11 January 2011

Menaruh Harapan 2

Anak lelaki saya yang ke 5, Iskandar Mohamad Sazali di takdirkan Pekak. Sekarang umurnya memasuki 9 tahun dan bersekolah di sekolah arus perdana, bukannya sekolah khas.

Saya amat bersyukur kerana di kurniakan anak Pekak kerana saya dan isteri saya juga Pekak. Iskandar adalah anugerah tuhan seperti kakak, abang dan adiknya dan adalah tanggungjawab saya untuk membimbing serta memberikan kehidupan yang baik. Saya tidak terpengaruh dengan me'normal'kan Iskandar dengan kaedah pertuturan atau juga pencacar koklear.  

Juga kerana sebagai pemimpin orang Pekak yang memperjuangkan taraf hidup dan Bahasa Isyarat Malaysia yang telah diiktirafkan sebagai bahasa rasmi negara ini, saya tidak perlu hipokrit dalam membentuk masa hadapan  anak saya.

Iskandar petah berkomunikasi dalam menggunakan BIM, dia mampu berkomunikasi dengan orang Pekak lain tanpa rasa segan atau malu. Ini adalah kerana di rumah saya menekankan supaya Iskandar tidak ketinggalan dalam komunikasi seharian bersama keluarga. BIM menjadi bahasa pertama bagi Iskandar. 

Cabaran Iskandar ialah menguasai bahasa ke dua dan ketiga iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris yang menjadi syarat wajib dalam pendidikan arus perdana.

Proses untuk menguasai bahasa itu adalah sukar dan perlahan serta mengelirukan kerana kedua bahasa tersebut berkaitan dengan pertuturan dan bunyi. Iskandar tidak dapat mendengar dan menyebut bunyi bahasa pertuturan tersebut dengan lancar dan membuatnya tertekan untuk menghafal ejaan.

Juga setiap patah perkataan perlu di diterangkan maksud, memberikan gambaran yang jelas dan mengulangkannya dengan kerap supaya tidak terkeliru. Tahap penguasaan bahasa pertuturan bagi Iskandar adalah tidak memuaskan tapi tidak bermakna gagal serta menduduki tempat tercorot dalam semua kelas.

Ada guru di sekolah terkeciwa dengan masalah Iskandar dan mencadangkan Iskandar bersekolah khas bagi mendapatkan pendidikan yang sempurna. Jawapan saya tidak. Bukan saya tidak mempercayai sekolah khas kerana saya sendiri ialah seorang pejuang untuk pendidikan anak Pekak. 

Saya mempunyai sebab tersendiri, saya mahu Iskandar menguasai 2 bahasa wajib dalam pendidikan arus perdana tersebut.  Sekolah khas, majoriti pelajar ialah dari ibubapa 'normal' dan tiada asas bahasa isyarat; berbanding dengan Iskandar yang sudah mempunyai asas isyarat yang kukuh, dan hal tersebut menyebabkan guru khas terpaksa berusaha untuk membimbing murid Pekak menguasai isyarat dan bahasa pertuturan. Implikasinya ialah saya takut Iskandar akan menjadi bosan atau terpengaruh eleman negatif oleh suasana yang perlahan.

Kita sedia maklum mengikut peraturan, sekolah arus perdana menwajibkan menghabiskan kurikulum mata pelajaran tetapi di sekolah khas adalah flexible kerana mengikut kemampuan murid.

Apakah murid Pekak kita tidak mampu mengikut pendidikan arus perdana? Apakah puncanya mereka tidak mampu? 

Sebagai bapa yang telah membentuk zuriat sehingga lahirnya Iskandar, saya juga mempunyai impian untuk melihat Iskandar berjaya serta mempunyai masa depan yang baik, dan  saya juga merasakan ketakutan kerana saban tahun melihat keputusan murung pelajar khas.

Di Malaysia, pemimpin kita sibuk dengan NKRA, KPI, ETP, Transformasi Pendidikan, slogan ke arah rakyat berpendapatan tinggi dan sebagainya tetapi kami masih mengharap Iskandar dan mereka yang seperti Iskandar mendapat perhatian. 

Janganlah memusnahkan hidup Iskandar dan mereka yang seperti Iskandar dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya; dan mencipta idea baru yang keluar dari keintelegen manusia yang sedia berakal demi kepentingan diri sendiri.

