Akhirnya SOPMA 2012 atau Sukan Orang Pekak Malaysia telah selamat di langsungkan bertempat di Kuala Lumpur. Dapat khabar ianya menerima penyertaan yang paling tertinggi dalam sejarah kerana melibatkan pelajar sekolah, IPTA dan orang Pekak termasuk dari negara jiran iaitu Brunei dan Singapura.
Penyertaan tertinggi membuktikan orang Pekak amat mendahagai aktiviti dan mereka beramai-ramai memberikan sokongan kepada sukan rakyat ini. Selain dari bertanding, peserta juga dapat berjumpa sahabat lama dan baru; dan paling penting ialah kesinambungan budaya kita iaitu bahasa isyarat sebagai alat komunikasi.
Walaupun berlakunya pelbagai isu semasa penganjurannya seperti didedahkan di dada akhbar tempatan serta mendapat komen balas dari orang Pekak sekeliling melalui Facebook dan pertemuan, namun saya bangga kerana SOPMA berjaya menempuhi rintangan sehingga majlis penutupannya.
3 Ahli Majlis MFD terlibat memberikan sokongan menjayakan SOPMA, ada mereka mengetuai pasukan negeri mereka dan juga memasuki pertandingan. Staf MFD termasuk Jurubahas Isyarat yang bertugas di PUSKOM juga membantu dalam persiapan pasukan negeri, mereka menggunakan kemudahan PUSKOM dan juga sumber kewangan persatuan mereka.
Oleh itu anggapan MFD tidak membantu dan tiada perpaduan antara komuniti orang Pekak adalah salah. Kita adalah sama dalam satu komuniti walau berbeza ideologi dan saling menyokong satu sama lain. Isu yang timbul dari kelemahan penganjurannya, MFD juga menerima tempiasnya.
Semasa saya berurusan di Johor Bahru pada minggu lepas, saya di maklumkan seorang Ahli Majlis MFD termasuk 3 orang Pekak telah kehilangan kerja kerana membantu dan menyertai SOPMA. Nampaknya cerita lama masih belum berubah, aktiviti sukan orang Pekak adalah teratas dari segalanya.