12 June 2014

Apakah Kita Tahu Siapa Pejuang Pendidikan Orang Pekak Di Malaysia

Saya hadir di Mesyuarat Agung DwiTahunan Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang (PDA) pada 8 Jun 2014 bertempat di Tingkat 5, Bangunan Komtar, Pulau Pinang.

Datuk Saleena Yahya Isa selaku penasihat PDA juga hadir dan diberikan peluang untuk memberikan ucapan. Keadaannya yang uzur dan diserang amnesia bukan penghalang untuk terus bersama komuniti Pekak yang sudah sebati dengan hampir 3/4 usianya.

Datuk Saleena berucap dalam Bahasa Inggeris serta diterjemahkan oleh jurubahasa isyarat MFD Puan Asma, beliau menceritakan bagaimana dia memperjuangkan penubuhan sekolah Pekak pertama di Malaysia iaitu FSD sejak tahun 1954.

Pada masa itu pendidikan untuk kanak-kanak pekak adalah tidak mendapat perhatian oleh pihak berkaitan, pihak tersebut menganggap pendidikan untuk kanak-kanak pekak adalah tidak bagitu penting. Datuk Saleena dan para guru bertungkus lumus membuktikan pandangan tersebut adalah salah dan berkat usaha telah berjaya menghasilkan pelajar yang cemerlang dan mampu bersaing dalam peperiksaan awam. 

Dari itu Datuk Saleena telah memohon untuk menubuhkan sekolah menengah bagi memberikan peluang kepada orang Pekak mendapat pendidikan yang tinggi sehingga Tingkatan 6. Hasil usaha tersebut berjaya mengeluarkan pelajar Pekak yang terbaik dan ada yang telah melanjutkan pelajaran di Gallaudet University, USA.  Ada pelajar tersebut tidak kembali ke Malaysia kerana tiada peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka, mereka berjaya menjadi pensyarah universiti,  ada juga yang bekerja di White House dan Pentagon.

Datuk Saleena juga memperjuangkan orang Pekak belajar di USM iaitu universiti berstatus apex. Beliau menceritakan kesukaran untuk menyakinkan pihak universiti untuk menerima pelajar Pekak. Usaha murninya membuahkan hasil dan Teh Kean Hoe mencatat sejarah sebagai pelajar pekak pertama di USM. Sekarang Teh menjadi guru cemerlang di FSD dan menerima gaji 8 kali ganda dari Datuk Saleena.

Datuk Saleena juga dikenang kerana menukarkan sistem oralisma dalam pendidikan yang dibawa oleh British kepada sistem Total Communication dari USA. Bahasa isyarat digunakan sebagai medium P&P dalam pendidikan di negara ini mula tahun 1979 sehingga sekarang.

Bak pepatah Melayu, harimau mati tinggalkan belang, manusia mati tinggalkan nama. Namun Datuk Saleena masih hidup dan saya telah menimbulkan persoalan apakah orang Pekak tahu mengucap terima kasih dan menghargai jasa mereka yang telah menukarkan kehidupan orang Pekak?

Mendiang Tan Yap diberi gelaran Father of the Deaf oleh Persatuan Untuk Orang Pekak Selangor dan WP tetapi antara Tan Yap dan Datuk Saleena siapa lebih hebat? Saya bukan membuat perbandingan tetapi hakikatnya perlu kita lihat dan kaji. Tahun ini akan merayakan ulangtahun ke 60 FSD, saya walaupun bukan alumni FSD tetapi saya dapat membaca hati kecil Datuk Saleena yang menunggu apakah anak2 FSD yang beliau berikan kehidupan akan mengenang jasanya sebagai seorang tua?

Sejarah pendidikan orang Pekak Malaysia bermula di Penang, PDA dan Alumni FSD ditunggu apa tindakan yang bakal diambil untuk mengenang jasa insan yang amat besar.