09 April 2008

Selamat Datang.

Penglibatan saya dalam bidang IT bermula pada tahun 1991, pada masa itu saya menggunakan email Eudora untuk berhubung dengan sahabat saya dari USA. Saya terpaksa menghubungi server di Hong Kong untuk menerima dan mengirim emel saya sehingga saya menyedari terdapatnya JARING yang beroperasi di Kuala Lumpur. Menghantar dan menerima emel dari Hong Kong telah mengeringkan poket saya kerana bil talian telefon mendadak naik.
Pada tahun 1996, Aqlam Jafri pelajar Melayu pertama di University Gallaudet, USA pulang ke Malaysia untuk membuat internship program bersama Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur (KLSD), dan kami bersama-sama membangunkan laman web OKU yang pertama di negara ini iaitu - http://www.klsd.org.my/.
Orang Pekak amat berterima kasih kepada Dr. Mohamad Awang Lah dari Jaring kerana beliau telah banyak membantu dan memberikan galakan kepada orang Pekak untuk melibatkan diri dalam ICT.
Hasilnya, epekak sebuah projek Celik IT untuk orang Pekak telah dibangunkan dibawah peruntukan geran DAGS, MIMOS pada tahun 2000 dan disambung dengan projek epekak2 yang ditaja oleh Swiss Development Agency pada tahun 2002 hasil usaha daripada YB Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen, CEO Mimos pad masa itu.
Kejayaan epekak juga telah diiktirafkan serta menerima anugerah UN Malaysia 2001 bagi projek Bridging The Digital Divide dan Poverty Eradication.
Dari projek epekak tersebut jumlah pengguna ICT di kalangan orang Pekak meningkat, orang Pekak dari semua peringkat umur menggunakan emel, sms, mms, chat, webchat untuk berhubung kerana perkhidmatan telefon tidak dapat di akses oleh mereka. Paling membanggakan ialah orang Pekak menyumbang kerancakan ekonomi negara kita serta memberikan pendapatan kepada kerajaan Malaysia melalui pembelian handset serta melanggan talian telefon.
Pada masa blog ini ditulis, orang Pekak menggunakan 3G untuk berhubung antara satu sama lain melalui bahasa ibunda mereka iaitu Bahasa Isyarat Malaysia dan terbukti program epekak adalah sangat berjaya sekali.
Penulis ini juga merupakan hasil dari kejayaan epekak, penulis pernah menjadi penyumbang dan webmaster laman web http://www.mfd.org.my/ dan http://www.epekak.net.my/ (yang dalam proses pembangunan semula).
Msazali blog ini adalah diilhamkan selepas Datuk Seri Abdullah Badawi PM Malaysia mengakui kekuatan blog politik yang mempengaruhi keputusan PRU12. Saya juga berkesempatan menjelalah semua blog politik bagi mendapatkan informasi yang berlaku dan tidak pernah saya ketahui.
Oleh itu, blog ini akan menjadi tempat luahrasa hati saya sebagai orang Pekak yang merupakan kumpulan minoriti di negara ini yang memerlukan perhatian.
Terima kasih kerana membaca blog saya dan sebarang komen daripada anda adalah sangat dihargai dan memotivasikan saya untuk terus menulis.
Sekian.

No comments: