15 October 2009

CODA kepentingannya komunikasi.

Majoriti orang Pekak berkahwin sesama orang Pekak dan mempunyai anak yang bukan Pekak. Anak bukan Pekak dari pasangan Pekak dipanggil CODA atau Childern of Deaf Adult.

Orang Pekak lebih gembira kerana mempunyai anak bukan Pekak kerana mereka diharap akan membantu komunikasi, menjaga mereka di hari tua nanti.

Tetapi kita terkejut kerana membaca berita mengenai CODA membunuh ibu kandungan sendiri yang Pekak (laporan Bernama dibawah ini).

Oleh itu, penting sekali kita mengkukuhkan komunikasi dengan CODA kerana cara hidup mereka adalah berbeza dengan kita. Semasa anak CODA kita kecil memang mereka adalah sangat comel dan mudah dijaga tetapi apabila mereka memasuki alam remaja dan dewasa adalah berbeza. Persekitaran yang baik membentuk personaliti CODA yang baik dan komunikasi merupakan kunci utama.

Jangan abaikan anak CODA kita, jangan menjadikan mereka mangsa kepekakan kita kerana bom jangka akan meledak tanpa diduga.


Surirumah pekak, bisu ditemui mati dibunuh
06/10/2009 6:03pm


JOHOR BAHRU 6 Okt. — Seorang surirumah yang pekak dan bisu ditemui mati dibunuh di rumahnya di Kampung MIC, Ulu Tiram, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt. Roslan Zainuddin berkata, mayat K.Malina, 47, ditemui di dalam beg kembara yang disorok di bawah sinki dapur rumahnya itu kira-kira pukul 7.30 pagi ini.

“Polis menemui mayat dalam beg berkenaan dengan keadaan separuh badan berlipat manakala tangannya diikat menggunakan kabel telefon,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. - Bernama

09 October 2009

Bencana dan Orang Pekak

Dunia kita tidak lari dari di timpa bencana alam semulajadi. Baru-baru pelbagai bencana telah menimpa di Asia Pasifik. Bermula dengan selsema babi, gempabumi, tsunami, hujan dan taufan. Di Padang, Indonesia gempa bumi telah menyebabkan kemusnahan besar dan kematian. Di Filipina, taufan telah menyerang kepulauan tersebut dan mengakibatkan banjir besar.

Malaysia terletak di tengah Filipina dan Indonesia dan kita bernasib baik kerana dua negara tersebut menjadi benteng melindungi kita dari bencana.

Kita tidak pernah mengalami kesusahan, keperitan di timpa bencana kecuali banjir. Sistem bantuan bencana di negara kita adalah baik, apabila berlakunya bencana seperti banjir pertolongan akan mencurah masuk sehingga tak tahu apa nak buat dengan bantuan yang terlampau banyak.

MFD juga pernah melibatkan kerja sukarela membantu mangsa banjir di Johor iaitu menjadi sukarelawan di Bilik Gerakan, mencari sumbangan, pembungkusan dan jurubahasa isyarat bagi mangsa banjir.

Baru-baru ini gempa bumi di Padang, saya telah menerima SMS dari individu tidak ketahui memohon bantuan bagi pihak komuniti orang Pekak di sana. Saya sedang berurusan dengan pihak Geraktin untuk mendapat maklumat lanjut.

Di Manila, Presiden PFD memaklumkan bahawa ramai orang Pekak menjadi mangsa banjir. Saya ada menerima emel daripada sahabatnya bahawa pada 26 September, topan Ondoy menyebabkan banjir besar. Rumah mereka telah ditenggelam banjir setinggi 7 kaki dan kehilangan bumbung. Paling malang barangan dan file penting PFD yang ditumpang di rumah telah rosak. PFD belum mempunyai pejabat dan terpaksa menumpang barang penting di rumah orang Pekak.

Kawan saya menceritakan beliau dan keluarga terperangkap di tingkat 2 rumah mereka dari jam 1 petang 26 September hingga jam 4 pagi 27 September apabila banjir surut.

Mereka mengharapkan bantuan untuk memulakan hidup baru.

Oleh itu semua blogger, orang Pekak, komuniti kita yang tidak pernah mengalami kesusahan di timpa bencana; marilah kita menghulurkan sumbangan dan berkongsi kesusahan sahabat kita. Kita syukur kerana kita tidak ditimpa bencana, tetapi ingatkan bahawa kita juga mempunyai tanggungjawab untuk membantu mereka yang memerlukan. Anda semua boleh mengutip derma kilat di majlis rumah terbuka hari raya dan wang yang dikumpul akan di dermakan kepada sahabat kita di Padang dan Manila.

