11 January 2011

Menaruh Harapan 2

Anak lelaki saya yang ke 5, Iskandar Mohamad Sazali di takdirkan Pekak. Sekarang umurnya memasuki 9 tahun dan bersekolah di sekolah arus perdana, bukannya sekolah khas.

Saya amat bersyukur kerana di kurniakan anak Pekak kerana saya dan isteri saya juga Pekak. Iskandar adalah anugerah tuhan seperti kakak, abang dan adiknya dan adalah tanggungjawab saya untuk membimbing serta memberikan kehidupan yang baik. Saya tidak terpengaruh dengan me'normal'kan Iskandar dengan kaedah pertuturan atau juga pencacar koklear.  

Juga kerana sebagai pemimpin orang Pekak yang memperjuangkan taraf hidup dan Bahasa Isyarat Malaysia yang telah diiktirafkan sebagai bahasa rasmi negara ini, saya tidak perlu hipokrit dalam membentuk masa hadapan  anak saya.

Iskandar petah berkomunikasi dalam menggunakan BIM, dia mampu berkomunikasi dengan orang Pekak lain tanpa rasa segan atau malu. Ini adalah kerana di rumah saya menekankan supaya Iskandar tidak ketinggalan dalam komunikasi seharian bersama keluarga. BIM menjadi bahasa pertama bagi Iskandar. 

Cabaran Iskandar ialah menguasai bahasa ke dua dan ketiga iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris yang menjadi syarat wajib dalam pendidikan arus perdana.

Proses untuk menguasai bahasa itu adalah sukar dan perlahan serta mengelirukan kerana kedua bahasa tersebut berkaitan dengan pertuturan dan bunyi. Iskandar tidak dapat mendengar dan menyebut bunyi bahasa pertuturan tersebut dengan lancar dan membuatnya tertekan untuk menghafal ejaan.

Juga setiap patah perkataan perlu di diterangkan maksud, memberikan gambaran yang jelas dan mengulangkannya dengan kerap supaya tidak terkeliru. Tahap penguasaan bahasa pertuturan bagi Iskandar adalah tidak memuaskan tapi tidak bermakna gagal serta menduduki tempat tercorot dalam semua kelas.

Ada guru di sekolah terkeciwa dengan masalah Iskandar dan mencadangkan Iskandar bersekolah khas bagi mendapatkan pendidikan yang sempurna. Jawapan saya tidak. Bukan saya tidak mempercayai sekolah khas kerana saya sendiri ialah seorang pejuang untuk pendidikan anak Pekak. 

Saya mempunyai sebab tersendiri, saya mahu Iskandar menguasai 2 bahasa wajib dalam pendidikan arus perdana tersebut.  Sekolah khas, majoriti pelajar ialah dari ibubapa 'normal' dan tiada asas bahasa isyarat; berbanding dengan Iskandar yang sudah mempunyai asas isyarat yang kukuh, dan hal tersebut menyebabkan guru khas terpaksa berusaha untuk membimbing murid Pekak menguasai isyarat dan bahasa pertuturan. Implikasinya ialah saya takut Iskandar akan menjadi bosan atau terpengaruh eleman negatif oleh suasana yang perlahan.

Kita sedia maklum mengikut peraturan, sekolah arus perdana menwajibkan menghabiskan kurikulum mata pelajaran tetapi di sekolah khas adalah flexible kerana mengikut kemampuan murid.

Apakah murid Pekak kita tidak mampu mengikut pendidikan arus perdana? Apakah puncanya mereka tidak mampu? 

Sebagai bapa yang telah membentuk zuriat sehingga lahirnya Iskandar, saya juga mempunyai impian untuk melihat Iskandar berjaya serta mempunyai masa depan yang baik, dan  saya juga merasakan ketakutan kerana saban tahun melihat keputusan murung pelajar khas.

Di Malaysia, pemimpin kita sibuk dengan NKRA, KPI, ETP, Transformasi Pendidikan, slogan ke arah rakyat berpendapatan tinggi dan sebagainya tetapi kami masih mengharap Iskandar dan mereka yang seperti Iskandar mendapat perhatian. 

Janganlah memusnahkan hidup Iskandar dan mereka yang seperti Iskandar dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya; dan mencipta idea baru yang keluar dari keintelegen manusia yang sedia berakal demi kepentingan diri sendiri.

Saya hantar Iskandar ke sekolah arus perdana tetapi guru tak tahu berisyarat, hendak hantar ke sekolah khas juga ada guru tak mahir berisyarat. Yang ruginya ialah Iskandar.

Saya masih menaruh harapan.

2 comments:

anakmami said...

Salam Datuk Sazali,

Bagus 2, Datuk pakai
slogan Orang Pekak Boleh

Teh's said...

Saya berasa hairan kenapa saudara Sazali yang selama ini memperjuangkan BIM sebagai bahasa ibunda orang pekak telah menghantar anaknya ke sekolah aliran perdana. Bukankah dalam falsafah perjuangan Sazali, orang pekak harus menguasai bahasa ibunda supaya dapat membantu mempelajari bahasa kedua (BM) dan bahasa ketiga (BI). Ini samalah keadaannya dengan seorang kanak-kanak Cina yang bertutur dalam bahasa ibunda (BC), menggunakan bahasa ibundanya untuk mempelajari BM dan BI di SRJK (C)di Tahun 1 dan Tahun 2. Menurut saudara Sazali, anaknya telah mahir dalam BIM. Walau bagaimanapun, anaknya itu telah dihantar ke sekolah aliran perdana di mana tiada sesiapa juga dapat menggunakan bahasa ibunda kanak-kanak pekak itu untuk berkomunikasi dengannya.Kesannya jelas. Kanak-kanak pekak itu telah menghadapi masalah dan guru-gurunya juga "terkecewa". Saya ingin menasihati saudara Sazali jika masih yakin bahawa BIM/Bahasa Isyarat dapat membantu kanak-kanak pekak belajar, letakkanlah anaknya di persekitaran yang tiada halangan komunikasi. Sekolah khas nampaknya pilihan yang lebih sesuai. Mungkin guru-guru di sekolah khas tidak petah berbahasa isyarat, sekurang-kurangnya komunikasi berkesan dapat wujud. Ilmu juga dapat disampaikan dengan bantuan bahasa isyarat.

Atau sebenarnya, saudara Sazali sendiri seperti kebanyakan ibu bapa yang takut akan penggunaan bahasa isyarat di sekolah boleh menyebabkan anak pekaknya tidak dapat menguasai bahasa pertuturan (BM dan BI), kalau begini, teruslah kekal di sekolah aliran perdana dan biar kanak-kanak pekak itu belajar bertutur (kaedah lisan)???????

(Harap Saudara Sazali berfikir panjang tentang komen saya ini dan buat keputusan yang bijak.)