Saya hantar Iskandar ke sekolah arus perdana tetapi guru tak tahu berisyarat, hendak hantar ke sekolah khas juga ada guru tak mahir berisyarat. Yang ruginya ialah Iskandar.

Saya masih menaruh harapan.

04 January 2011

Menaruh Harapan : Memartabatkan Pendidikan Pelajar Pekak


Di Mingguan Malaysia semalam 2hb Januari 2011 telah menyiarkan sebuah rencana bertajuk Penuhi keperluan guru, murid (KLIK DI SINI) iaitu temubual dengan YAB Tan Sri Menteri Pendidikan. Apa yang di ungkapkan oleh Tan Sri Menteri Pendidikan dan juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia adalah tepat dan amat dipersetujui.

Diantara kenyataan beliau ialah : Kita masih menumpukan kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kerajaan. Saya bertanggungjawab untuk memastikan sasaran yang ditetapkan 2011 baik dalam bidang pra sekolah, literasi dan numerasi, sekolah berprestasi tinggi dan bai'ah atau tawaran ganjaran kepada pengetua dan guru besar. Perkara ini harap dapat dimulakan pada tahun ini di mana kita di peringkat akhir menilai prestasi pengetua dan guru besar sebelum dapat memberi ganjaran kepada mereka.

Kata-kata beliau menunjukkan keseriusannya bagi mengota janji kerajaan Barisan Nasional untuk membantu usaha ke arah pencapaian matlamat YAB Perdana Menteri iaitu membawa rakyat ke arah berpendapat tinggi. Adalah tidak dinafikan, untuk menjadi rakyat yang berpendapatan tinggi seseorang itu memerlukan kelulusan akademik dan juga menguasai bidang tertentu.

Pada masa ini, apakah orang Pekak mampu bersaing untuk menjadi rakyat berpendapatan tinggi serta menjadi pembayar cukai? Setiap tahun pelajar Pekak menduduki peperiksaan awam sama seperti pelajar lain dan kita sudah tahu apakah keputusan pelajar Pekak yang dapat. Majoriti adalah tidak memuaskan seperti yang dilaporkan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Khas di satu mesyuarat yang terbaru. Apakah laporan keputusan akademik orang Pekak tersebut tidak di masukkan dalam KPI yang ditetapkan oleh kerajaan? Tidak, mereka juga rakyat Malaysia dan mempunyai hak yang sama dengan semua orang.

Oleh itu jika pelajar Pekak gagal, secara keseluruhannya YAB Menteri Pelajaran dan juga Timbalan Perdana Menteri bertanggungjawab dengan kegagalan tersebut. Hal ini perlu di hayati oleh semua orang akademik/pendidik apa yang dinyatakan oleh YAB Menteri kita.

YAB TPM merangkap Menteri Pelajara juga menegaskan : Ada beberapa yang akan saya tumpukan. Yang pertama kualiti perguruan, itu saya sentiasa tekankan. Maknanya guru bukan saja mesti berdedikasi tetapi mereka mesti mampu menyampaikan ilmu kepada pelajar dengan cara inovatif dan kreatif - satu aspek baru yang ditekankan dalam pelan strategik kita.

Saya amat menyokong penuh dengan tumpuan beliau. MFD sedia bekerjasama untuk membantu guru bagi mempertingkatkan kualiti. Untuk mengajar orang Pekak perlu mempunyai kemahiran dan pengetahun dalam bahasa orang Pekak iaitu Bahasa Isyarat Malaysia (BIM). Bahagian Kementerian Pelajaran iaitu Bahagian Pendidikan Khas sudah menyatakan secara rasmi menerima BIM dalam P&P melalui mesyuarat-mesyuarat sebelumnya yang dipengerusikan oleh YB Ketua Pengarah serta mengarahkan membuat kerjasama dengan MFD.

Untuk makluman modul subjek Bahasa Isyarat Malaysia yang dibangunkan oleh MFD sebagai subjek utama dalam Diploma Jurubahasa Isyarat dengan kerjasama IUCTT telah mendapat pengiktirafan oleh MQA. Oleh itu, guru-guru yang berkhidmat dan bakal guru yang ingin berkhidmat di sekolah Pekak dicadangkan mengambil kursus BIM tersebut terlebih dahulu. Kefahaman mengenai orang Pekak dan kemahiran berbahasa isyarat akan membantu guru menyampaikan ilmu kepada pelajar Pekak kita seperti di harap oleh YAB Menteri Pelajaran kita.

Kita masih menaruh harapan tanpa membakar jambatan.