14 April 2015

Rezeki dari Bahasa Isyarat Malaysia

Semasa MFD melaksanakan projek Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) pada awal tahun 1999 ada segelintir mereka yang dari komuniti orang Pekak memperkecilkan usaha kita. Ada yang kata kita orang Pekak mana tahu pasal  bahasa isyarat dan mana mampu buat projek lagi pun BMKT sudah ada. Kita buat projek ini dengan serba kekurangan dan berjalan dengan perlahan sampai dicop sebagai projek pekasam.

Akhirnya kita berjaya juga. Kita lancarkan BIM dan membuat roadshow ke seluruh negara. Untuk mengembangkannya, kita perlu mempunyai modul khusus untuk belajar BIM. Oleh itu, kita bangunkan modul Kursus Asas Bahasa Isyarat Malaysia atau nama ringkasnya KABIM.



Modul tersebut dinaik taraf beberapa kali. Kita melaburkan wang ringgit termasuk menjemput Dr. Don Bangs dari USA pada tahun 2006 untuk membimbing pembangunan modul kursus BIM. Kita mencuba modul baru tersebut dan hasilnya ada peningkatan dalam cara pengajaran kita.


Pada tahun 2007, modul KABIM digunakan untuk Diploma Jurubahasa isyarat dan juga Kursus Intensif Bahasa Isyarat Malaysia untuk para penjawat awam dan swasta di Hotel Selesa, Johor Bahru dan Pearl International Hotel, Kuala Lumpur. Projek tersebut adalah dibawah pembiayaan Kerajaan Malaysia sebanyak RM 12 juta untuk selama setahun.

Kehadiran dua sukarelawan JICA pada tahun 2008 telah memberikan input yang berharga kepada modul kursus tersebut. Lawatan saya ke Jepun untuk meninjau lebih dekat cara perlaksanaan kursus tersebut juga telah menghasilkan modul yang digunakan sehingga hari ini.

MFD tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan ahlinya. Beberapa siri bengkel untuk tenaga pengajar BIM diadakan dan menggunakan modul tersebut. MFD menekan kepada kualiti dan kemahiran mengajar BIM kerana para pelajarnya ialah terdiri daripada golongan profesional.

Dari itu, MFD telah mendapat banyak jemputan untuk mengadakan KABIM diseluruh Malaysia. MFD mengutip yuran profesional daripada peserta KABIM bagi membayar tenaga pengajar, peserta interaksi, buku, ujian, sijil dan lain-lain. 

Ahli Majlis MFD juga telah bersetuju supaya hasil bersih KABIM yang dilaksanakan di negeri Ahli Gabungan hendaklah dibahagikan 70% kepada Ahli Gabungan tersebut untuk membantu Ahli Gabung menambah dana bagi kegunaan operasi dan aktiviti.

MFD hanya menerima 30% untuk menganjur bengkel tenaga pengajar dan juga menambah buku BIM baharu.

KABIM merupakan periuk nasi MFD dan Ahli Gabungannya. Oleh itu ditekan supaya menjaga kerahsiaan modul tersebut bagi mengelakkan individu yang mengambil kesempatan. 

Alhamdulillah, konsep pembangunan dan pengembangan BIM telah berjaya. Melalui usaha MFD, telah membuka pintu rezeki kepada semua orang. Syukur alhamdulillah.