24 February 2010

KLSD - khidmat untuk orang Pekak


Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur atau nama ringkasnya KLSD ialah sebuah organisasi yang di tadbirkan oleh orang Pekak sendiri. KLSD ditubuhkan pada tahun 1987 dan merupakan sebuah organisasi yang aktif di negara ini.

Kosmo hari ini telah mempromosikan perkhidmatan yang diberikan oleh KLSD di rencana utama akhbar mereka mengenai KLSD.

23 February 2010

Di Sini..

Saya sememangnya dibesarkan di zaman romantis, semasa bersekolah menengah di pengaruh oleh tulisan dan puisi Usman Awang atau Tongkat Warrant. Karya agung beliau Tulang-tulang Berserakan dan Duri dan Api yang digunakan dalam mata pelajaran Sastera telah membentuk jiwa saya dan mengajar saya menjadi penyayang, bertanggungjawab, berperikemanusia dan berwawasan.

Dari itu, saya lebih gemar membaca bahan-bahan yang berunsur romantis, banyak buku saya baca dari dalam negara dan termasuk Indonesia.

Tadi, semasa saya melayari sesawang, terbaca sebuah puisi yang menarik dan membawa makna untuk diri dan perjuangan.


Di sini..
Jejari kita bertaut
Mengajarku merongkai isi di dasar laut
Tangan kau hulur tempat ku berpaut
Agar tidak mudahku tersalah pungut

Di sini..
Kasih berbunga riang
Unsur persahabatan, sayang mula bertandang

Di sini..
Kasih tersulam rapi
Sayang mengharum bak limau kasturi
Rindu tersemat di sanubari
Dua naluri terjalin serasi

Di sini..
Langkah terus beriringan
Jejari kian bertautan
Pada ilahi ku menadah tangan
Agar perjalanan berakhir dalam aman

"Anonymous"

20 February 2010

Apakah Orang Pekak Masih Mendapat Simpati?

Kes 1

Saya ada menerima satu kes baru. Ianya berkaitan dengan pelajar Pekak yang bersekolah di sekolah biasa (bukan sekolah khas Pekak). Seperti biasa pelajar Pekak mendapat bantuan dari kawan sekelas yang bukan Pekak untuk mengikuti pelajaran, mengambil nota, membantu membuat kerja sekolah dan juga sebagai 'jurubahasa isyarat yang tidak bertauliah'.

Pelajar bukan Pekak tersebut mempunyai niat yang baik untuk membantu kerana berasa kasihan kepada pelajar Pekak yang menghadapi kesukaran mengikuti kelas yang di ajar oleh guru tanpa menggunakan bahasa isyarat.

Namun telah mendapat tentangan daripada ibubapa pelajar bukan Pekak tersebut apabila didapati keputusan pelajaran anaknya telah merosot kerana terlalu sangat membantu pelajar Pekak. Ibubapa tersebut telah membantah dan melarang pelajar lain membantu pelajar Pekak kerana pelajar mempunyai tanggungjawab untuk diri sendiri.

Pelajar Pekak tersebut di kehendaki berusaha sendiri seperti orang lain tanpa bergantung bantuan ehsan kawan sekelas atau guru.

Kes 2

Utusan Malaysia : Pencuri bisu akhirnya tertangkap

MELAKA 17 Feb. - Sikap seorang lelaki bisu yang merendah diri dan berkelakuan baik di kampungnya membuatkan penduduk di Selandar, Jasin dekat sini bersimpati dengan kecacatan yang dialaminya.

Kekurangan yang ada pada pemuda berusia 24 tahun itu sedikitpun tidak menyebabkan penduduk di situ memandang serong, apatah lagi untuk menyisihkannya.

Setiap kali solat lima waktu, pemuda itu tidak pernah terkecuali bersembahyang bersama jemaah lain. Itu sudah membayangkan peribadinya yang baik pada mata kasar penduduk di situ.

Namun agak mengejutkan apabila pemuda bisu itu yang sering mendapat simpati daripada penduduk Selandar rupa-rupanya seorang pencuri yang cukup licik.

Dia bijak menggunakan peluang yang ada untuk mencuri wang daripada tabung kutipan jemaah di tiga buah masjid di Jasin sejak awal bulan ini.

Bagaimanapun, kelicikan lelaki tersebut terbongkar apabila dia diberkas oleh seorang anggota polis di Masjid At-Taqwa di Kampung Rim, kira-kira pukul 7.45 pagi kelmarin.

Sebaik sahaja diberkas, polis dan jemaah masjid terkejut apabila mendapati pemuda yang ditahan itu adalah seorang pemuda bisu yang sering menunaikan solat di masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, ketika ditahan, polis menemui alat pemotong kunci yang disimpan dalam beg galas dan wang berjumlah RM600 yang disembunyikan dalam seluar dalam suspek.

"Polis turut menemui empat telefon bimbit yang dipercayai dicuri dalam beg galas suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, polis bertindak memburu penjenayah itu selepas menerima tiga laporan mengenai kecurian duit tabung di tiga masjid di daerah ini.

"Kita membuat intipan di beberapa buah masjid lain di daerah ini apabila kejadian ketiga dilaporkan berlaku pada 29 Januari lalu di Kampung Rim," katanya.

Menurut Che Suza, pemuda itu diberkas oleh seorang anggota polis yang sedang menyiasat kes itu yang secara kebetulan berada di Masjid Kampung Rim.

Katanya, anggota polis terbabit mengesyaki sesuatu apabila ternampak kelibat seorang lelaki berlari dalam keadaan tergopoh-gapah.

"Menyedari sesuatu yang tidak kena dengan lelaki itu, anggota polis tersebut terus bertindak menahannya. Selepas diperiksa, polis menemui alat pemotong kunci, sejumlah wang dan telefon bimbit.

"Malah wang tunai RM600 yang ditemui itu dipercayai dicuri dari tabung masjid tersebut," katanya.

Berdasarkan siasatan awal polis, katanya, suspek dikatakan terlibat dalam beberapa kejadian kecurian yang dilaporkan di beberapa buah masjid sebelum ini.

Berikutan itu, kata Che Suza, suspek kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Kesimpulan : zaman sudah berubah dan manusia bersaingan sesama sendiri, yang kuat akan menang, yang lemah akan kalah. Undang-undang tidak mengenali sesiapa, yang salah tetap salah.

Oleh itu, seperti permintaan OKU sedunia "Toward Right Based not Charity Based", siapa makan cili sendiri rasa pedas; berani cadang berani tanggung.

Kita perlu berbuat sesuatu dan membuat perubahan.