Kehangatan Piala Dunia dapat dirasa di mana-mana. Anda boleh menonton perlawanan di mana-mana sahaja, kalau bosan menonton sendirian di rumah pergilah menonton di restoran mamak, gerai tomyam, pub atau di hotel yang mana kita boleh berteriak dan membuat aksi gila-gila bersama-sama kaki bola yang lain sambil membuang duit untuk makan minum.
Teringat semasa tahun 1982, kerajaan telah mengumumkan tidak cukup wang untuk membayar penyiaran Piala Dunia secara langsung kecuali menayang siaran rakaman sahaja. Rakyat Malaysia telah bersatu bangkit membuat kutipan derma, dari kanak-kanak ke orang tua, lelaki dan perempuan, syarikat besar dan syarikat kecil telah mendermakan sejumlah wang untuk membiayai siaran langsung tersebut.
Saya masih ingat saya dan ahli kelab Pekak yang beroperasi di YMCA Brickfields juga terlibat membuat kutipan derma untuk menyokong siaran langsung tersebut. Kami telah menyerahkan hasil kutipan di pejabat Utusan Malaysia dan gambar kami telah di cetak di akhbar Utusan Malaysia. Kutipan derma daripada rakyat Malaysia telah berjaya menampung siaran langsung tersebut dan ianya di gelar siaran rakyat.
Selepas itu tiada kutipan derma lagi kerana mendapat tajaan dari syarikat rokok sehingga tajaan tersebut diharamkan. Bagi orang bujang yang merantau di KL serta menyewa bilik kecil dan tiada TV, kami mencari tempat untuk menonton perlawanan. Ada kala kami beramai-ramai pergi ke rumah kawan yang mempunyai TV tetapi tidak boleh selalu kerana menjaga hati tuan rumah.
Menonton perlawanan siaran langsung di PWTC merupakan satu kenangan yang terakhir, saya masih ingat Allahyarham Syed Osman, Peter Cheah, mendiang Somu, Kim Huat dan beberapa lagi menonton perlawanan di sana. Kami bertaruh siapa menang dan membuat taruhan negara mana memasukkan gol dahulu dan siapa yang kalah akan membayar harga minuman.
Biasanya perlawanan tamat pada jam 3 atau 4 pagi, kami akan tidur di bangku sementara mendapat bas pertama balik ke rumah untuk mandi atau terus ke tempat kerja. Kami tiada kenderaan sendiri pada masa itu. Ada kalanya apabila terlalu mengantuk kami membeli MC atau ponteng kerja.
Sekarang generasi kini tidak perlu bersusah untuk menonton perlawanan Piala Dunia kerana semuanya tersedia dan selesa.
No comments:
Post a Comment