15 March 2011

Antara amanah dan pandang rendah.

1. Ada orang tidak beberapa suka apabila saya  memulakan atau kata orang Melayu "membuka mulut" membangkitkan isu berkaitan dengan pendidikan orang pekak. 

2. Apa yang saya sampaikan kepada pihak berkaitan bukan dari buah fikiran saya sendiri atau syok sendiri atau mahu tunjuk pandai sendiri. Sebenarnya isu yang dibangkitkan adalah datang daripada pemimpin orang Pekak dari persatuan negeri yang menjadi ahli gabungan MFD.

3. Para pemimpin persatuan tersebut mempunyai pengalaman yang sama dalam cabaran membangunkan komuniti orang pekak selari dengan wawasan negara. Kegagalan akademik merupakan isu kerana ianya menjejaskan pembangunan sosio-ekonomi kumpulan ini.

4. Para pemimpin Pekak sedar apabila dilantik oleh orang Pekak akan menjadi satu amanah untuk membela dan mempertahankan hak komuniti mereka.  Amanah itu besar ertinya dan akan di adili semasa hidup atau selepas mati. Oleh itu atas dasar tanggungjawab, pemimpin Pekak sepakat membawa isu tersebut ke mesyuarat peringkat Ahli Majlis MFD dan saya sebagai Presiden telah diberikan amanah untuk memanjangkan isu tersebut kepada kementerian berkenan.

5. Saya tidak akan membangkitkan isu mengikut apa yang terlintas di fikiran saya atau kata orang Melayu "cakap ikut sedap mulut", apa yang saya utarakan adalah mengikut fakta dan bukti yang jelas sebab saya tahu akibatnya jika salah cakap kerana negara kita mempunyai undang-undang. Saya tahu apa yang saya mahu sampaikan dan saya sedar had kemampuan saya. Filem Zombie Kg Pisang pun ada kata "oleh sebab saya tak ada SPM....."

6. Malangnya ada orang bijak pandai berkata pengalaman saya banyak tetapi tak setaraf dengan memegang ijazah sebab belajar untuk ijazah itu kena membuat kajian ilmiah, mengambil fakta dari buku ilmu yang sejengkal tebalnya.

7. Dunia sudah berubah, pepatah orang Melayu "ikut resmi padi makin berisi makin tunduk" dah tak laku, betapa hebatnya IPTA yang dibanggakan olehnya yang berjaya mengajar pelajarnya bersikap bongkak, takbur dan sombong.

Berita untuk komuniti kita, bilakah kita juga akan di berikan perhatian? (Klik disini)

10 March 2011

Jawapan Untuk Puan Nor Shahidah



1.   Saya angkat topi kepada warga pendidikan khas kerana amat menyokong penggunaan BMKT/KTBM sebagai kaedah P&P di sekolah pendidikan khas pekak demi membantu kanak-kanak Pekak menguasai Bahasa Melayu. Namun setiap tahun  LPM melaporkan keputusan peperiksaan awam calon Pekak adalah tidak membanggakan, apakah ianya menjadi bukti yang kukuh kaedah BMKT/KTBM yang digunakan di sekolah khas kita adalah gagal?

2.   Saya amat menyanjungi para pendidik termasuk puan yang telah mengabadikan diri selama 18 tahun kepada murid sekolah khas pekak tetapi saya ingin tahu hasil kejayaan puan membimbing mereka untuk menjadi rujukan. Saya amat berasa kecil hati apabila kemerosotan keputusan STPM 2010 ada pihak KPM membuat arahan supaya mengkaji punca kemerosotannya tetapi jika calon pekak merosot keputusannya apakah kajian juga di buat?

3.   Puan mendakwa kelemahan penguasaan bahasa oleh murid pekak adalah kerana tiada cukup bahan bacaan atau alat mengajar untuk murid Pekak. Dakwaan tersebut bermakna selama 18 tahun orang Pekak di abaikan dalam mendapat pendidikan yang sempurna. Ianya boleh menjadi bukti jelas Kementerian Pelajaran kita tidak mengambil berat dengan isu ini.

4.   Saya menyambut baik Transformasi Pendidikan yang dicadangkan kerana juga merangkumi di pendidikan khas. Saya difahamkan pihak KPM membuat dasar baru, menambah bahan bacaan untuk murid pekak, mencadangkan BIK tetapi jangan lupa untuk mempertingkatkan kemahiran guru. Perkara tersebut tidak dapat di capai selagi guru tidak mahir dalam bahasa isyarat bagi komunikasi dan menyampaikan ilmu. Jika sekolah Cina mensyaratkan guru mempunyai penguasaan Bahasa Mandarin layak mengajar di sekolah mereka, sekolah pekak juga wajib mensyaratkan guru mempunyai kemahiran dalam BKMT/KTBM/SEE/ASL dan sebagainya sebelum diterima mengajar di sekolah pekak.

5.    Puan memberitahu tidak tahu apa itu SEE (Sign Exact English),  sekiranya puan tidak tahu di sepanjang 18 tahun bekerja di bahagian pendidikan khas telah membuka pekung di dada Kementerian Pelajaran Malaysia yang gagal menyampaikan ilmu berkaitan dengan orang Pekak termasuk apa itu SEE.

6.   SEE adalah sama dengan BMKT tetapi orang sana walau pun bukan Islam tidak menggunakan perkataan KOD kerana tahu manusia di sana tidak berkomunikasi dengan kod, tetapi orang kita sini mendewakan KOD contohnya Bahasa Melayu KOD Tangan atau KOD Tangan Bahasa Melayu. 

