Saya
rasa saya tidak layak untuk memberikan komen mengenai kegagalan besar keputusan
peperiksaan awam calon Pekak dari Sekolah Pendidikan Khas yang dibentangkan
tadi. Ini adalah kerana sebagai orang luar, saya tidak mengetahui apa yang
berlaku dalam kelas dan sekolah. Saya sememangnya menaruh kepercayaan kepada para
pendidik yang diamanahkan untuk membimbing pelajar pekak dan saya tahu mereka
tahu akan tanggungjawab mereka.
Apabila
saya menerima laporan keputusan tersebut, yang mendedahkan majoriti calon Pekak
gagal dalam peperiksaan awam, sebagai orang Pekak saya tersentak dan terasa.
Saya tidak tahu apakah pihak sekolah juga terasa seperti saya dan dalam hati
saya bertanya bagaimana perkara tersebut boleh berlaku?
Jika
ingin mendapatkan pandangan saya bagaimana hendak menangani isu kegagalan
tersebut, terlebih dahulu ingin saya mengajukan soalan apakah sistem pendidikan
khas untuk murid pekak iaitu kaedah Komunikasi Menyeluruh yang kita gunapakai
sejak tahun 70an iaitu berjaya mencapai matlamatnya? Apakah kegagalan murid
Pekak dalam peperiksaan awam ada hubungkait dengan tidak keberkesanan kaedah
Komunikasi Menyeluruh? Bagi pendidikan arus perdana telah beberapa kali membuat perubahan tetapi tidak untuk pendidikan khas.
Bagi negara maju, mereka telah lama meninggalkan kaedah Komunikasi
Menyeluruh dan beralih kepada kaedah bilingual and bicultural. Walau pun telah
diterangkan apa maksudnya bilingual, kebanyakan guru dan pegawai pendidikan
tidak memahami konsepnya. Mengikut kefahaman mereka bilingual atau dwibahasa
ialah penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dan English sebagai
bahasa kedua.
Sebenarnya,
bilingual bagi orang Pekak ialah bahasa isyarat sebagai bahasa pertama dan
bahasa pertuturan iaitu Bahasa Melayu atau English sebagai bahasa kedua.
Penggunaan
bahasa isyarat nasional dalam pendidikan telah lama termaktub seperti dalam UNESCO The
Salamanca Framework of Action dan juga dikuatkan dalam dokumen UNCRPD.
Malangnya
di negera kita masih menggunakan BMKT iaitu bukan bahasa, BMKT sehingga kini
masih tidak berubah iaitu sebuah buku yang tidak mencukupi memenuhi keperluan
10,000 kosa kata Bahasa Melayu.
Juga
BMKT bukannya subjek yang wajib lulus untuk bakal guru diperingkat universiti, kemungkinan di universiti tiada tenaga pakar yang bertauliah untuk mengajar subjek BMKT dan paling malang ialah jika tiada ahli panel yang menilaikan kemahiran guru berBMKT.
Kedua
kemungkinan permasalahan dengan P&P di kelas sekolah Pekak kerana mereka
dibimbing dengan kurikulum pendidikan khas yang tidak selari dengan kurikulum
arus perdana. Peperiksaan awam adalah berteraskan kurikulum perdana dan ianya
boleh menjadi punca kegagalan calon Pekak.
Kanak-kanak
tidak mengira pekak atau bukan adalah mempunyai potentasi, mengikut laporan ada calon Pekak mendapat 7A
peringkat SPM tahun 2013 dan ianya menjadi bukti orang Pekak boleh berjaya jika dibimbing
dengan cara yang betul.
Akhirkata,
untuk mengelakkan perkara tersebut tadi berulang, pihak kami mencadangkan
supaya diadakan persidangan pendidikan khas dan menjemput guru pakar dalam negara
serta pakar dari luar untuk mendapatkan informasi terbaru serta berkongsi ilmu
dan maklumat bagi mempertingkatkan sistem pendidikan khas untuk sekolah Pekak
di negara kita.
Sumbang saran ini adalah rekod saya semasa menghadiri mesyuarat di BPK Putrajaya pada 8 April 2014.