Hari Ahad yang lepas, jiran sebelah rumah saya menghantar juadah berbuka puasa, sup tulang yang enak serta aroma yang harum. Saya memohon maaf kerana tidak dapat bertukar hantaran kerana dapor kami kekadang sahaja berasap sejak isteri saya di timpa kemalangan dan jiran saya memahami situasi kami.
Teringat masa dulu-dulu, bulan puasa di zaman kanak-kanak. Emak walau pun dalam kesibukan tugas kerana menerima panggilan untuk menyambut bayi yang tidak kira masa; akan menyediakan juadah berpuasa untuk kami sekeluarga. Selalunya saya yang mencadang apa yang hendak di makan tetapi emak selalu mengingatkan kalau saya puasa penuh baru lah dia boleh sediakan. Kata-kata emak menjadi motivasi untuk saya.
Emak ambil Chu (allahyarham)adik bongsu emak menjaga saya, selalunya Chu akan memasak apabila emak tak ada di rumah.
Apabila siap di masak saya akan meminta sedikit untuk bertukar juadah dengan Pak Basiron sebelah rumah atau Haji Yassin depan rumah.
Rumah jiran kami berdekatan, setiap kali memasak kita akan boleh menghidu aroma masakan masing-masing dan juga mendengar bunyi ikan di goreng dan periuk belangga berhantukan. Hubungan kita amat rapat. Kalau tak cukup garam , gula, kunyit atau beras kita boleh pinjam meminjam.
Apabila dapat tahu sebuah rumah memasak juadah yang harum baunya, saya akan mencari apa saja juadah yang telah dimasak di rumah untuk bertukar. Masa itu anak Tok Bidan punya hal siapa boleh tolak.
Kampung kita belum masuk api, nak minum sejuk kena beli ais batu di Kg. Koh iaitu 8 batu dari kampung kami. Kilang ais itu kepunyaan taukeh Cina yang terletak di sebelah pasar Kg. Koh.
4 - 5 orang kawan saya akan menjadi 'usahawan air batu', mereka akan berbasikal ke kilang ais pada petang. Tidak terlalu awal sebab nanti ais akan cair atau tidak terlalu lewat sebab ais batu akan habis. Saya akan membantu Salleh anak Pak Basiron menjual ais batu.
Ais batu itu akan di potong mengikut saiz. Harga ais batu kecil seketul sekupang dan besar dua kupang. Orang kampung saya kata dua kupang bermaksud 20 sen. Ais batu di balut dengan habuk kayu dan kertas surat khabar. Mesti bungkus elok-elok dan habuk kayu itu juga hendaklah tebal sebab pembeli datang dari jauh Batu 9 hingga Batu 11 dan Sg. Tiram; kalau tidak cair cepat dan sampai rumah jadi kecik. Balutan ais itu akan di ikat dengan tali daun pisang yang sudah di keringkan.
Nak potong ais batu mesti ada skill, kalau tidak tak elok dan tak standard besarnya. Saya selalu harap tersalah potong supaya saya dapat yang besar sikit. Yang kecik-kecik juga saya kutip dan dikumpul jadi banyak.
Bila hujan ais susah nak laku, masa dulu bila hujan di kampung yang di keliling hutan memang sejuk mengiggil.
Dulu tak ramai orang kampung ada jam atau radio. Untuk mengumumkan waktu buka puasa, siak masjid akan pukul kerontong (kerantung), tak ada orang berbuka di masjid dn siak akan balik berbuka dengan keluarga. Masuk isyak baru dia kembali ke masjid dan orang kampung bertarawih.
Biasanya selepas buka puasa saya ke masjid bukan nak sembahyang tetapi memukul kerontong bersama rakan sebaya. Kita buat berbagai bunyian sehingga isyak, orang kampung tak marah.
Sekarang semua itu tinggal kenangan.
No comments:
Post a Comment