Saya telah hadir ke Mesyuarat Agung Dwi Tahunan KLSD ke 14 pada 18 Julai 2010 bertempat di LPPKN Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Mesyuarat Agung tersebut sepatutnya di rasmikan oleh VVIP tetapi telah memaklumkan tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain. Oleh itu saya telah diberikan penghormatan untuk merasmikannya.
Dalam ucapan, saya mememberitahu para hadirin bahawa ada sebab disebalik mengapa VVIP yang dijemput tidak hadir merasmikan iaitu mungkin beliau tahu KLSD bergerak maju tanpa masalah dan memberikan kepercayaan kepada KLSD untuk meneruskan perjuangannya. Jika KLSD menghadapi masalah, mungkin VVIP tersebut akan hadir menegur dan memberikan nasihat kepada KLSD.
KLSD telah berusia 23 tahun dan terus gagah memberikan perkhidmatan kepada orang Pekak di sekitar Lembah Kelang. KLSD juga telah bertukar Presiden 4 kali dan tidak menghadapi masalah dalam kepupusan pemimpin pelapis.
Encik Aqlam Jafri, Presiden KLSD kini telah berjaya melahirkan pemimpin pelapis dengan menubuhkan Unit Sukan, KOPIKL (Kelab Orang Pekak Islam KL), Pasukan Kompang KLSD, Kelab Wanita dan Unit Rekreasi. Dengan cara tersebut membuka peluang kepada orang Pekak untuk menceburi diri dalam dunia kepimpinan dan menanam minat mereka kepada berpersatuan.
Kejayaan KLSD adalah berkaitan dengan kejujuran dan gerak kerja berpasukan EXCO KLSD yang diamanahkan untuk mempertingkatkan taraf hidup orang Pekak. Mereka memegang jawatan dalam KLSD melalui pemerhatian saya bukannya untuk mendapat nama dan mengambil kesempatan.
Sebelum Mesyuarat Agung, setiap malam selama seminggu para EXCO KLSD telah mengorbankan masa selepas kerja untuk membuat persediaan di pejabat KLSD, ini adalah satu contoh yang baik kerjasama satu pasukan. Manakala di bilik sebelah, pasukan Kompang KLSD giat berlatih untuk memberikan persembahan di majlis perasmian tersebut.
Mesyuarat Agung KLSD telah berjalan dengan lancar dan tidak ada perkara yang buruk berlaku; berbandingkan mesyuarat orang ‘normal’ terdapatnya kerusi melayang dan timbul kekecohan sehingga memaksa pihak polis campurtangan untuk mententeramkan keadaan.
Walaupun minit dan laporan KLSD tidak memuaskan tetapi tetap mengikut peraturan ROS, ianya patut menjadi tauladan kepada persatuan kebangsaan sukan orang Pekak di negara ini yang bermesyuarat agung tanpa laporan tahunan dan laporan kewangan.
Semasa pembentangan Laporan Kewangan KLSD, satu perdebatan ilmu juga telah berlaku. Ianya berkaitan dengan teknikal dan konsep audit yang tidak difahami oleh ahli dan juga EXCO. Oleh itu dicadangkan menjemput pihak auditor KLSD hadir ke mesyuarat agung akan datang bagi membantu menjelaskannya.
Encik Aqlam Jafri sekali lagi telah menang tanpa bertanding sebagai Presiden dan perjalanan mengundi adalah lancar dan sempurna tanpa peristiwa tarik diri yang berlaku di sebuah persatuan di utara.
KLSD membuat percaturan yang bijak bagi mengelakkan peristiwa tarik diri yang membuang masa. Caranya ialah, KLSD menghubung individu yang di calonkan untuk bertanding dan meminta individu tersebut memberikan jawapan rasmi jika mahu bertanding. Lepas itu nama dan gambar calon yang sah bertanding akan di cetak dalam kertas undi dan di pangkah semasa Mesyuarat Agung.
KLSD juga membuat percubaan baru untuk mempratikkan demokrasi dengan memberi peluang kepada calon untuk membuat program mereka sendiri bagi menarik ahli mengundi mereka. Namun tidak sempat dilaksanakan dan akan di cuba pada tahun akan datang. Kita akan menunggu perang poster dan majlis ceramah masa akan datang.
Beberapa pindaan peraturan juga telah dibuat iaitu menukarkan logo merah kepada warna biru sebagai menyokong semangat setiakawan dan penyatuan orang Pekak di seluruh negara; melupuskan yuran seumur hidup, cara pemilihan EXCO dan mengurangkan bilangannya dan tempuh memegang jawatan dari 2 tahun ke 4 tahun.
Mesyuarat Agung Dwitahunan KLSD telah menyempurnakan agendanya termasuk sesi soal jawab bersama Encik Tan Kim Huat, Bendahari MSFD tepat jam 5.00 petang. Di luar hujan turun dengan lebat dan sebagai rahmat kepada KLSD.
No comments:
Post a Comment