut prinsip akaun yang MFD pelajari dari firma akaun tersohor KPMG.

MFD terkejut dan keciwa kerana orang yang lama 'memerintah' tersebut tidak banyak membantu membimbing persatuan dalam pengurusan pentadbiran organisasi dan sebagai buktinya telah meninggalkan  kelemahan dalam banyak perkara.

Hasilnya, laporan yang kemas tersebut telah banyak membantu persatuan menjawab soal siasat dari ROS dan SPRM.

Di takdir MFD akan berterusan memikul tanggungjawab dan amanah untuk memperkasakan persatuan negeri  kerana tanpa mereka MFD akan terus hidup.