Di Malaysia jika seseorang itu tidak dapat mendengar disebabkan ketiadaan deria pendengaran dipanggil pekak. Dari manakah perkataan pekak itu berasal dan apakah perkataan yang diberikan itu mempunyai unsur yang positif atau negatif?
Kamus Dewan Bahasa Pustaka Edisi Kedua takrif pekak ialah tidak dapat mendengar disebelah atau kedua belah telinga. Secara jelasnya perkataan pekak itu tidak memberikan maksud yang negatif walaupun terdapatnya unsur gurauan seperti didalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda iaitu :
Yang pekak membakar meriam
Yang buta menghembus lesung
Selepas kejayaan sambutan Hari Orang Cacat Antarabangsa mula pada tahun 1981, kesedaran masyarakat terhadap orang cacat mulai meningkat. Ibubapa tidak lagi menyorok atau menganggap anak cacat sebagai beban dan mereka berusaha mempertengahkan kemampuan anak cacat mereka. Yang paling mengujakan ialah masyarakat sekeliling pula mulai sedar dan menerima kehadiran orang cacatt. Pihak kerajaan juga membuka peluang seluas-luasnya kepada orang cacat dalam bidang pelajaran, pekerjaan dan sosial.
Namun kesedaran tersebut telah menukar cara pemikiran masyarakat kita yang mana perkataan cacat telah ditukar kepada orang istimewa atau orang kurang upaya ataupun orang kelainan upaya atas sebab perkataan cacat tersebut tidak sedap ditutur. Persoalannya mengapa masyarakat memberikan label tersebut? Apakah untuk menutup rasa malu yang tidak mudah dihakis atau tidak dapat menerima hakikat akan kekurangan seseorang atau menutup kelemahan kerana tidak mampu memenuhi keperluan kumpulan ini?
Bagi orang pekak, masyarakat beranggap perkataan pekak tersebut adalah kasar dan menyinggung perasaan orang yang tidak boleh mendengar tersebut. Mereka telah mencipta pengganti nama bagi pekak kepada cacat pendengaran, tuna rungu meminjam istilah Indonesia, bermasalah pendengaran, orang kurang upaya pendengaran tanpa merujuk kepada orang pekak itu sendiri.
Walaupun komuniti orang Pekak mempertahankan penggunaan perkataan pekak tersebut namun mereka juga tidak mahu menerima perkataan pekak.
Mengapakah kita tidak dibenarkan menggunakan perkataan pekak? Apakah perkataan pekak itu buruk sangat kerana sesuai untuk golongan yang dilaknati oleh tuhan atau hasil dari kutukan dewata?
Dewasa ini adalah satu perkara yang sungguh malang tertimpa kepada orang pekak kerana apabila menyebut perkataan PEKAK timbul berbagai tanggapan yang negatif dan bahan ketawa atau lelucuan. Perkataan pekak itu pada pandangan mereka, menggambarkan seseorang yang tidak dapat mendengar yang tidak memahami arahan, tidak makan nasihat atau sebagai bengap serta menjadi bahan gurauan.
Sebagai buktinya dalam Kamus Dewan Bahasa Pustaka Edisi Keempat adalah berbeza dengan Edisi Kedua yang mana Edisi Keempat takrif pekak telah ditambah dan diubahsuai tanpa merujuk kepada tuan punya diri iaitu : 1. tidak dapat mendengar langsung atau tidak dapat mendengar dgn baik, tuli: ayahanda orang tua, kabur mata, ~ telinga; 2. bengap, tidak nyaring bunyinya; ~ (-pekak) badak a) = ~ batu pekak (tuli) benar-benar; b) pura-pura tidak mendengar, sengaja tidak mahu mendengar; c) tidak mendengar bunyi (suara) yg kuat tetapi boleh mendengar bunyi (suara) yg lembut; ~ labang kurang baik pendengarannya, tuli sedikit; yg ~ pelepas bedil, yg buta pengembus lesung, yg bisu penggera ayam, yg lumpuh penghuni rumah prb setiap orang ada gunanya; memekak membuat bising; memekakkan 1. menjadikan pekak; 2. menyebabkan terasa pekak: bunyi enjinnya ~ telinga. terpekak pekak dgn serta-merta (kerana kepalanya kena pukul dll).
Tambahan takrif pekak no 2 iaitu b) pura-pura tidak mendengar, sengaja tidak mahu mendengar secara tidak langsung telah membuat masyarakat berani dan tidak rasa bersalah menggunakan perkataan pekak untuk mempersendakan orang lain yang membawa maksud orang yang degil, keras kepala, tak tahu berfikir dan tak mahu mendengar cakap atau nasihat.
Tidak wajar sekali menggunakan perkataan pekak untuk tujuan menghentam orang lain kerana masih ada banyak perkataan yang lain dalam Bahasa Melayu yang boleh digunakan untuk menggantikan perkataan tersebut. Janganlah sampai seseorang itu yang memiliki ketinggian ilmu tapi rendahnya sikapnya.
Seorang mukmin bukanlah tukang mencela, tukang melaknat orang, tukang berkata kotor dan berkata rendah (Riwayat Tarmizi).
Janganlah kita lupa orang pekak juga insan yang dicipta oleh Allah seperti dalam surah Al-hujurat :13 “Wahai Manusia, sesungguhnya kami ciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan. Dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu kenal satu dengan yang lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia adalah orang yang paling taqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenal”
Cumanya orang pekak tidak boleh mendengar bahasa, Dewan Bahasa Pustaka mentakrifkan bahasa sebagai satu lambang sistem bunyi suara yang dipakai untuk hubungan sesama satu kelompok manusia. Sememangnya orang pekak tidak dapat mendengar bahasa tetapi sebagai ganti mereka menggunakan bahasa visual iaitu bahasa isyarat.
Mereka menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi sesama mereka dan juga dengan masyarakat sekeliling, mereka menerima informasi melalui bahasa isyarat dan mereka tidak sekali-kali berpura-pura atau sengaja tidak mahu mendengar.
Oleh itu adalah tanggungjawab semua ahli masyarakat untuk menwujudkan suasana rasa hormat dan saling mengerti akan orang pekak supaya memberikan keyakinan serta motivasi untuk menghadapi cabaran hidup ini. Perkara ini bukan hanya diperlukan oleh orang pekak tetapi juga kepada mereka yang lain.
Orang pekak mempunyai toleransi yang tinggi dan saling memaafkan, jangan dicabar kami "membakar buku".