Sumbangan ikhlas anda akan di berkati oleh tuhan.

06 October 2009

Mesyuarat Yang Menuju Kejayaan

Semalam saya dan Sariah Ibrahim telah mewakili MFD ke Mesyuarat Penyelarasan Perlaksanaan BIM-KTBM anjuran BPK di Putrajaya. Encik Bong selaku Pengarah BPK menjadi pengerusi mesyuarat dan dihadiri oleh 2 penceramah iaitu Cikgu Lah Pekak, Puan Sadiah Ahmad, wakil JKMM, guru-guru pakar termasuk Cikgu Teh dan juga Encik Tan Chin Guan wakil NSD yang juga pro pertuturan kiu.

Mesyuarat tersebut bertujuan untuk mendapatkan kata putus pendirian KPM terhadap BIM sebagai bahasa rasmi orang Pekak dalam Akta OKU 2008 yang saya bangkitkan dalam mesyuarat Majlis OKU yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ini adalah kerana di sekolah menggunakan BMKT/KTBM dan tidak selari dengan kehendak Akta OKU 2008. Juga dokumen antarabangsa seperti UN Convention on the Right for Disabled Person, Salamanca Framework of Action UNESCO, BMF dan sebagainya menekankan penggunaan isyarat kebangsaan untuk pendidikan di sesebuah negera itu.

Kedua penceramah telah membentangkan kertas kerja masing-masing dan memberikan sokongan kepada BIM iaitu bahasa orang Pekak dan diikuti oleh para guru pakar iaitu Cikgu Kong, Cikgu Rahman, Cikgu Teh yang memaklumkan bahawa BIM sememangnya digunakan di sekolah-sekolah sejak lama bagi membantu P&P kerana kekurangan kosa isyarat dalam BMKT/KTBM.

Cikgu Kong juga telah memaklumkan dalam mesyuarat ini bahawa beliau telah membuat kajian mengenai BIM dan didapati BIM lebih baik berbanding BMKI/KTBM dan Cikgu Teh seorang guru pekak juga menyokong BIM dan BMKT/KTBM disatukan dan membangunkan isyarat-isyarat yang mempunyai maksud tertentu.

Mesyuarat ini telah membongkar di hadapan bos mereka bagaimana warga pendidikan khas secara tidak rasmi menggunakan BIM untuk membantu murid pekak kepada penguasaan Bahasa Melayu dan subjek lain dalam kelas walaupun mengikut dasar KPM kaedah yang digunakan untuk pendidikan khas ialah BMKT/KTBM.

Rumusan mesyuarat, ahli mesyuarat bersetuju menerima penggabungan BIM-BMKT/KTBM dan akan membentangkan kertas kerja yang lengkap berserta dokumen yang menyokong permohonan ke mesyuarat Bahagian Pengurusan yang di pengerusikan oleh Tan Sri KP KPM.

Apabila mesyuarat tersebut meluluskan permohonan kita, JK akan ditubuhkan untuk tujuan tersebut iaitu menambah, memurnikan isyarat, membangunkan modul dan sebagainya. Melibatkan orang Pekak dalam pembangunan isyarat juga diwajibkan sebab bahasa itu adalah kepunyaan mereka dan mereka mempunyai hak untuk membuat keputusan yang terbaik.

Bagi saya, mesyuarat ini adalah terbaik sekali dari siri mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengan bahasa isyarat dan pendidikan khas dari sejak zaman Puan Hajjah Wan Khalthom, Pengarah Bahagian Sekolah sehingga sekarang. Encik Bong telah menunjukkan keprofesionalismnya dalam isu ini walaupun beliau bukan berlatarbelakang pendidikan khas.

Saya setuju dengan keputusan beliau dan seperti Cikgu Rahman, saya juga mahu keputusan mesyuarat ini di rekodkan sebab sebelumnya mesyuarat penting JPK tiada direkodkan atau menghantar minit mesyuarat kepada kami dan menyukarkan kami membuat rujukan atau susulan.

Ini merupakan langkah-langkah MFD memperjuangkan BIM; sebab BIM adalah bahasa yang yang menyatukan kita semua tanpa mengira keturunan dan agama.