14 February 2011

Antara Jakun dan pekak

Saya masih ingat apabila Haji Yasin jiran depan rumah kami di Batu 10 Lekir membeli keret MG Sport warna merah dan memandunya ke keliling kampung; ramai budak-budak kampung mengerumuni kereta tersebut kerana tidak pernah melihat kereta tersebut apatah lagi tak berbumbung.

Pemuda-pemuda kampung menggelar menggelar budak-budak tersebut 'jakun' kerana tidak pernah melihat kereta tersebut kerana pertama kali di perkenalkan di kampung. Jakun pada kefahaman saya budak kampung, bererti bodoh dan 'ulu'. Saya tidak menyukai perkataan ulu kerana ianya membawa maksud mereka yang tinggal jauh di pendalaman seperti Sg. Tiram,  Parit Haji Dolah yang jauh di pendalaman, ketertinggalan dari pembangunan. Orang Batu 8 juga panggil budak Batu 10 budak ulu.

Panggilan jakun ialah satu sindiran dan tidak membawa perkara yang positif bagi manusia yang bertamadun.

Hari ini saya membaca Utusan Malaysia bertajuk Guna perkataan Jakun: Nik Aziz mohon maaf kepada Orang Asli. Syukur alhamdullilah  kerana ada orang sedar panggilan negatif itu tidak wajar kerana menyinggung perasaan manusia yang di cipta oleh Allah swt. 

Oleh itu, saya juga mahukan perkataan 'pekak' juga di hormati kerana ianya hanya berkaitan dengan insan ciptaan Allah swt yang tak dapat mendengar. Orang bukan pekak, menggunakan perkataan pekak atau tuli sebagai sindiran yang membawa maksud orang yang degil atau tak mengikut nasihat atau bodoh tak boleh belajar.

Orang pekak bukan degil. Hanya mereka tidak dapat mendengar dan tidak faham apa yang di sampaikan oleh orang yang boleh mendengar yang tidak tahu menggunakan komunikasi orang pekak iaitu bahasa isyarat.

Oleh itu elakkan menggunakan perkataan pekak untuk menyindir, memperli, memberikan maksud yang negatif kerana dalam Islam melarang umatnya membuat sesuatu yang melukakan hati orang lain.

03 February 2011

Kuih bakul, kuih kapit dan Gong Xi Fa Cai

Saya dibesarkan di Batu 10, Lekir, Sitiawan, Perak. Orang Perak panggil Lekir - Lekio. Negeri Perak ialah negeri yang teramai penduduknya di Malaysia malah di dunia kerana penduduk tinggal di dinding dan dalam parit, ini lawak biasa kita tahu, sebab dinding bermakna daerah Dinding yang telah bertukar nama ke Manjong dan Parit ialah nama sebuah pekan yang terletak di tepi Sungai Perak dan yang terkenal dengan jambatan Bailey iaitu jambatan besi buatan tentera. Durian terbaik pada masa itu datangnya dari Parit dan kampung berdekatan iaitu Bota Kiri dan Bota Kanan.

Orang Parit mempunyai trade mark sendiri dan menjadi lelucuan iaitu "bio pape ase begaye" dan saya mempunyai saudara dari Parit.  Orang Batu 10 Lekio dan kampung berdekatan Sg. Tiram kebanyakannya orang Banjar, kebetulannya ayah saya juga keturunan Banjar dan sebelah emak saya keturunan Lubis/Nasution.

Di Batu 10, ada 2 keluarga Cina yang rapat dengan saya iaitu Kim Sooi dan Teck Heng. Kedua mereka membuka kedai runcit bersebelahan dan rumah kami adalah berdekatan. Setiap tahun sebelum perayaan Tahun Baru Cina, saya akan terhidu manisnya kuih kapit yang di bakar dengan sabut kelapa oleh isteri Kim Sooi dan saya menunggu seperti biasa mereka memberi kuih kapit dan kuih bakul kepada kami.

Kuih kapit isteri  Kim Sooi nipis, ranggup dan manis. Cair di mulut. Tak puas bila makan, kuih habis rasa nak minta lagi tapi malu. Jadi buat-buat tebal muka menzairah rumah Kim Sooi jumpa Ah Cheng teman rapat saya dan pekena kuih kapit. Biasalah sebab saya satu-satunya budak Pekak di kampong Batu 10. Glamour sikit.

Kuih bakul dulu-dulu berbeza dengan sekarang, biasanya isteri Kim Sooi berikan kami dalam kedaan panas-panas sebab baru di masak. Kalau tak sabar makan, habis jari dan pisau melekat kuih bakul, jadi kita jemur sehari dulu supaya keras sikit.

Kuih bakul boleh dimakan terus atau di potong bentuk kiub dan di masukkan ke dalam bubur iaitu paling saya sukai bubur cha cha, juga boleh di goreng seperti goreng pisang.

Sekarang semuanya menjadi kenangan dan sukar di cari ganti.....



Selamat Tahun Baru Cina - Kong Si Fat Choy - Gong Xi Fa Cai

02 February 2011

1 Deaf 1 Community

Pada mulai akhir tahun 80an merupakan permulaan kebangkitan pergerakan orang Pekak,  di setiap negeri orang Pekak bersatu dan telah menubuhkan persatuan masing-masing. Mereka bermula dengan kekurangan, mereka tidak ada wang, mereka tidak ada kemahiran memimpin, tidak ada pejabat dan juga peralatan. Namun yang ada ialah semangat, yang menjadi kekuatan utama orang Pekak.

Orang Pekak pada masa itu majoritinya adalah miskin sebab tidak mempunyai pekerjaan dan juga bukan dari tergolong terpelajar. Mereka hanya tamat darjah enam dan ada juga hanya tamat tingkatan 3, tetapi mereka menjadi orang penting kepada penubuhan persatuan. Mereka menjadi ahli pertama dan membayar yuran sehingga penubuhan persatuan di seluruh negara.

Sekarang berkat jasa mereka yang terdahulu, setiap negeri berjaya menubuhkan persatuan orang Pekak masing-masing dan ada yang telah mempunyai pejabat untuk beroperasi serta kewangan yang kukuh bagi memberikan perkhidmatan untuk orang Pekak sejajar dengan matlamat persatuan mereka.

Tidak lupa MFD dilahirkan melalui penyatuan semua persatuan negeri dan sebagai balasannya MFD telah memperjuangkan banyak perkara sehingga kehidupan orang Pekak mendapat perhatian dan mendapat peluang di dalam banyak bidang. Kehidupan orang Pekak adalah bertambah baik. Ada yang berjaya menjadi guru, memasuki universiti, mendapat pekerjaan yang baik dan mempunyai harta. MFD berjuang mengikut landasan yang tepat.

Dalam perjalanan kejayaan ada naik dan turunnya, kita telah menyaksikan 4 buah organisasi yang MFD bantu menghidupkannya dan telah menjauhkan diri daripada MFD. Perbuatan tersebut adalah satu yang tidak mengenang budi kerana melupakan jasa mereka yang miskin dan tidak berpelajaran yang menubuhkan organisasi kita yang bermatlamatkan menyatukan kita semua.

Namun tindak tanduk dan niat tidak ikhlas pemimpin adalah tidak kekal. Baru-baru ini melalui kuasa rakyat Pekak telah berjaya melaksanakan reformasi dan menurunkan pemimpin yang tidak diperlukan lagi.

Rakyat Pekak mulai sedar akan hak mereka. Rakyat Pekak sudah pandai menilai dan tidak lagi boleh di gula-gulakan.