1. Saya ingin membangkitkan isu berkaitan orang pekak membaca al-Quran kerana
membaca al-Quran ialah salah satu daripada tuntutan agama. Sebagai contoh Allah memerintah Muhammad s.a.w membaca sepertimana
dalam surah (al-'Alaq 96:1) iaitu Bacalah (wahai Muhammad)
dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).
2. Walaupun
Muhammad SAW tidak tahu membaca tetapi malaikat membantu baginda membaca surah
tersebut.
3. Ini
membawa maksud bahawa tanggungjawab
masyarakat sekeliling untuk membantu
umat Allah termasuk orang Pekak untuk membaca al-Quran. Namun timbul
pula persoalan bagaimana hendak mengajar orang Pekak mengaji al-Quran kerana
mereka tak boleh mendengar.
4. Komuniti
Pekak di Malaysia gembira dengan hadis “Abdullah bin
Mas’ud radhiyallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran maka baginya satu
kebaikan dengan bacaan tersebut, satu kebaikan akan digandakan 10 kebaikan dan
aku tidak mengatakan alif laam miin الم))satu huruf akan tetapi alif satu huruf, laam
satu huruf dan miim satu huruf.”
5. Dari hadis itu sudah menjadi trend di kalangan orang Pekak pada masa kini iaitu membaca al-Quran
dengan menggunakan ejaan jari hijaiyyah supaya mendapat keberkatan dan pahala
tetapi persoalannya apakah benar begitu?
6. Jika mengikut Irsyad
Al-Fatwa Siri Ke-482: Hukum Membaca Al-Quran Dengan Bertajwid ada menerangkan bahawa
Islam menuntut umatnya yang membaca al-Quran dengan bacaan yang baik lagi elok,
dan boleh difahami dengan bertajwid.
7. Tajwid dari sudut bahasa ialah sesuatu
itu menjadi baik dan elok (lawan kepada buruk). Manakala dari sudut istilah
pula ia bermakna memberikan atau meletakkan setiap satu huruf apa yang patut
baginya (haknya) dari segi sifat-sifat huruf seperti menyatakan atau
membunyikan, dan juga apa yang dimestikan baginya dari segi apa yang terhasil
daripada sifat-sifat itu seperti tebal, nipis dan sebagainya. (lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah;
10/177).
8. Selain dari itu dituntut juga supaya al-Quran
dibaca dengan dengan betul seperti kata Surah
al-Muzammil (4) yang bermaksud:
وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ
تَرْتِيلًا ﴿٤﴾
... dan bacalah al-Quran
dengan "tartil".
9. Bacaan tartil ialah bacaan yang perlahan-lahan, tenang dan
melafazkan setiap huruf daripada makhrajnya yang tepat mengikut hukum-hukum
bacaan tajwid dengan sempurna, merenung makna, hukum dan pengajaran ayat.
10. Tingkatan bacaan ini biasanya bagi mereka yang sudah mengenal
makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan hukum-hukum tajwid. Tingkatan
bacaan ini adalah yang paling baik dan lebih diutamakan kerana telah sabit daripada
firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Telah
Kami (Allah) membacakannya (al-Quran) kepadamu (Muhammad) secara tartil” – Surah al-Furqan ayat 32.
11. Oleh itu dua nas atau ayat daripada Alquran tersebut sudah cukup untuk mengkukuhkan tuntutan yang
bacaan al-Quran hendaklah bersuara serta memahami maksudnya (merenung makna,
hukum dan pengajaran ayat).
12. Berbalik kepada persoalan orang Pekak yang tidak dapat mendengar serta menyebut bunyi huruf dan bertajwid, apakah cara yang paling
sesuai bagi golongan ini membaca al-Quran?
13. Adakah membaca al-Quran dengan mengeja ejaan jari hijayyah
boleh diterima walhal ayat al Quran di atas sudah menyatakan kepentingan membaca dengan tajwid dan
tartil?
14. Kita mesti sedar bahawa orang Pekak adalah dari pelbagai latar belakang, ada yang tidak boleh mendengar dengan baik atau dipanggil kurang pendengaran dan ada yang tidak boleh mendengar langsung yang dipanggil pekak (definasi DBP). Mereka ini juga dari latarbelakang pendidikan yang berbeza iaitu boleh membaca dan menulis dengan baik atau tak boleh membaca dan menulis langsung. Ada yang boleh bersuara dan ada yang tidak.
15. Pada masa ini ada yang mencadangkan orang Pekak membaca Al Quran melalui penggunaan bahasa isyarat tetapi pada pendapat saya, cara tersebut adalah satu kaedah yang terakhir dan paling sesuai untuk golongan orang Pekak tidak boleh membaca dan menulis langsung.
16. Ini adalah kerana bagi mereka yang boleh mambaca dan menulis dengan baik, tidak semestinya bergantung kepada membaca Al Quran dalam bahasa
isyarat kerana mereka boleh membaca terjemahannya. Manakala orang Pekak dan Kurang Pendengaran yang mempunyai suara boleh dilatih membaca AlQuran dengan cara tajwid dan tartil.
17. Di negara kita belum mempunya bank isyarat bagi terminologi Islam yang lengkap, yang boleh membezakan perkataan digunakan seharian dengan bahasa Al Quran. Jika kita guna isyarat komunikasi seharian untuk menterjemahkan bahasa Al Quran akan berlakunya lari dari maksud.
18. Oleh itu saya berharap adanya sesiapa boleh memberikan pandangan bagi merungkai cabaran dan permasalahan yang dihadapi oleh orang Pekak dalam membaca AlQuran mengikut hukum atau rukun yang ditetapkan.