7.   SEE menggunakan kata akar daripada ASL dan membuat tambahan seperti ‘..s’, ‘…ed’, ‘…ing’, dan sebagainya mengikut tatabahasa Bahasa Inggeris. BMKT/KTBM menggunakan kata akar isyarat mana?

8.   Untuk makluman BIM di lancar secara rasmi pada tahun 2000 berbandingkan BMKT/KTBM pada tahun 80an. BIM tidak pernah masuk ke sekolah secara RASMI malahan dilarang penggunaannya kerana bertentangan dengan dasar di sekolah kerajaan. Saya tahu arahan supaya dengar sahaja tapi jangan ikut apabila saya dijemput memberikan penerangan mengenai BIM. Saya juga tahu ada guru menggunakan BIM secara bawah tanah kerana BMKT/KTMB tidak mencukupi kosa isyarat. Saya amat takut sekiranya ada guru menyokong BIM, prestasinya mungkin akan diturunkan kerana melanggar dasar dan menyebabkan guru hilang semangat mengajar. Akibatnya pelajar pekak kerugian.

9.   Oleh itu, elakkan trend mempersalahkan BIM yang menyebabkan pelajar Pekak gagal membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu. Mana aci?

10. Dakwaan BIM itu bahasa pasar secara jelas dilihat sebagai memperlekehkan  penasihat undang2 yang melakarkan Akta OKU yang mana mengiktirafkan BIM sebagai bahasa rasmi orang Pekak; memperlekehkan juga YB Ahli-ahli Parlimen, para Menteri termasuk Menteri Pelajaran yang bersama-sama meluluskan AKTA OKU 2008  di Parlimen yang dibaca dua kali, yang juga di perkenan oleh YANG DI PERTUAN AGUNG.

11. Pengiktirafan BIM adalah seperti dalam dokumen UNESCO Salamanca Framework of Action dan juga UNCRPD yang mana Malaysia telah menerima, mengiktiraf, meratifikasikan. Mengapa masih ada orang kita yang tidak bersetuju?

12. Dakwaan ramai orang Pekak tidak mempunyai pekerjaan dan menganggur adalah tidak benar. Jika BENAR gurulah bertanggungjawab kerana gagal membimbing orang pekak berjaya dalam akademik. Kelulusan akademik adalah kunci untuk mendapat pekerjaan yang baik.



06 March 2011

Seminar Kesihatan Mental 2011

Melalui jemputan daripada Pusat Pertuturan Kiu saya telah hadir ke seminar tersebut diatas hari ini bertempat di Kompleks Sukan Kuala Lumpur, Kg. Pandan.

Kesihatan Mental adalah satu yang baru bagi orang kita, ianya berkaitan dengan tekanan yang kita hadapi seharian.

Sebagai contoh, ibubapa yang mempunyai anak Pekak berasa tertekan kerana tiada informasi yang terbaik untuk menangani anak Pekak mereka, di tambah kesukaran untuk berkomunikasi dengan anak serta ketiadaan perkhidmatan yang bersesuaian di negara ini. Apabila tertekan dan tiada tindakan yang diambil boleh menyebabkan seseorang itu sakit jiwa kata orang Melayu, kemurungan atau bahasa yang sesuai di abad ini iaitu 'mental health' atau kesihatan mental.

Tetapi di negara kita, tidak ramai ibubapa yang mempunyai anak Pekak mengalami kemurungan atau kesihatan mental. Ini adalah kerana kerajaan Malaysia amat bermurah hati menyediakan prasarana yang terbaik, memberikan elaun, peruntukan dan sebaginya kepada anak OKU menyebabkan segelintir ibubapa  lebih cenderung melepaskan tanggungjawab kepada pihak lain, iaitu guru, sekolah khas dan sebagainya.

Namun ada juga ibubapa tidak terlalu bergantung kepada kerajaan dan berusaha sendiri. Dua orang ibubapa menjadi panelis di seminar tersebut telah berkongsi pengalaman membimbing anak mereka sehingga berjaya. Mereka menerima hakikat anak mereka tidak dapat mendengar dan tidak malu menerima perkataan Pekak.

Panelis juga memberitahu para peserta beliau membimbing anaknya dengan menggunakan bahasa isyarat sebagai bahasa pertama dan diikuti kaedah Total Communication untuk menguasai Bahasa Melayu melalui pertuturan kiu dan speech theraphy.

Manakala panelis seorang lagi yang bukan dari keluarga Melayu telah berkorban menepikan bahasa ibunda mereka dan menggunakan Bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan anak mereka seharian.

Luahan ibubapa tadi secara amat jelas adalah bertentangan dengan pendapat ahli profesional dan akademik. Dua perkara yang saya bangkitkan di sini iaitu PERTAMA siapakah mereka yang mempunya hak untuk menetapkan label 'masalah pendengaran' sebagai ganti Pekak?

KEDUA apakah kebenaran ahli akademik menegaskan penggunaan KTBM akan membantu murid Pekak menguasai Bahasa Melayu.

Juga kedua ibubapa tidak terpengaruh dengan propaganda 'anak pekak akan mempunyai masa depan yang gelap' dengan membuat keputusan singkat dengan melaksanakan implan koklear. Saya juga terkejut kerana panelis tidak menghantar anak Pekaknya ke sekolah khas. Tanpa kedua perkara tersebut telah membuktikan anak mereka tetap berjaya dalam akademik dan sedang menuntut di IPTA.